CELIK DI DUNIA BUTA DI AKHIRAT”.
Ramai manusia yang
diciptakan oleh Allah SWT dalam keadaan celik, tidak buta, mata boleh melihat
dengan sempurna, boleh melihat ciptaan Allah SWT, boleh makan dan minum,
berjalan dan lain-lain lagi. Tetapi di hari akhirat nanti mereka yang celik di
dunia ini dibangkitkan oleh Allah SWT dalam keadaan menjadi buta. Persoalan besar
timbul di sini kenapakah mereka ini dibangkitkan dalam keadaan sedemikian?
Jawapannya ialah kerana mereka ini
berpaling daripada ajaran Allah yang sebenar, tidak melakukan aturan-aturan
Allah, melakukan maksiat dan membuat dosa-dosa besar serta menzalimi orang
lain, matanya tidak digunakan untuk melihat kebenaran, sebaliknya digunakan
untuk melihat kebatilan akibatnya hidup di dunia akan disempitkan, tidak
tenang, menderita dan ditimpa musibah. Malahan di akhirat pula, mereka menjadi
buta sebagai balasan keengkaran semasa di dunia. Firman Allah SWT di dalam
Surah Taha ayat 124-125;
Maksudnya: “Dan sesiapa yang
berpaling ingkar dari ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya
kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari Kiamat dalam
keadaan buta. Ia berkata: Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam
keadaan buta, padahal aku dahulu celik?.”
Bayangkan betapa azabnya
golongan ahli neraka yang diseksa fizikalnya dengan seksaan yang dahsyat,
ditambah pula dengan mata yang dibutakan, tidak melihat kawasan sekeliling. Ini adalah satu bentuk seksaan spritual
yang amat dahsyat daripada Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang ingkar. Firman
Allah SWT di dalam Surah al Hud ayat 106-107:
Maksudnya: “Adapun
orang-orang yang celaka (disebabkan keingkaran dan maksiatnya), maka di dalam
nerakalah tempatnya. Bagi mereka di situ, hanyalah suara memekik-mekik dan
mendayu-dayu (sepaerti suara keldai). Mereka kekal di dalamnya selagi ada
langit dan bumi, kecuali apa yang dikehendaki oleh Tuhanmu. Sesungguhnya
Tuhanmu, Maha Kuasa melakukan apa yang dikehendakiNya.”
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Ingatlah, sebagai
seorang Islam kita mestilah bijak melayarkan bahtera kehidupan ke arah yang
benar mengikut petunjuk yang telah digariskan oleh al-Quran dan al-Hadith. Bukannya mengikut hawa nafsu atau
kepentingan diri dan lebih malang lagi jika sanggup tunduk dan mengikut
kehendak musuh Islam. Ingatlah bahawa dalam menuju ke akhirat maka hendaklah
kita mencari dan mengumpul seberapa banyak
bekalan pahala kebajikan dan
kebaikan semasa hidup di dunia. Ingatlah sebagaimana pesan Saidina Ali: “Seharusnya
manusia yang berakal tidak bersungguh-sungguh melainkan dalam tiga perkara:
Berusaha untuk keperluan hidupnya, beramal untuk hari kemudian dan bersuka-suka
di dalam perkara yang tidak haram.”
Mimbar ingin menegaskan bahawa perbuatan
kita semasa di dunia menentukan kedudukan kita di sisi Allah SWT di akhirat dan
begitulah sebaliknya. Jika kita benar benar taat dan akrabnya di dunia dengan
Allah SWT , maka di akhirat pastinya Allah SWT akan mendampingi kita. Seorang sahabat Nabi yang bernama Samurah bin Jundab
pernah berkata: Sesiapa yang ingin mengetahui kedudukannya di sisi Allah
SWT, maka periksalah kedudukan Allah di sisinya. Barangsiapa yang menghormati
perintah Allah, lalu bersegera melakukannya, menjauhkan diri daripada larangan
Allah, juga berusaha menghiasi diri
dengan adab-adab Islam, maka kedudukan di sisi Allah pun terhormat.
Satu riwayat
menceritakan bahawa suatu hari tiga orang lelaki berjalan di depan masjid
ketika Rasulullah SAW sedang berceramah menyampaikan wahyu Allah SWT kepada
manusia. Salah seorang daripada tiga orang itu berjalan begitu sahaja, ia tidak
tertarik untuk mendengar apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW, sementara
dua daripadanya memutuskan untuk singgah, mendatangi majlis Nabi SAW, salah
seorang memilih tempat kosong di celah-celah majlis dan seorang lagi memilih
untuk duduk di belakang. Apabila
selesai daripada ceramah, Rasulullah SAW bersabda, mahukah aku beritahu
perihal ketiga-tiga orang ini? Salah satu daripada mereka datang kepada Allah
SWT, maka Allah SWT menyambutnya. Salah seorang merasa malu-malu, maka Allah
pun malu kepadanya. Adapun seorang yang berpaling daripada Allah SWT, maka
Allah berpaling daripadanya. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ingatlah bahawa segala amalan kita di
dunia ini akan dibentangkan di akhirat,
tidak terkecuali walaupun ianya sekecil zarah. Pada ketika itu kita akan
melihat segala amalan semasa hidup ini dalam suratan amal, ada yang berpahala,
ada juga yang berdosa. Mereka yang berdosa itu akan merasa takut dengan keadaan
sedemikian. Janganlah demi untuk mendapatkan sesuatu yang dihajati, kita
sanggup melakukan tindakan yang ternyata boleh mendatangkan musibah pada bangsa
dan agama serta mengundang dosa dan
kemurkaan Allah SWT. Firman Allah SWT
dalam surah al-Kahfi ayat 49:
Maksudnya: “Dan
Kitab-kitab Amal dibentangkan, maka engkau akan melihat orang yang berdosa itu
merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka berkata: Aduhai
celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan
yang kecil atau besar, melainkan semua dihitungnya! Dan mereka dapati segala
yang mereka kerjakan itu ada tertulis di dalamnya. dan ingatlah Tuhanmu tidak
berlaku zalim kepada seseorang pun.”
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Dalam pergaulan hidup
sehari-hari sudah tentu berlaku kesilapan sama ada disengajakan atau tidak.
Kesilapan itu boleh mengundang dosa terutama jika ia menyentuh pelanggaran hak
yang berkaitan dengan tubuh, maruah diri dan harta benda. Dalam banyak-banyak anggota, lidah dan
matalah yang paling banyak kesalahan yang melibatkan sesama manusia. Mata jika
tidak dihalakan kepada kebaikan ianya akan mendatangkan kemaksiatan dan dosa
lidah dan mata boleh menyebabkan seseorang itu menerima azab di akhirat.
Hujatul Islam Imam al-Ghazali pernah berkata: menerusi lidah akan
berlakulah pendustaan atau pembohongan, buruk sangka, permusuhan, fitnah,
mencarut, mencela, mengutuk, bertelingkah, mengumpat, melaknat dan membicarakan
sesuatu dalam keadaan kesat, kasar dan penuh dengan kesombongan. Percayalah, walaupun sewarak
mana seseorang itu, banyak solat, puasa, akan tetapi apabila tidak mampu
menjaga lidah dan akhlaknya dari memfitnah, berbohong, hasad dengki dan dendam,
pasti dia akan tergolong dalam golongan orang yang rugi.
Oleh itu, mimbar ingin berpesan, untuk hidup dalam
suasana yang tenteram, aman dan damai, hendaklah diawasi lidah kerana melalui
lidah tutur kata akan menjadi lebih benar, beradab dan bahasanya lebih
bersopan. Sikap tidak menjaga lidah bukan sahaja menimbulkan kemarahan orang
yang mendengarnya, malah menimbulkan implikasi buruk kepada hubungan sesama
manusia yang mengakibat keadaan menjadi huru hara dan kacau bilau. Berkatalah
perkara yang benar dengan penuh keberanian walaupun ianya sangat pahit untuk
ditelan lebih lebih lagi jika kita sebagai pemimpin kerana ianya mengambarkan
pendirian dan sikap kita sebagai seorang yang beriman. Berwaspadalah
kita akan setiap tutur kata kerana bahayanya lidah bukannya hanya pada individu
tertentu tetapi kesannya juga boleh meruntuhkan sesebuah negara dan bangsa.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Mengakhiri khutbah
pada minggu ini marilah sama-sama kita menghitung diri kita, adakah kita ini
sudah cukup amalan untuk bertemu dengan Alllah SWT di akhirat kelak, adakah
segala amalan kita di dunia ini dijamin pahala di akhirat. Ingatlah segala
amalan kita akan diperhitungkan samada ia berpahala atau berdosa dan semuanya
terserah kepada neraca keadilan yang telah ditentukan oleh Allah SWT. lngatlah wahai muslimin sekalian bahawa setiap pergerakan
kita sentiasa diawasi oleh dua malaikat iaitu Raqib dan Atid. Elakkan daripada
terjerumus ke dalam dosa termasuk melemparkan tuduhan, mengeluarkan kata-kata
yang boleh membangkitkan kebencian pada individu tertentu, prasangka buruk
serta bercakap bohong. Setiap apa yang diucapkan dipertanggungjawabkan di
akhirat kelak. Hanya perkataan-perkataan yang diredai Allah akan dicatat,
manakala perkataan-perkataan yang mendatangkan kebencian Allah akan dicatat
atas kemurkaan-Nya sampai hari kiamat. Janganlah kita tergolong dalam golongan
mereka yang celik di dunia tapi buta di akhirat. Marilah sama-sama kita merenung firman
Allah SWT dalam surah al-Zalzalah ayat 7 dan 8:
Bermaksud: “ Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat
dzarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat
kejahatan seberat zarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! .”
No comments:
Post a Comment