JANTUNG HATI BERKARAT : TAFSIRAN AYAT
KE-14 DARIPADA SURAH AL-MUTHAFFIFIN
Dalam kehidupan ini, mendapat nikmat jantung hati (spiritual heart/qalb) yang suci dan teguh dengan keimanan sudah tentu sangat diidam-idamkan oleh sekalian orang yang beriman. Malah itulah pertimbangan utama oleh Allah swt di dunia dan akhirat. Apalah guna mendapat pujian dan sangkaan baik dari ramai manusia namun dalam masa yang sama memiliki jantung hati yang melantik hawa nafsu dan syahwat sebagai raja. Kita selaku seorang Muslim dididik supaya sentiasa menyimpan malu apabila mendapat pujian lantaran kita lebih mengetahui siapa kita yang sebenarnya terutama apabila sedang berjauhan dari mata semua manusia.
Sememangnya
terdapat banyak pesan daripada al-Quran dan hadis berkaitan qalb, salah
satu ayat yang menggugah nurani kita ialah ayat ke-14 daripada surah
al-Muthaffifin Allah swt telah berfirman:
Mafhumnya
“Sekali-kali jangan! (Ayat-ayat kami tidak ada cacatnya) bahkan jantung hati
mereka telah diselaputi kekotoran (dosa). Dengan sebab perbuatan kufur dan
maksiat yang mereka kerjakan.”
Selaput
kekotoran yang terdapat dalam ayat tersebut telah menarik perhatian saya untuk
membaca ulasan para ulama demi memahami apakah selaput dan bagaimanakah ia
menutupi jatung hati kita.
Kalimah
raan telah digunakan oleh Allah swt dalam ayat tersebut bagi merujuk
kepada kekotoran qulub (jamak (plural ) kepada perkataan qalb)
yang berada dalam diri manusia akibat daripada keingkaran manusia dalam
mentaati Allah swt. Merujuk kepada al-Mu’jam al-Wasit ..perkataan raan
membawa beberapa maksud; antaranya ialah tadannasa iaitu “menjadikan
sesuatu kotor”, sebagai contoh raan al-nafs bermaksud “jiwa menjadi
kotor”. Ia juga bermaksud “menutupi” (ghattho) dan “mengalahkan” (ghalaba).
Pengarang kamus tersebut memberikan contoh raana ‘ala qalbihi al-dzanb
yang bermaksud “dosa telah menutupi hatinya”.
Imam
Ibn Kathir rahimahullah (lihat Tafsir al-Quran al-‘Azhim, jilid keempat,
halaman ke-470) menyebut bahawa al-rayn (kata terbitan (masdar)
kepada raan) menimpa kepada jantung hati orang-orang kafir, sementara
Imam Muhammad Toher Ibn ‘Ashoor dalam kitab beliau bertajuk at-Tahrir wa
at-Tanwir (jilid ke-12, halaman 199)pula menyatakan al-rayn menurut
bahasa Arab ialah karat/hakisan yang menutupi besi di pedang dan (karat)
cermin. Pandangan Ibn ‘Ashoor tersebut turut disebut dalam al-Mu’jam
al-Wasit semasa menyebut maksud al-rayn.
Sementara
itu, seorang ilmuan terkenal era moden khasnya berkaitan terjemahan dan
tafsiran al-Quran edisi Inggeris iaitu almarhum Muhammad Asad dalam magnum opus
beliau bertajuk The Message of The Quran telah menafsirkan raan
sebagai berikut:
“Pengertian literal,
“apa yang mereka lakukan telah menjadi karat yang menutup hati mereka”:
menunjukkan bahawa amalan buruk yang mereka lakukan terus-menerus lama kelamaan
telah menghapus kesedaran mereka akan tanggungjawab moral dan, kemampuan untuk
melihat kebenaran tentang keputusan Tuhan.”]
Demikian
sebahagian pandangan dan makna perkataan raan yang disebut oleh Allah
swt dalam ayat ke-14 tersebut. Secara umumnya kita bisa memahami bahawa raan
ialah karat, kotoran dan penutup kepada jantung hati disebabkan dosa-dosa yang
telah dilakukan.
Ibn
‘Ashoor dan Ibn Kathir rahimahumallah – masing-masing – turut mendatangkan
sebuah hadis riwayat Imam at-Tirmizi daripada Abu Hurayrah ra di mana baginda
saw direkodkan sebagai berkata:
“Sesungguhnya
seseorang hamba itu apabila melakukan sesuatu kesalahan (dosa), muncul titik
hitam pada jantung hatinya. Apabila dia menanggalkannya, memohon ampun kepada
Allah dan bertaubat, maka bergilap hatinya, sekiranya dia kembali (melakukan
dosa) ditambah titik hitam pada jantung hatinya sehingga (titik hitam itu)
mengatasi jantung hatinya, itulah al-raan yang Allah telah menyebutnya
dalam kitab-Nya; “Sekali-kali jangan! (Ayat-ayat kami tidak ada cacatnya)
bahkan jantung hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa). Dengan sebab
perbuatan kufur dan maksiat yang mereka kerjakan.” (at-Tirmizi menyatakan hadis
ini hasan sahih)
Sabda
baginda saw tersebut secara jelas menceritakan kepada kita betapa jantung hati
kita tidak pernah sunyi daripada dikotori dan ditimpa karat, gara-gara kita
ialah manusia yang sentiasa terjerumus dalam kesalahan dan dosa. Benarlah
sebahagian manusia mengibaratkan jantung hati kita persis tandas yang sentiasa
ditimpa najis sekalipun dicuci selepas digunakan. Ibnu ‘Ashoor menyatakan
bahawa perkataan yaksibun yang datang menerusi sighah al-mudhari’
menunjukkan bahawa pengulangan yang berterusan dan banyaknya dosa yang
dilakukan oleh mereka yang diisyaratkan dalam ayat tersebut. Adapun kalimah kaanu
yang mendahului perkataan yaksibun pula mengisyaratkan perbuatan syirik
yang dilakukan mereka sebelum kedatangan Islam.
Namun
begitu, sekalipun ayat tersebut membidas orang kafir yang angkuh menolak hujah
kepada Islam, namun penjelasan oleh hadis riwayat at-Tirmizi tersebut jelas
menunjukkan sekalian manusia ditimpa karat dan kekotoran pada jantung hati
mereka seandainya tidak dicuci dengan istighfar, penyesalan dan taubat.
Alangkah tebalnya selaput kekotoran itu jika kita terus membiarkan hari-hari
yang berlalu tanpa taubat kepada Allah swt.
Selain
itu, seorang tabi’in terkenal iaitu Imam Hasan al-Basri tatkala merujuk kepada
ayat tersebut, beliau menyatakan: “(al-raan) itu ialah dosa di atas dosa
sehingga hati menjadi buta, kemudiannya mati”. (Ibnu Kathir, halaman 471)
Ayat
ke-15 daripada surah al-Muthaffifin tersebut seterusnya menyebut:“Sekali-kali
jangan, sesungguhnya, mereka pada Hari itu akan terdinding daripada [rahmat]
Tuhan mereka.”
Selain rahmat, para ulama menyebutkan bahawa
mereka yang sudah diselaputi kekotoran sebagaimana terdapat dalam ayat ke-14
terdinding daripada melihat Allah swt pada hari akhirat kelak, berbanding
nikmat orang beriman yang dapat melihat wajah Tuhan mereka. (Ibnu Kathir, halaman
471)
Demikianlah
antara sifat jantung hati yang bisa mati sekalipun jasad pemiliknya masih
tangkas di atas dunia. Hati yang sentiasa resah dan merindui maksiat pasti akan
buta dari melihat Tuhan-Nya di akhirat kelak, sebagaimana mreka buta dari
petunjuk Allah swt di dunia. Mengakhiri renungan
terhadap kalam Tuhan memetik pesan Rasulullah saw berkenaan jantung hati yang
termaktub dalam sebuah hadis yang telah dikeluarkan oleh Imam al-Bukhari (hadis
ke-52) dan Muslim
Bahawasanya
baginda saw bersabda: “Ketahuilah sesungguhnya dalam jasad manusia itu ada
segumpal darah, apabila ia baik, maka baiklah seluruh jasad sementara apabila
ia rosak maka rosaklah seluruh jasad, ketahuilah itulah jantung hati.” Tidaklah dinamakan al-qalb
melainkan sifatnya yang taqallub (berbolak-balik), maka berhati-hatilah
kita daripada memiliki jantung hati yang berbolak balik ke arah maksiat dan
dosa.
Doa
salah satu yang diajarkan oleh Rasulullah …”Wahai Tuhan yang membolak-balikkan
jantung hati, tetapkanlah jantung hati kami terhadap agamamu”! (dikeluarkan oleh at-Tirmizi, hadis ke-2140,
3522), hadis hasan menurut at-Tirmizi).
No comments:
Post a Comment