Thursday, October 5, 2017

“HIJRAH ATAU TETAP JAHILIYAH”



 “HIJRAH ATAU TETAP JAHILIYAH”.

Islam muncul ketika manusia berada dalam kejahilan. Risalah Islam yang pertama adalah untuk membetulkan aqidah masyarakat jahiliyah pada masa itu sebelum datangnya syariat-syariat yang lain. Oleh kerana manusia ketika itu tidak mentauhidkan Allah I maka mereka bergelumang dengan kemaksiatan dan keruntuhan akhlak.

Rasulullah saw telah mengukuhkan akar keimanan dan tauhid serta menjelaskan maksud sebenar kalimah Laila hailallah kepada para sahabat Baginda.

-       Pensyariatan ibadah solat berlaku pada tahun ke -12 kerasulan Baginda Nabi Muhammad saw.
-       Puasa dan zakat pula pada tahun ke-2 hijrah
-       Manakala ibadah haji disyariatkan pada tahun ke – 9 hijrah.

Apakah hikmah di sebalik semua itu? Kita sedia maklum bahawa Iqra’ adalah ayat pertama yang diwahyukan ke atas Baginda saw. merupakan suatu tanda bahawa Allah swt memerintahkan manusia untuk membaca dan mencari ilmu bagi menyingkirkan sifat kejahilan kita.
Jahiliyah Kata dasarnya adalah ( al-Jahl ) yang bererti tidak tahu atau bodoh. Di dalam al-Quran, kalimah jahiliyah membawa kepada beberapa makna.Antaranya adalah:

Pertama : Keraguan kepada Allah swt.
Keraguan inilah yang dialami oleh orang munafik selepas tentera muslim kalah dalam Perang Uhud. Mereka yakin kemenangan kaum musyrik dalam Perang Uhud menunjukkan agama Islam sudah berakhir. Mereka adalah orang yang ragu-ragu. Apabila terjadi peristiwa yang tidak menyenangkan, muncul sangkaan-sangkaan buruk kepada Allah swt

Kedua : Sombong, iaitu perasaan meninggi diri sehingga tidak mahu menerima kebenaran.
Sebagaimana Allah swt berfirman di dalam Surah al-Fath ayat 26:

Yang bermaksud: (Ingatlah dan kenangkanlah ihsan Tuhan kepada kamu) ketika orang-orang yang kafir itu menimbulkan perasaan sombong angkuh yang ada dalam hati mereka (terhadap kebenaran Islam) perasaan sombong angkuh secara Jahiliyah (yang menyebabkan kamu panas hati dan terharu) lalu Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada RasulNya dan kepada orang-orang yang beriman (sehingga tercapailah perdamaian), serta meminta mereka tetap berpegang kepada "Kalimah Taqwa", sedang mereka (di sisi Allah) adalah orang-orang yang sangat berhak dengan "kalimah Taqwa" itu serta menjadi ahlinya. Dan (ingatlah), Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.…

Sifat sombong seperti yang disebutkan dalam ayat ini, yang tertanam kuat di hati orang musyrik Makkah, sehingga semasa Perjanjian Hudaibiyah, mereka menolak kalimah Bismalah bagi memulakan surat perjanjian dan juga menolak kata Rasulullah sebagai sifat Muhammad yang menyetujui perjanjian itu.

Ketiga : Berhukum dengan hukum selain yang ditetapkan oleh Allah swt sepertimana dalam Surah al-Maidah ayat 50:

Maksudnya: Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Pada hal - kepada orang-orang yang penuh keyakinan - tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Alla swt. Di dalam ayat tersebut, Allah swt tidak mengiktiraf orang yang tidak mahu mengikuti hukum2-Nya yang jelas, yang meliputi semua bentuk kebajikan dan melarang semua bentuk keburukan, malah orang itu beralih mengikuti pendapat yang dibuat oleh manusia, mentaati keinginan dan erti kata lain yang tidak bersandarkan syariat Allah swt seperti hukum-hukum buatan orang jahiliyah yang penuh dengan kesesatan dan kebodohan.

Malah ada manusia pada hari ini hanya mementingkan kehidupan di dunia tanpa mengambil kira kehidupan yang kekal abadi di akhirat kelak. Ia memberi gambaran betapa jahilnya mereka terhadap agama mereka  sebagaiman Allah swt telah  berfirman di dalam
Surah ar-Ruum ayat 6-7 :

Maksudnya: Demikian dijanjikan Allah. Allah tidak pernah mengubah janji-Nya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). Mereka hanya mengetahui perkara yang zahir nyata daripada kehidupan dunia sahaja, dan mereka tidak pernah ingat hendak mengambil tahu tentang hari akhirat.

Imam Ibnu Kathir dalam mentafsirkan ayat yang ketujuh itu mengatakan: “Kebanyakan manusia seolah-olah tidak mempunyai ilmu kecuali ilmu dunia dengan segala perihalnya. Mereka bijak dalam hal keduniaan, tetapi mereka lalai dan jahil terhadap perkara-perkara agama dan yang memberi manfaat di akhirat. Oleh itu untuk mengelakkan diri kita terjerumus ke lembah kejahilan ini,marilah kita menghijrahkan diri menjadi muslim yang berilmu. hijrahlah daripada keadaan yang tidak baik kepada yang  lebih baik dengan niat semata-mata mengharapkan keredhaan dan rahmat Allah swt. Berazam dan tingkatkan diri dalam menuntut ilmu serta dalam beramal ibadah  kepada Allah swt. Tinggalkanlah segala perkara yang dilarang oleh Allah swt. Ini bertepatan dengan sabda baginda Rasulullah saw yang bermaksud “Orang yang berhijrah itu adalah orang yang meninggalkan segala yang dilarang oleh Allah swt.”

Berhijrahlah selagi peluang masih ada. Sabda Rasulullah saw.
Beraksud: Kewajipan berhijrah tidak terputus selama taubat masih diterima, dan taubat tidak terputus sehingga matahari terbit dari barat. (Hadith riwayat Abu Daud dan Ahmad)

1. Islam menuntut umatnya agar berhijrah daripada keadaan yang tidak baik kepada yang baik
    dan juga daripada keadaan baik kepada yang lebih baik.
2. Keraguan terhadap Allah I, sombong sehingga menafikan kebenaran dan menolak hukum-Nya
    adalah antara perkara yang perlu kita jauhi kerana boleh membatalkan aqidah.
3. Dunia yang mencabar pada hari ini memerlukan umat Islam yang berilmu dan beramal untuk
    mempertahankan kesucian agama Islam.

Firman Allah swt dalam Surah an-Nisa’ ayat 100:

Maksudnya : Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya dia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur, dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian dia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah amat pengampun, lagi amat mengasihani.

No comments:

Post a Comment