Sifat-sifat
Roh (Hati)
Roh yang ada di dalam diri kita ini
terlalu abstrak (seni). Sifatnya sensitif, selalu berubah- ubah, sekejap baik
dan sekejap jahat. Perubahan ini berlaku terlalu cepat sekali sehingga susah
untuk kita mengesannya. Ini menyebabkan banyak sifat-sifat yang baik telah
terabai dan sifatsifat yang buruk (jahat) dibiarkan bermaharajalela dalam diri
sama ada disengaja atau tidak, disedari atau tidak.
Sifat-sifat roh terbahagi kepada dua
iaitu:
- Sifat-sifat mahmudah (sifat positif atau sifatsifat yang baik)
- Sifat-sifat mazmumah (sifat negatif atau sifatsifat yang keji)
Pertama:
Sifat-sifat mahmudah
antaranya: a) jujur b) ikhlas c)
tawadhuk d) amanah e) taubat f) sangka baik g) pemaaf h) pemurah i) syukur j)
zuhud k) tolak ansur (timbang rasa) l) sabar m) redha n) berani o) lapang dada
p) lemah lembut q) kasih sayang r) selalu ingat mati s) tawakal t) takut Allah
Kedua: Sifat-sifat mazmumah
di antaranya:
- riyak
- ujub
- sum’ah
- takabur atau sombong
- hasad dengki
- pemarah
- dendam
- bakhil
- penakut
- cinta dunia
- gila pangkat
- gila puji
- jahat sangka
- putus asa
- tamak
Kajian terhadap sifat-sifat mahmudah
dan mazmumah ini sangat penting kerana dengan adanya ilmu ini memudahkan
seseorang itu mengenal hakikat dirinya. Yakni, kenal sungguh tentang sifat
batinnya. Bila sifat baik dan sifat jahat sudah dikenal pasti ada dalam diri
seseorang itu maka tindakan yang perlu dilakukan ialah:
- Sifat-sifat yang terpuji (mahmudah) itu hendaklah kita pertahankan, suburkan, pertajamkan dan kekalkan kerana sifat-sifat ini dikehendaki dan diperintahkan oleh Allah dan Rasul serta digemari oleh manusia seluruhnya, yang mana itulah bunga diri pada seseorang.
- Sifat-sifat yang terkeji (mazmumah) pula hendaklah ditumpaskan, dikikis, dibuang, dihapus dan dicabut. Ini perlu dilakukan melalui proses mujahadatun nafsi (melawan hawa nafsu). Yakni melalui latihan terus-menerus terhadap nafsu (riadatun nafsi). Wajib dicabut buang sifat-sifat keji ini kerana sifat-sifat ini sangat dibenci oleh Allah dan rasul serta dibenci oleh manusia seluruhnya.
Untuk mendapat akhlak yang baik
(terpuji) macamlah proses mendapatkan buah yang baik dan manis. Ia didapati
setelah ditanam daripada benih-benih yang baik dan manis. Begitulah juga untuk
melahirkan perbuatan dan tindakan yang baik serta akhlak yang baik itu adalah
dengan menanam benih-benih yang baik di dalam roh (hati). Yakni benih-benih
sifat-sifat mahmudah seperti kasih sayang, rasa simpati, rasa malu, sukakan
ilmu pengetahuan, pemurah, pemaaf, sabar dan lain-lain lagi.
Buah yang masam adalah hasil ditanam
benih yang masam. Begitulah perbuatan atau tindakan yang buruk atau akhlak yang
buruk (keji) adalah berpunca daripada ditanam benih-benih yang keji (mazmumah)
di dalam roh (hati).
Adapun benih-benih mahmudah dan
benih-benih mazmumah yang wujud dalam roh (hati) hanya dapat dikesan oleh mata
hati yang dibantu oleh ilmu mengenainya. Bukan dengan mata kepala yang sifatnya
tidak dapat menjangkau dan merasainya. Yakni roh melihat roh. Hanya roh yang
dapat mengenali atau mengesan roh.
Ini bererti, mengesan sifat-sifat
roh ini mestilah melalui kepekaan pandangan mata hati serta dibantu oleh ilmu.
Perjalanan roh ini laju dan sentiasa berubah-ubah, sensitif dan berbolak-balik
dari detik ke detik. Kalau kita tidak peka dalam mengesannya setiap saat, kita
akan rugi. Tidak peka dalam mengesan sifat-sifat yang baik bererti kita telah
mengabaikan sifat-sifat roh yang baik atau perasaan-perasaan yang baik.
Maka sifat baik tadi jadi tidak
subur. Macam menanam pokok tanpa disiram air, tanpa diberi baja, tanpa dijaga,
walaupun pokok itu boleh tumbuh tetapi daunnya kuning, kering, akhirnya mungkin
mati. Yang baiknya, perlu ada guru mursyid yang memberi pimpinan atau didikan
(yang dapat memimpin hati kita, asalkan kita sanggup mentaatinya).
Tidak peka dalam mengesan sifat-sifat
mazmumah (jahat) bererti kita biarkan mazmumah itu berada dalam diri. Dari hari
ke hari mazmumah itu kian subur bersama suburnya jasad lahir. Akhirnya ia
menguasai diri dan kehidupan kita. Ketidakpekaan tadi menyebabkan mazmumah itu
tetap bersarang di dalam hati (roh), tidak ditumpaskan, dikikisbuangkan dan
dicabut.
Akhirnya hati yang jahat itu mendorong untuk
melakukan perbuatan atau tindakan-tindakan jahat atau akhlak-akhlak jahat. Yang
kerananya akan merosakkan pergaulan dan menerjunkan kita ke Neraka.
Bagaimanakah kaedah untuk mengesan
kelajuan perubahan sifat-sifat roh yang sentiasa berubah-ubah dan
berbolak-balik ini? Cara mengesan benih-benih sifat-sifat roh (hati) ialah roh
melihat roh atau roh meneropong roh. Diteropong, dikaji dan diselidiki
sebaik-baiknya dengan dibantu oleh ilmunya untuk memastikan di kala mana
berlaku sifat-sifat yang baik dan di waktu mana berlaku sifat-sifat jahat. Bila
didapati roh (hati) bersifat baik maka hendaklah disuburkan. Di waktu roh
(hati) bersifat jahat maka dikekang dan dilawan, serta ditahan.
CONTOH
SIFAT-SIFAT MAHMUDAH:
1.
Sifat kasih sayang
Dengan pandangan mata hati (mata
roh) kita akan dapat mengesan adanya benih kasih sayang dalam hati. Ia adalah
fitrah semula jadi yang murni. Yakni hati terasa terhutang budi kepada orang
yang membantu atau berjasa kepada kita. Mengikut istilah syariat dikatakan rasa
syukur atau rasa hendak balas budi. Ini sifat baik (positif). Apabila didapati
ada sifat-sifat ini dalam hati hendaklah disuburkan, dipertajamkan dan dikekalkan
serta dilaksanakan supaya kita jadi orang yang berterima kasih pada manusia.
Lebih-lebih lagi bersyukur kepada Allah kerana nikmat-Nya yang tidak pernah
putus-putus.
Rasa kasih sayang ini diperintahkan
oleh Allah dan Rasul. Rasulullah bersabda:
Maksudnya: “Barang siapa yang
tidak mengasihi sesama manusia maka dia tidak dikasihi Allah.” (Riwayat
Tirmizi)
Hadis ini menyuruh kita untuk
berkasih sayang. Ia mendorong kita untuk saling mengasihi antara manusia dan
makhluk Allah yang lain. Suburkan dan tajamkan lagi sehingga matang bersama
matangnya jasad lahir kita. Lakukan bermacam-macam cara untuk suburkan sifat
kasih sayang ini.
2.
Rasa simpati, timbang rasa atau tolak ansur
Benih rasa simpati atau timbang rasa
ini dapat dikesan ada dalam hati bila berhadapan dengan orang yang mendapat
kesusahan. Walaupun kita tidak dapat menolong dan membantunya tetapi secara
automatik timbul rasa belas kasihan atau simpati itu. Setelah dikesan didapati
ada sifat baik ini maka mestilah disuburkan dan dikekalkan. Ini supaya
mendorong kita menolong orang yang susah atau sanggup bersusah payah untuk
berkhidmat dan berbakti pada orang lain.
Syariat juga menyuruh kita
bersimpati atau bertimbang rasa atau bertolak ansur pada orang. Sabda
Rasulullah SAW: Maksudnya: “Sebaik-baik manusia ialah manusia yang dapat
memberi manfaat kepada manusia lain.” (Riwayat Qudha’i dari Jabir)
3.
Rasa malu
Benih rasa malu dapat dikesan
wujudnya dalam hati, lebih-lebih lagi bila kita berbuat salah. Rasa malu bila
orang lain tahu. Ini mesti disuburkan supaya dapat membendung kita daripada
berbuat salah, sekalipun kesalahan-kesalahan dosa kecil, apatah lagi dosa
besar. Ini juga mendorong kita segera bertaubat apabila bersalah. Seterusnya ia
akan menyuburkan sifat jujur (berlaku benar), ikhlas dan amanah terhadap Allah
dan Rasul serta manusia seluruhnya
4.
Rasa sukakan ilmu pengetahuan
Benih rasa sukakan ilmu pengetahuan
dapat dikesan ada dalam hati bila ada perasaan ingin tahu, ingin pandai, ingin
menyiasat, ingin memiliki ilmu sepertimana orang yang sudah ada ilmu, ingin
amalkan, ingin membaca, mengkaji, menilai dan prihatin pada satu-satu perkara
atau ingin mencari pengalaman sebanyak- banyaknya. Bila didapati benih sifat
baik ini ada dalam hati maka suburkan dan dorong lagi supaya kecintaan kepada ilmu
bertambah. Ini bersesuaian dengan perintah Allah dan Rasul-Nya. Sabda
Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Tuntutlah ilmu dari
buaian hingga ke liang lahad.”
Maksudnya: “Tuntutlah ilmu hingga
ke negeri China, menuntut ilmu itu wajib bagi setiap orang Islam.” (Riwayat
Ibnu Abdul Bar dari Anas)
Bertambahnya ilmu dan pengetahuan
memberi kesan lahiriah yang baik pada akhlak dan perbuatan seseorang itu
seperti berani, pandai, berwibawa, cakapnya bernas, hidup tidak buntu, kreatif
dan lain-lain lagi.
Perlu diingat bahawa sifat-sifat
yang baik yang disebut di atas tadi dan banyak lagi sifat-sifat mahmudah
lainnya itu, ia wujud bersama dengan jasad lahir. Rasa-rasa itu semuanya tidak
perlu dipelajari dan tidak ada guru yang mengajarinya. Ia adalah perasaan
semula jadi yang murni yang ada dalam hati. Cuma waktu kecil ia tidak subur.
Tetapi ia ikut dewasa bersama dewasanya tubuh kasar.
Benih-benih sifat-sifat mahmudah
tersebut mesti dikenal pasti dengan menggunakan teropong mata hati serta
dibantu oleh ilmunya. Kemudian sifat-sifat baik ini hendaklah disuburkan,
dipertajamkan dan didorong lagi supaya kita dapat mengekalkan sifat-sifat
mahmudah itu dalam diri. Dengan itu lahirlah akhlak-akhlak yang baik,
tindakan-tindakan yang mulia dan perbuatan-perbuatan yang terpuji dalam
kehidupan kita.
CONTOH
SIFAT-SIFAT MAZMUMAH:
1.
Rasa tidak senang (berdendam)
Benih-benih mazmumah rasa tidak
senang atau tidak redha atau berdendam dapat dikesan ada dalam hati di waktu
kita diuji atau ditimpa bala. Sama ada ujian-ujian itu berbentuk lahiriah atau
maknawiah (batiniah). Umpamanya:
- Terasa tidak senang bila dikata nista, dihina, diumpat, difitnah. Hati rasa marah, rasa dendam, rasa ingin hinakan orang itu semula. Ini sangat merbahaya. Boleh mencetuskan pecah ukhwah, pecah belah, huru-hara dan pergaduhan dalam masyarakat.
- Terasa tidak senang atau menderita bila tidak ada duit, tidak ada pangkat atau harta.
- Terasa tidak senang bila diuji dengan sakit atau kematian orang yang dikasihi.
- Terasa tidak senang atau kecewa apabila orang-orang yang dikasihi membuat ragam atau tidak bertanggungjawab.
Terasa tidak senang atau tidak redha
dengan takdir Allah. Ini dapat dikesan bila kehendak-kehendak atau hajat-hajat
hati tidak tercapai. Katalah kita hendak begian, dapat begian. Hendak banyak,
dapat sikit. Hendak pandai, tidak pandai-pandai juga. Hendak pangkat, jawatan,
pujian tapi tidak dapat-dapat. Barangkali kalau didorong sifat keji ini akan
timbul bimbang terhadap masa depan. Hati makin susah sebelum susah yang
sebenarnya menimpa. Misalnya hati merasa, “Bagaimana nanti kalau aku sakit?
Bagaimana kalau aku miskin? Kalau aku tak kahwin? Kalau aku tak dapat anak?
Kalau aku tak ada rumah? Kalau tak ada kebun selepas pencen? Dan macam-macam
hajat yang tak tercapai.”
Bila rasa tidak senang ini disuburkan,
ia boleh membawa kepada iri hati atau hasad dengki pada orang lain. Dia tidak
akan senang melihat ada orang yang dapat lebih nikmat atau lebih senang
daripadanya.
Setelah dikesan adanya rasa tidak
senang atau tidak redha dengan ketentuan Allah ini mestilah dikikisbuangkan,
ditumpas dan dicabut. Jika sifat-sifat ini tidak dibuang dan dibendung
sebaliknya disuburkan, ia akan jadi lebih parah lagi. Dia sentiasa keluh-kesah
atau gelisah bila berhadapan dengan sebarang ujian atau kesusahan. Ia menjadi
seorang yang pemarah, pendendam, tidak senang dan putus asa hingga timbul
akhlak-akhlak yang buruk atau perbuatan-perbuatan atau tindakan-tindakan yang
buruk yang merosakkan dirinya dan masyarakat. Maka hilanglah kebahagiaan hidup.
Sebab itu dalam Islam disuruh redha
dengan ketentuan Allah. Sifat tidak redha ini sangat dibenci Allah dan Rasul
serta seluruh manusia. Untuk membendungnya ingatlah perintahperintah Allah SWT.
Firman-Nya dalam Al Quran:
Maksudnya: “Janganlah kamu berputus
asa daripada rahmat dan pertolongan
Allah.
Sesungguhnya tidak berputus asa dari
rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan
kaum yang kafir
( surah Yusuf: ayat 87)
Ingatlah setiap perkara yang berlaku
sama ada baik atau buruk, hakikatnya daripada Allah. Ia ada hikmahnya yang
tersendiri, yang tersembunyi, untuk kebaikan dan manfaatnya pada diri kita
kalau kita pandai menerimanya.
Sebenarnya ada rahsia yang kita
tidak tahu. Mungkin kalau kita dapat apa yang kita kehendaki, kita tidak
bersyukur. Tentulah ini berdosa. Boleh jadi ada orang lain pula yang hasad
dengki dengan apa yang kita dapat itu. Bukankah itu membahayakan diri kita?
Kalau kita sedar hakikat ini tentulah kita rasa bertuah dengan apa yang ada
atau apa yang Allah berikan.
Walaupun tidak memenuhi hajat kita namun
tidaklah sampai rasa tidak senang, yang mana bererti kita tidak senang dengan
Allah, Tuhan yang Maha Adil itu. Bila rasa tidak senang ertinya kita kufur
dengan nikmat. Itulah penzaliman terhadap diri yang kita lakukan setiap saat.
Oleh itu sifat keji ini hendaklah dikikisbuangkan. Kalau tidak, ia akan menjadi
dosa dan menerjunkan kita ke Neraka, wal’iyazubillah.
2.
Rasa ujub
Benih rasa ujub ini dapat dikesan
bila kita dapat nikmat lebih sama ada lebih ilmu, lebih pangkat, lebih harta,
lebih cantik, lebih pandai, lebih bijak dan lain-lain kelebihan lagi. Waktu itu
hati terasa istimewa, terasa hairankan diri. Bila didorong lagi sifat keji ini
akan menjadi sifat riyak. Yakni timbul rasa ingin menunjuk-nunjuk. Seterusnya
bila disuburkan lagi berubah kepada sifat keji yang lain pula iaitu sifat
sombong. Yakni rasa bermegah-megah, rasa diri superman atau superwoman, rasa
hebat diri dan suka menghina orang lain.
Sifat keji ini bila didapati wujud
dalam hati, maka mestilah ditumpaskan dan dikikisbuangkan melalui proses
mujahadatunnafsi. Ini kerana sifat sombong atau takabur atau membesarkan diri
sangat dimurkai Allah. Yang mana ia merupakan pakaian Allah SWT yang tidak
dibolehkan bersekutu pada mana-mana makhluk-Nya.
Sombong ini boleh menimbulkan hilang
ukhwah, hilang kasih sayang dan benci-membenci. Akhirnya bergaduh dan timbul
perpecahan, krisis, tegang dan jatuh-menjatuhkan. Masyarakat jadi haru-biru dan
porak-peranda serta hilang kebahagiaan dan keamanan.
3.
Rasa tamak atau bakhil
Benih rasa tamak ini dapat dikesan
ada di hati bila kita melihat atau ternampak nikmat. Waktu itu rasa hendak
memiliki nikmat itu untuk jadi hak milik sendiri. Iri hati kalau nikmat itu
dipunyai oleh orang lain. Rasa tamak dan haloba menyerang hati. Walau apa cara
sekalipun dia akan usahakan untuk memilikinya tanpa mengira halal atau haram.
Rasa hati di waktu itu rakus,
gelojoh dan ganas. Dia tidak peduli sama ada menyusahkan orang lain atau tidak.
Melanggar hak asasi kemanusiaan atau tidak. Pokoknya dia dapat walau apa cara
sekalipun. Sifat keji ini tersangat merbahaya. Ia boleh bertindak merampas,
menipu, mencuri, merompak, rasuah, merogol, berzina, bergaduh dan akhirnya
berperang.
Penyakit ini perlu ditumpaskan dari awal lagi.
Bila dikesan ada rasa tamak, ia hendaklah ditumpaskan dan dikikisbuangkan
melalui proses mujahadatunnafsi. Ia sangat dibenci dan menjadi musuh Allah dan
Rasul-Nya serta seluruh manusia. Kemudaratannya bukan setakat di dunia bahkan
di Akhirat akan dicampak ke Neraka, wal’iyazubillah.
4. Rasa takut
Benih rasa takut dapat dikesan wujud
dalam hati bila berhadapan dengan makhluk yang lebih berkuasa, lebih kaya,
lebih berpangkat, lebih berpengaruh atau yang berbudi padanya dan lain-lain
lagi. Boleh jadi rasa takut ini juga disebabkan oleh inferiority complex dengan
makhluk.Bila takut menguasai diri, dia akan hilang kebebasan dan kemerdekaan
diri.
Kalau disuburkan rasa takut ini,
tanpa sedar dia akan menganggap makhluk lebih berkuasa daripada Tuhan. Terjebak
dengan mentuhankan makhluk tanpa sedar. Ini termasuk syirik khafi. Sifat keji
ini tersangat merbahaya. Ia mengakibatkan orang ini sanggup melanggar syariat
Allah dan Rasul serta menafikan kuasa Allah. Walaupun mulutnya mengatakan
Allah-lah yang berkuasa tetapi pada realitinya makhluklah tempat dia rujuk,
patuhi, taati dan takuti.
Ertinya, dia sudah mentuhankan
makhluk atau mentuhankan manusia. Contohnya, dia sembahyang, puasa, naik haji
tetapi tunduk dengan ‘tuan’nya bila disuruh jual atau beli atau minum arak.
Katalah dia tidak minum arak, cuma jual atau beli arak, tetapi kerana ‘tuan’nya
memberinya gaji, maka dia taat dan patuh. Walhal dia tahu perbuatan ini jelas
melanggar syariat Allah. Ertinya dia lebih takutkan arahan manusia melebihi
suruhan Allah SWT.
Oleh itu sifat keji ini hendaklah
dihapus dan ditumpaskan daripada bersarang di hati kita. Kalau perkara ini
tidak dikaji dan diteliti, sudah tentu tidak diketahui. Kikiskanlah dengan
menanam rasa takut hanya pada Allah. Rasakanlah Allah Maha Berkuasa, Maha Besar
dan Allah-lah Maha Kuat dan Maha Gagah daripada segala-galanya. Semua makhluk
ini sama-sama lemah di sisi Tuhan yang Maha Perkasa itu. Kalaupun makhluk itu
kuat atau berkuasa, hanya kerana dia diberi nikmat yang lebih sedikit saja
daripada orang lain.
Tetapi dia tetap lemah dan tetap
dalam kuasa Tuhan yang Maha Berkuasa. Allah telah mendidik kita agar hanya
pada-Nya kita wajib takut dan menghinakan diri. Ini kerana Allah-lah yang Maha
Mencipta, Maha Menganugerah, Maha Pemberi, Yang Menghidupkan dan Yang
Mematikan. Allah-lah yang mengadakan dan mentiadakan sesuatu. Allah-lah yang
menentukan nasib makhluk. Allah-lah yang muassir (memberi bekas). Selain-Nya
semuanya tidak lebih gagah, tidak lebih besar dan tidak memberi bekas apa-apa.
Walaupun makhluk itu lahirnya kita nampak
besar dan hebat, gagah dan berkuasa tapi hakikatnya semua makhluk itu tetap
dalam genggaman Allah SWT. Hanya empat sifat mazmumah saja yang kita kaji
secara terperinci di sini, yang merupakan sebahagian daripada sifatsifat
mazmumah yang banyak itu.
Perlu diingat juga bahawa sifat-sifat yang
jahat ini semuanya sudah wujud bersama lahirnya tubuh kasar. Rasa-rasa itu
tidak perlu dipelajari dan tidak ada guru yang mengajarinya. Cuma waktu kecil
ia tidak subur. Tetapi ia ikut dewasa bersama dewasanya tubuh kasar. Oleh itu
benih-benih sifat mazmumah dalam hati ini mesti dikenal pasti di awal-awal
lagi.
Dengan menggunakan teropong mata
hati dengan dibantu oleh ilmunya, sifat-sifat jahat ini mesti ditumpaskan dan
dikikisbuangkan melalui proses mujahadatunnafsi (yang akan kita bincangkan
dalam bab akan datang). Barulah sifat mazmumah ini dapat dikekang dan
dikosongkan, yang akhirnya sifat mahmudah dapat diisi dalam hati.
Di sinilah pentingnya mengkaji dan
mengesan sifat-sifat roh (hati). Supaya setelah kedua-duanya dikesan, yang
mahmudahnya dapat disuburkan dan yang mazmumahnya dapat dihapuskan. Barulah
manusia itu kembali kepada hakikat dirinya.
Yakni hakikat manusia itu sendiri.
Ini kerana nilai diri manusia itu adalah pada sifat roh (hati)nya. Ia jadi
penentu yang mencorak kehidupannya dan manusia seluruhnya. Roh ini dikekalkan
untuk ditanya dan dipertanggungjawabkan di Akhirat nanti. Roh inilah yang
mukalaf. Ia yang akan merasai nikmat atau azab. Roh inilah juga yang akan ke
Syurga
No comments:
Post a Comment