Muslimin yang di Rahmati Allah,
Marilah kita
sama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melakukan segala suruhan-Nya
dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita tergolong di kalangan orang yang
mendapat keberkatan di dunia dan di akhirat. bertajuk: kuliah pada hari ini ialah “WAJAH TERINDAH”.
Muslimin yang di Rahmati Allah,
Islam mengajar umatnya supaya menghormati dan berbuat baik
kepada ibu bapa. Segala jasa dan pengorbanan yang mereka curahkan sejak di alam
rahim sehingga kita dilahirkan begitu besar pengorbanannya. Merekalah yang bertanggungjawab
mencari nafkah dan mendidik kita sehingga dewasa. Mereka juga sanggup
mengorbankan nyawa dan kepentingan diri demi mengharungi pelbagai cabaran untuk
masa depan anak-anak. Kepayahan dan pengorbanan ibu bapa dalam mendidik dan
membesar anak-anaknya sekurang-kurangnya dalam tiga keadaan,
pertama: ketika
mengandung,
kedua: Saat
melahirkan dan
ketiga: ketika
kita masih kecil sehingga dewasa.
Marilah kita merenung kembali wajah terindah ibu bapa kita, mungkin ada di antara kita ini ibu bapanya telah pergi buat selama-lamanya
dan mungkin ada yang masih lagi bersama kita di dunia. Cuba kita hayati
seketika mungkin pada saat dan ketika ini wajahnya telah kedut ditelan usia,
telah lesu kerana keletihan, namun diwajahnya tetap tersimpul senyuman yang
mengambarkan kasih sayang yang terpahat dihati mereka kepada kita.
Ingatkah kita semasa kecil dulu apa yang telah dilakukan
oleh kedua ibu bapa, merekalah yang memberi susu, menyuap makanan, memandikan,
memakai pakaian, mendodoi dan menidurkan kita, membersihkan najis dan segala
kotoran di badan, menghantar kita ke
sekolah demi melihat anaknya ini menjadi insan berguna di kemudian hari. Ingatlah
wahai muslimin sekalian bahawa kasih ibu bapa kepada anak-anak berpanjangan
sepanjang hayat, pengorbanan dan kudrat dicurah siang-malam, hanya tahu memberi
dan tidak mengharapkan apa-apa balasan dari anak kerana menginsafi anak itu
adalah lahir dari kandungannya yang dijaga selama sembilan bulan.
Ingatlah apa yang kita miliki pada hari ini, harta,
pekerjaan, pangkat, kesenangan dan
keluarga kita adalah hasil dari pengorbanan mereka. Tanpa mereka kita tidak
dapat melihat dunia ini dan tanpa nasihat dan pengorbanan mereka kita tidak
akan memiliki semua ini.
Sehubungan itu,
kita sebagai anak wajib menghormati, mentaati dan berbuat baik terhadap mereka.
Ini sebagai suatu penghormatan tertinggi daripada anak dan membalas jasa ibu bapa
mereka. Firman Allah SWT dalam surah al-Israk ayat 23-24:
Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak
menyembah melainkan kepada-Nya, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua
ibu bapa. Jika salah
seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam
jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya
sekalipun perkataan 'ah', dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi
katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu kepada
keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah: Wahai Tuhanku!
Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku
semasa kecil.”
Muslimin yang di Rahmati Allah,
Tidak dapat dinafikan bahawa kasih sayang seorang ibu mengatasi segalanya. Tidak hilang
dihati seorang ibu perasaan rindu terhadap anak-anaknya walaupun sesaat,
kadang-kala ibu tidak dapat menyuap makanan ke mulutnya dan melelapkan matanya
kerana teringatkan anak-anaknya ini dan ada ketikanya air mata berlinangan
mengalir membasahi dipipinya kerana mengenang dan merindui akan anak-anak.
Bilakah kali terakhir kita bertemu dengan ibu, menatap
wajah dan mencium tangan ibu?. Rebutlah kesempatan yang ada semasa hidup
sebelum mereka pergi buat selama-lamanya. Berdasarkan kepada pemerhatian
mimbar, pada hari ini ada di kalangan anak-anak yang sibuk dengan jawatan,
mengejar kuasa dan pangkat tiada kesempatan masa untuk menziarahi ibu bapanya
walaupun kepulangannya senantiasa dinanti-nanti dengan penuh kerinduan. Ingatlah
menziarahi kedua ibu bapa merupakan satu tuntutan kepada seorang anak.
Ingin ditegaskan bahawa kebiasaan kita sebagai anak akan
lebih mengingati dan menyebut nama ibu. Jika kita ada masalah kita akan luahkan
kepada ibu, kita lebih suka berkongsi perasaan dengan ibu, jika kita sakit,
kita lebih suka ibu yang jaga. Oleh itu, wajarlah Allah SWT memuliakan ibu
sesuai dengan pengorbanannya. Firman Allah SWT dalam surah Luqman ayat 14:
Maksudnya: “Dan
Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah
mengandungnya dengan menanggung kelemahan atas kelemahan dan menceraikan
susunya dalam masa dua tahun; bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu
bapamu; dan kepada Akulah tempat kembalimu.”
Rasulullah SAW ketika menjawab pertanyaan seorang sahabat bersabda
:
Maksudnya:
“Siapakah yang paling berhak saya pergauli dangan baik? Nabi bersabda
“Ibumu”, Orang itu bertanya kemudian siapa lagi? Nabi bersabda “Ibumu”, Orang
itu bertanya kemudian siapa lagi, Nabi bersanda “Ibumu”. Orang itu bertanya
kemudian siapa lagi, Nabi bersabda : Ayahmu.”(Riwayat
al- Bukhari)
Betapa besarnya pengorbanan ibu-bapa, namun persoalannya kini,
bagaimana pula pengorbanan anak untuk menghargai dan membalas balik jasa serta
pengorbanan ibu yang tidak terhitung ini. Inilah persoalan yang perlu direnung oleh
kita semua sebagai seorang anak, apakah mereka sudah menunaikan kewajipan
terhadap ibunya. Imam Muslim meriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud RA berkata bahawa beliau pernah bertanya
Rasulullah SAW tentang amalan paling utama.
Baginda bersabda: Solat pada waktunya. Beliau
bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berbakti kepada kedua ibu
bapa. Beliau bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berjuang pada
jalan Allah”.
Muslimin yang di Rahmati Allah,
Islam menganjurkan agar setiap anak menghormati dan berbakti
kepada ibu bapa selagi suruhan tersebut tidak melanggari syariat Islam. Jika
anak-anak mengingkari perintah ibu bapa, maka itu adalah derhaka dan satu dosa
besar walau hanya menyebut ungkapan ‘uuh’
atau ‘aah’ dikira sebagai menyakiti dan menderhaka, apatah lagi jika ada
antara anak mencerca, memaki dan memukul ibu bapa mereka.
Hadith
Rasulullah SAW yang bermaksud
Ada tiga jenis manusia yang terkena laknat Allah
SWT iaitu: Seorang yang membenci kedua ibu bapanya, seseorang yang berusaha
menceraikan sepasang suami isteri, kemudian setelah isteri tersebut dicerai ia
menggantikannya sebagai suaminya dan seseorang yang berusaha agar orang-orang
mukmin saling membenci dan saling mendengki antara sesamanya dengan
hasutan-hasutannya". (Riwayat Ad Dailami)
Imam Bukhari meriwayatkan bahawa Abdullah bin Amru bin
al-'As RA bertanya Rasulullah SAW tentang dosa besar.
Sabda Baginda: Antara dosa besar ialah seorang
lelaki mencerca ibu bapanya. Tanyanya lagi: Wahai Rasulullah! Adakah akan
berlaku seorang lelaki memaki-hamun ibu bapanya?
Jawab Nabi SAW: Ya. Seorang lelaki memaki hamun bapa
seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali bapanya, begitu juga
sekiranya seorang lelaki memaki hamun ibu seorang lelaki lain, nescaya lelaki
itu juga akan memaki hamun ibunya.
Ambillah iktibar dalam cerita si tanggang, seorang anak
yang melupai ibunya dan durhaka setelah mendapat kedudukan yang tinggi
akibatnya si anak itu diberi balasan oleh Allah SWT di dunia ini.
Bahawa menyayangi
ibu bapa bukan sekadar ketika keduanya masih hidup sahaja tetapi sebenarnya
berpanjangan ketika mereka berada di alam arwah atau alam kubur. Roh orang mati
tetap hidup di sisi Allah. Setiap hari amalan kita diangkat ke langit dan
segala amalan tersebut dipertonton kepada roh ibu bapa kita.
Oleh itu gembirakanlah
roh ibu bapa kita dengan amalan soleh
semasa kita masih hidup di duna ini. Roh–roh ibubapa akan sakit, tersiksa dan menderita jika melihat
amalan anak-anak mereka terlibat melakukan maksiat seperti berzina, berkhalwat,
berjudi, minum arak, rasuah, memfitnah orang, bersubahat melakukan kezaliman,
penganiayaan dan lain lain.
Perbuatan anak
di dunia menjadi ukuran dan bukti adakah kita yang masih hidup ini
sebenar-benar menyayangi ibu-bapa kita. Apalah gunanya anak-anak berpangkat
besar, berjawatan tinggi, memiliki harta yang banyak sedangkan perbuatan harian mereka penuh
dengan maksiat, kejahatan dan melakukan dosa besar. Rasulullah SAW bersabda:
Mafhumnya: “Sesungguhnya amal-amal kamu dibentangkan kepada
keluarga dan kaum kerabat kamu yang telah mati; maka kalau amal perbuatan kamu
itu baik mereka
gembira mengetahuinya, dan kalau sebaliknya, mereka (berdoa untuk kamu dengan)
berkata : ‘ Ya Allah Ya Tuhan kami, berilah kaum kerabat kami yang hidup itu
hidayah petunjuk, sebagaimana engkau telah member hidayah petunjuk kepada kami
(sehingga kami mati dalam iman)”. (Riwayat Imam Ahmad dan al-Tirmizi)
Muslimin yang di Rahmati Allah,
Mengakhiri kuliah pada minggu ini, sempena HARI IBU, marilah
sama-sama kita menzahirkan perasaan kasih sayang terhadap ibu setiap masa. Memberi
kasih sayang kepada mereka bukan sekadar memberi hadiah dan wang ringgit bahkan
seluruh jiwa dan raga kita serahkan kepada ibu.
Gembirakanlah mereka dan carilah keredhaan mereka serta perbanyakkanlah doa
keampunan kepada mereka.
Jangan biarkan mereka kesepian dengan linangan airmata yang sayu lagi
pilu.
Budayakanlah amalan memuliakan dan menghormati ibu-bapa di sepanjang
kehidupan kita dan janganlah hanya dibuat pada masa-masa tertentu sahaja. Ambillah kesempatan yang ada ini untuk
menyayangi sebelum mereka didatangi ajal.
Sebagai renungan hayatilah firman Allah SWT
dalam surah al-Israa ayat 24:
Maksudnya: “Dan rendahkanlah
dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah:
Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah
memelihara dan mendidikku semasa kecil.”(Surah al-Israa’:24)
No comments:
Post a Comment