MASALAH MUNTAH/JELUAK BAYI
Soalan; Saya ada soalan ustaz, mengikut mazhab maliki,
muntah yg sedikit adalah najis yang dimaafkan dan dibolehkan dibawa dlm
sembahyang. Soalan saya, adakah boleh saya berpegang pada mazhab maliki dalam
bab2 najis yg dimaafkan ini kerana amat merumitkan saya kerana saya mempunyai
bayi kecil yg sering muntah / jeluak dan saya sentiasa terpaksa membersihkan
muntah/jeluak tersebut walaupun sedikit. Sedikit dalam mazhab maliki adalah
selebar titik hitam pada wang dirham. Apakah yg dimaksudkan itu ya ustaz? Mohon
pencerahan dan terima kasih byk2 atas bantuan ustaz.
Muntah adalah najis mengikut pandangan jumhur ulamak
termasuk mazhab empat (Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali) kerana ia adalah
makanan yang melalui proses pengubahan dalam perut, maka ia menyamai tahi.
Kerana itu, pakaian yang terkena muntah, wajib dibasuh sebelum dipakai ketika
solat. Namun, para ulamak menegaskan; najis dimaafkan jika kadarnya sedikit.
Menurut mazhab Hanafi; kadar sedikit itu ialah yang kurang dari kadar saiz 1
dirham (iaitu kira-kira sebesar duit 5 sen). Ia dimaafkan, yakni tidak wajib
membasuhnya sebelum memasuki solat. Khusus mengenai muntah anak kecil, Imam
Najmuddin an-Nasafi (ulamak mazhab Hanafi) berkata dalam fatwanya; “Anak kecil
yang menyusu, kemudian muntah mengenai pakaian ibunya, jika muntah itu memenuhi
mulut, ia adalah najis. Maka jika kadarnya melebihi satu dirham, ditegah
mengerjakan solat dengan memakai pakaian tersebut”. Dari fatwa ini kita dapat
memahami bahawa, muntah anak kecil jika kadarnya sedikit (kurang dari saiz satu
dirham), dimaafkan dan harus memakai pakaian yang dikenainya untuk mengerjakan
solat.
Menurut mazhab Syafiie; ukuran banyak atau sedikit najis itu
bergantung kepada pandangan ‘uruf (yakni pandangan menurut kebiasaan). Jika
najis yang mengenai badan atau pakaian itu di dianggap sedikit oleh kebiasaan
orang sekeliling yang melihatnya, ia dikira sedikit dan dimaafkan. Jika
dianggap banyak, maka ia adalah banyak dan tidak dimaafkan. Menurut mazhab
Hanbali; ukuran sedikit atau banyak itu kembali kepada pandangan hati sendiri.
Jika hati merasai kotor dan menjijikkan kerana kadarnya telah melampaui had,
maka ia dikira banyak. Jika hati tidak merasai begitu, ia masih dikira sedikit
dan dimaafkan.
Menurut mazhab Syafiie juga; najis turut dimaafkan jika
sukar dielakkan, walaupun najis itu banyak. Contohnya; darah pijat, kutu dan
nyamuk, darah dari bisul, jerawat, luka, kudis, tempat bekam dan sebagainya.
Khusus tentang muntah, ulamak mazhab Syafiie menegaskan; jika seseorang itu
menghadapi kesukaran berdepan dengan muntahnya (kerana selalu muntah),
dimaafkan muntah yang mengenai badan atau pakaiannya sekalipun muntah itu
banyak.
Menurut mazhab Maliki, muntah hanya dikira najis jika
keluarnya dalam keadaan telah berubah dari rupa makanan (yakni ia tidak nampak
lagi rupa makanan). Sekiranya yang keluar itu masih berupa makanan, ia tidaklah
najis. Adapun di sisi mazhab-mazhab selain tadi; semua jenis muntah adalah
najis asalkan ia keluar dari perut, sama ada yang keluar masih berupa makanan
atau tidak lagi berupa makanan.
Segelintir ulamak (antaranya Imam as-Syaukani) berpandangan;
muntah keseluruhannya tidaklah najis kerana tidak ada sebarang dalil yang
menegaskannya sebagai najis, oleh itu ia kekal di atas hukum asalnya iaitu suci
(kaedah Fiqh menegaskan; asal semua benda di atas muka bumi ini adalah suci
selagi tidak terdapat nas yang soheh yang menyatakan kenajisannya).
Kesimpulannya, muntah (termasuk muntah bayi) adalah najis
menurut jumhur ulamak. Namun ia dimaafkan jika kadarnya sedikit dan sukar
dielakkan. Merujuk kepada soalan; jeluak bayi yang mengenai pakaian ibu
dimaafkan selama ia sedikit. Adapun jika telah banyak, ia tidak dimaafkan, maka
wajiblah dibasuh pakaian tersebut sebelum mengerjakan solat. Namun jika ibu
mengalami kesukaran hendak membasuhnya setiap kali hendak solat (seperti anak
terlalu kerap jeluak), dimaafkan kerana kaedah fiqh ada menyebutkan; al-masyaqqah
tajlibu at-taysir (keadaan kepayahan mengizinkan untuk mengambil
kemudahan).
Rujukan;
1.
Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 34/85.
2.
Mughni al-Muhtaj, 1/112, 267-268.
3.
Al-Mughni (Imam Ibnu Qudamah), 2/54.
4.
Kifayat al-Akhyar, hlm. 92.
5.
Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Muyassarah, Husain bin ‘Audah al-‘Awayisah,
1/59.
No comments:
Post a Comment