Thursday, January 31, 2013
SEMANGAT HIJRAH
DIDIK AHLI KELUARGA ( ANAK ) HORMATI & BANTU JIRAN
KEMANTAPAN dan keutuhan masyarakat bergantung kepada ketinggian budi pekerti. Dengan adanya adab kesopanan dan budi pekerti tinggi menjadikan seseorang manusia itu dihormati serta disegani masyarakat.
Sudah menjadi lumrah manusia yang hidup di muka bumi ini saling memerlukan antara satu sama lain.
Justeru, demi kepentingan hidup yang boleh menjamin ketenteraman dan kebahagiaan, Islam menggariskan beberapa peraturan hidup bermasyarakat.
Salah satu daripadanya, menghormati dan berbuat baik kepada jiran tetangga. Jiran adalah orang yang tinggal dalam satu bangunan (blok), mereka yang tinggal berdekatan dengan rumah kita dan yang tinggal dalam lingkungan jarak 40 buah rumah daripada rumah kita.
Islam menitikberatkan hubungan kejiranan kerana ia adalah cara hidup Islam. Umat Islam berkewajipan mengekalkan hubungan baik dengan jiran demi mewujudkan kehidupan setempat yang aman dan harmoni.
Ia secara tidak langsung memberi kemudahan menyelesaikan masalah yang timbul.Tuntutan supaya berbuat baik dengan jiran dijelaskan dalam
firman Allah SWT Yang bermaksud:
“Hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak yatim dan orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh.”
(Surah an-Nisa’, ayat 36)
Perkara itu juga dinyatakan dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud:
“Jibril sentiasa mewasiatkan kepadaku mengenai jiran tetangg
sehingga aku menyangka bahawa beliau (iaitu jiran) yang akan
mewarisinya (pusaka).” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Usaha mewujudkan suasana kerukunan hidup berjiran pada masa kini menghadapi sedikit kesulitan kerana hakikat kehidupan dikelilingi manusia yang mempunyai pelbagai pandangan, gaya, sikap, akhlak, perangai, bahasa, budaya dan politik berbeza.
Walau bagaimanapun, perkara itu dapat diatasi jika masing-masing mengamalkan dan menghayati sikap berlapang dada, bertolak ansur, saling memahami, meningkatkan kesabaran, bertukar pendapat, mencari titik persamaan dan mengeratkan hubungan yang renggang dengan penuh hikmah serta kasih-sayang.
Di samping itu, sikap negatif seperti buruk sangka, iri hati, dengki dan fitnah perlu dikikis dan dijauhkan. Usaha memupuk semangat kejiranan perlu dilakukan dengan gigih dan berterusan.Betapa pentingnya hubungan kejiranan itu apabila dikaitkan dengan iman. Keimanan seseorang masih belum sempurna jika tidak menghormati dan kasih jirannya.
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Tidak sempurna iman seseorang itu, sebelum dia kasihkan jiran
tetangganya, sebagaimana dia kasihkan dirinya sendiri.”
(Hadis riwayat al-Bukhari)
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka
hendaklah dia bercakap hanya perkara yang baik atau diam dan
sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka
hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya. Begitu juga sesiapa
yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia
memuliakan para tetamunya.” (Hadis riwayat Muslim)
Keimanan seseorang tidak sempurna jika dia menyakiti jirannya, sama ada melalui celaan, memfitnah dan buruk sangka.
Mencegah daripada menyakiti dan melakukan penganiayaan terhadap jiran adalah antara hak jiran yang perlu dijaga.
Bagi memantapkan hubungan kejiranan dalam masyarakat, perlu melihat kepada kelebihan hidup berjiran. Antaranya,
saling bantu-membantu ketika berlaku kecemasan atau di timpa musibah.
Sebagaimana dijelaskan, jiran adalah orang yang tinggal paling hampir dengan rumah kita. Segala perkara yang berlaku terlebih dulu diketahui jiran. Kerana itu, jiran adalah orang paling dekat untuk memohon pertolongan ketika ditimpa musibah seperti kebakaran, kecurian atau kematian.
Pertolongan seperti inilah yang diperlukan pada masa kecemasan sementara menunggu bantuan pihak berwajib atau sanak saudara.
Hanya hubungan yang kuat antara jiran dapat melahirkan suasana seperti ini. Melindungi jiran daripada kesusahan adalah budi pekerti tinggi pada pandangan Islam.
Selain itu, hidup berjiran dapat mempertingkatkan pengetahuan dan kenalan. Jiran yang tinggal berhampiran mempunyai latar belakang berbeza seperti pekerjaan, pendidikan, agama, bangsa, keturunan, budaya dan adat resam. Sebagaimana Firman Allah swt yang bermaksud:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu
dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu
berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan
(dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya
semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya
di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam
Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).”
(Surah al-Hujurat, ayat 13)
Mempunyai ramai kenalan rapat, terutama dalam konteks hidup berjiran banyak memberi manfaat, jiran sepakat dan bersatu padu mampu menjamin keselamatan kawasan setempat daripada ancaman kecurian, pecah rumah dan samseng.Ia dapat dilakukan melalui pembentukan rukun tetangga, jawatankuasa keselamatan kawasan atau kempen kesedaran. Budaya bantu membantu seperti ini sangat digalakkan Islam. Firman Allah swt yang bermaksud:
“Bertolong-tolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan
ketakwaan dan janganlah tolong-menolong dalam berbuat dosa
dan permusuhan.” (Surah al-Ma’idah, ayat 2)
Jelaslah kepada kita peranan jiran dalam menentukan kemakmuran serta kesejahteraan negara. Impian mempunyai jiran yang baik tidak akan terlaksana jika kita belum menjadi jiran yang baik terlebih dulu. Walau sebesar mana sekalipun arus perubahan melanda masyarakat kita, semangat kejiranan tetap menjadi keutamaan.Kekuatan hubungan kejiranan yang sempurna dan harmoni mengukuhkan ikatan persaudaraan Islam dan kasih sayang yang kadangkala melebihi daripada keluarga sendiri.
Kehidupan mendapat keberkatan daripada Allah adalah kehidupan yang sentiasa dikelilingi kebaikan dan kesejahteraan serta jauh daripada anasir kerosakan serta kebinasaan.Jadi sama-samalah kita wujudkan suasana harmonis, kasih sayang dan mengambil berat seperti yg diperintahkan oleh Allah SWT.Jika kita tidak pernah bertegur dgn jiran maka masih belum terlambat memulakannya, jika kita ada berbuat silap maka belum terlambat memohon maaf. Saling ingat mengingati sesama kita baik dari segi hal keduniaan apatah lagi hal-hal berkaitan akhirat.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda.
“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat , maka
hendaklah dia berbuat baik kepada jiran tetangganya”
( Hadis Riwayat Al-Bukhari )
Kita dan ahli keluraga perlu mengetahui hak jiran. Hak jiran itu terbahagi kepada beberapa kategori yang mempiunyai hak dan keutamaan tersendiri
Menurut hadis Rasulullah saw.
Kategori pertama: Adalah jiran bukan Islamyang mempunyai satu hak, iaitu hak jiran.
Kategori kedua: Adalah jiran beragama Islam yang mempunyai dua hak. Iaitu hak jiran dan hak Islam.
Kategori ketiga: Adalah jiran beragama Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan, mereka memiliki tiga hak, iaitu hak jiran , hak Islam dan hak kekeluargaan.
“Tiga perkara ; barangsiapa yang pada dirinya terdapat tiga perkara
Ini, maka dia akan mendapatkan kelazatan iman ; Allah dan
RasulNya lebih dicintai daripada yang lainnya, ia mencintai
seseorang hanya karena Allah dan dia benci kembali kepada
kekafiran setelah diselamatkan oleh Allah darinya, sebagaimana
ia benci dilemparkan ke dalam neraka” (HR Bukhari dan Muslim )
Disebut di dalam hadith dari riwayat Ismail ibn Muhammad ibn Saad ibn Abi Waqas daripada bapanya daripada datuknya yang berkata telah bersabda Baginda Rasulullahswt:
“Empat perkara daripada tanda kebahagiaan ialah perempuan yang
solehah, tempat tinggal yang lapang dan jiran yang baik serta
memiliki kenderaan yang selesa dan empat tanda daripada
keburukkan (kesusahan atau derita) ialah memiliki jiran yang
jahat, isteri yang tidak baik, serta tempat tinggal yang sempit dan
kenderaan yang buruk” . ( Hadith sahih riwayat Ibn Hibban )
Begitu juga dengan jiran tetangga yang bersikap iri hati dan menyakiti hati jiran tetangganya. Contohnya, iri hati melihat kesenangan jirannya sehingga membawa kepada gejala mengumpat, menghina dan memfitnah. Ada pula jiran yang bersikap sombong dan angkuh, biadab terhadap jirannya apatah lagi jirannya itu miskin dan tidak setaraf. Menyentuh hukuman ke atas jiran yang tidak pandai hidup berjiran, ada disebutkan dalam sebuah hadis bermaksud:
‘' Sesungguhnya perempuan itu berpuasa pada siang hari dan
bersolat pada tengah malam, akan tetapi dia suka menyakiti hati
jirannya. Maka baginda berkata: 'Dia akan masuk ke dalam neraka''
( Hadis riwayat Ahmad dan Al-Hakim ).
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment