Tuesday, July 2, 2013

HUKUM WANGIAN (PERFUME) BERALKOHOL



HUKUM WANGIAN (PERFUME) BERALKOHOL

Alkohol ada yang datang dari arak dan ada yang bukan. Setiap arak mengandungi alkohol, namun tidak semua alkohol itu adalah arak. Oleh demikian, alkohol yang terdapat di dalam wangian (perfume); jika ia bukan datang dari arak atau dari proses pembuatan arak, ia tidak najis dan harus dipakai termasuk ketika solat. Jika ia datang dari arak, hukumnya adalah najis mengikut hukum arak itu sendiri di mana arak adalah najis menurut jumhur ulamak(1). Syeikh Dr. 'Ali Jumaah Muhammad menegaskan di dalam fatwanya; "Alkohol yang digunakan sebagai bahan dalam perfume, jika ia dari jenis alkohol ethanol, ia adalah arak dan penggunaannya dalam perfume menyebabkan perfume itu menjadi najis dan tidak harus digunakan mengikut Syariat berdasarkan pandangan jumhur ulamak (yang berpandangan arak adalah najis)".

Wallahu a'lam.

Rujukan;


1. Fatwa Syeikh 'Atiyah Saqar (Himpunan Fatwa Dar al-Ifta', Mesir, 8/413)
2. Fatwa Syeikh Dr. 'Ali Jum'ah Muhammad (www.dar-alifta.org)
3. Fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan (www.e-fatwa.gov.my).

(1) Menurut jumhur ulamak termasuk imam-imam mazhab empat; arak adalah najis kerana Allah mengharamkan memakannya kerana zatnya, maka ia adalah najis sama seperti daging babi, bangkai dan sebagainya lagi yang haram dimakan. Selain itu, mereka juga berdalilkan firman Allah (bermaksud); “Wahai orang-orang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala, mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, (semuanya) adalah
rijs (kotor/keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya”. (al-Maidah; 90)

 

Segelintir ulamak -iaitu Imam ar-Rabi’ah (guru Imam Malik), al-Laith bin Sa’ad, Imam al-Muzani (tokoh ulamak dalam mazhab Syafiie), Daud az-Zahiri, as-Syaukani, Imam as-Son’ani, Rasyid Redha- berpandangan; arak tidak najis kerana tidak ada dalil dari Syarak yang menegaskan kenajisannya. Walaupun ia haram diminum, namun tidak semua benda yang haram dimakan atau diminum secara otomatik dapat dihukum sebagai najis. Setiap najis adalah haram dimakan, namun tidak semua yang haram dimakan adalah najis. Ganja, dadah dan racun-racun/bias-bisa yang boleh membunuh semua itu haram dimakan, namun pada masa yang sama ia adalah suci (tidak najis). Sesuatu itu dapat dianggap najis jika ada nas yang menegaskan ia adalah najis. Jika tidak ada nas, ia kekal di atas hukum asalnya iaitu suci. Tidak ada nas yang menegaskan arak adalah najis. Adapun ayat di atas, perkataan “رجس” (kotor/keji) di dalam ayat tersebut bukan bermaksud najis hissi (yakni najis yang dapat dilihat atau dirasai yang menjadi perbahasan kita), akan tetapi ia bermaksud najis maknawi (yakni kekotoran batin) iaitulah dosa dan munkar. Ini kerana perkataan “رجس” (kotor/keji) itu bukan sahaja ditujukan kepada arak, tetapi juga ditujukan kepada judi, berhala dan anak-anak panah (untuk mengundi nasib). Benda-benda selain arak itu (yakni judi, berhala dan anak-anak panah) jika kita memegangnya tidak ada ulamak yang berkata kita memegang najis. Ini menunjukkan bahawa kekotoran yang dimaksudkan oleh ayat tersebut bukanlah kekotoran hissi, akan tetapi kekotoran maknawi. 
(Rujuk; Tafsir al-Qurthubi, surah al-Maidah, ayat 90). 


No comments:

Post a Comment