Wednesday, June 19, 2013

Bab Ibadah ( solat jamak qasar )



JAMAK DAN QASAR ORANG YANG BERULANG-ALIK KE TEMPAT KERJA MELEBIHI 2 MARHALAH

Harus melakukan jamak dan qasar bagi orang yang berulang-alik dari rumah ke tempat kerja jika jarak perjalanannya melebihi 2 marhalah (85-90km) -berdasarkan jarak sehala- dan tempoh menetap di tempat kerja kurang 4 hari (tidak termasuk hari tiba dan hari pulang), walaupun musafir itu berlaku setiap hari. Kelonggaran untuk melakukan jamak dan qasar adalah dengan sebab safar (perjalanan), maka apabila ada/wujud sebab tersebut, haruslah kelonggaran itu di ambil walaupun setiap hari atau berulang kali kerana ia adalah sedekah Allah untuk hamba-hambaNya.

Bermula keharusan jamak dan qasar itu ialah apabila kita telah keluar dari rumah dan melepasi daerah/qariah/kawasan penempatan kita dan keharusan itu tamat apabila kita memasuki semula daerah/qariah/kawasan penempatan kita (semasa pulang nanti) kerana safar kita telahpun tamat. Wallahu a'lam.
Soalan; salam,ust...saya ada sedikit kekeliruan.Rumah saya di Kuala Lumpur dan tempat saya bekerja di Melaka.Di Melaka saya tinggal di rumah sewa/tumpangan saya sementara iaitu hanya hari Isnin,Selasa,Rabu,Khamis dan Jumaat.Saya akan balik ke rumah saya di Kuala Lumpur pada hari Jumaat  itu pada waktu malam terus dari tempat kerja saya yang luar dari kawasan rumah tumpangan saya di Melaka.Bolehkah saya bersolat jamak di tempat kerja saya iaitu solat Zohor dgn Asar dan Magrib dgn Isyak dan saya memang berniat untuk bermusafir dan balek dari tempat kerja saya terus ke rumah apabila selesai kerja pada waktu malam.Kemudian,apabila saya ingin pulang bekerja di Melaka pada hari Isnin nya pula,saya akan terus ke tempat kerja saya dan apabila selesai kerja pada waktu malam baru saya akan pulang ke rumah sewa/tumpangan saya.Bolehkah sya solat jamak zohor dgn asar dan magrib dgn isyak dipejabat saya itu?Mohon pencerahan dari Ustaz.Terima kasih.

Jawapan;

Harus saudara menjamak dan mengqasarkan solat sepanjang saudara berada di Melaka kerana saudara tidak menjadi muqim kerana tempoh saudara menetap di sana (tanpa hitungan hari masuk dan hari keluar) tidak mecukupi 4 hari. Menurut mazhab Syafiie; seseorang itu hanya menjadi muqim (yakni hilang sifatnya sebagai musafir) apabila ia berniat untuk tinggal di satu tempat selama 4 hari atau lebih tanpa dikira hari tiba dan hari akan keluar. Merujuk kepada kes saudara; (ditolak hari saudara tiba (iaitu hari isnin) dan hari saudara pulang (iaitu hari jumaat)) tempoh iqamah (menetap) saudara di Melaka -mengikut fiqh- hanyalah 3 hari iaitu pada hari selasa, rabu dan kamis. Oleh demikian, sifat saudara sebagai musafir masih kekal dan saudara diharuskan menjamak dan mengqasarkan solat di sepanjang berada di Melaka (sama ada di rumah tumpangan, di pejabat atau lainnya). Keharusan itu hanya tamat apabila saudara tiba di kawasan mustautin saudara di Kuala Lumpur.

JAMAK DAN QASAR DI TEMPAT KERJA

1. Boleh melakukan jamak dan qasar di tempat kerja saudara jika saudara berniat musafir dari rumah dengan syarat rumah dan tempat kerja saudara tidak berada di dalam taman/pekan/kampung yang sama. Apabila saudara telah berniat musafir dari rumah untuk menuju satu destinasi yang jaraknya melebihi dua marhalah, kemudian saudara keluar dan melepasi daerah/kawasan penempatan saudara, bermulalah keharusan saudara untuk mengambil rukhsah safar (iaitu kelonggaran atau kemudahan yang diberikan Syariat untuk orang yang bermusafir; antaranya memendek dan menghimpunkan solat fardhu).

2. Jika saudara telah menjamakkan isyak ke dalam waktu maghrib, tidak wajib lagi saudara mengulangi solat isyak apabila sampai di rumah walaupun ketika sampai itu waktu isyak belum masuk atau waktu isyak masih ada, kerana solat isyak saudara secara jamak tadi telahpun dikira. Berkata Imam an-Nawawi dalam Matan al-Minhaj; "Jika (seseorang) melakukan jamak taqdim, lalu ia menjadi muqim (iaitu tidak lagi berada dalam keadaan safar dengan sebab telah berniat iqamah atau dengan sebab telah sampainya kapal di tempat tuju) pada saat di antara dua solat jamak tersebut (yakni ia telah selesai mengerjakan solat pertama, namun sebelum mengerjakan solat kedua ia telah berubah menjadi muqim), batallah jamaknya (yakni wajib atasnya menganjakkan solat kedua ke dalam waktunya, adapun solat pertama ia tidak terjejas dan tidak perlu diulangi). Adapun jika ia menjadi muqim ketika sedang mengerjakan solat kedua atau setelah selesai mengerjakan solat kedua, tidak batal jamaknya mengikut pandangan yang ashah (yakni pandangan terkuat dari ulamak-ulamak mazhab Syafi'e) (kerana solat kedua itu dilakukan ketika keuzuran yang mengharuskan jamak (iaitu safar) masih ada". (Mughni al-Muhtaj, 1/373).

FIDYAH WANITA YANG MENYUSU DAN HAMIL

Soalan; Assalammualaikum..Saya ada beberapa soalan mengenai puasa..
1) 2 tahun lepas 2010 saya tidak puasa kerana mlahirkan bayi. lebih kurang sminggu sebelum akhir ramadhan saya telah bole puasa. Maka saya berpuasa. - masih myusukan anak. selepas itu anak saya kembung perut. jadi 1 hari sahaja saya puasa. Selepas 6 bulan. Tidak meyusukan bayi lagi saya menggantikan puasa selama 29 hari. Habis ganti sebelum ramadan berikutnya. Pada masa itu saya tidak tahu kalau tinggal kan puasa sebab myusukan bayi dan hamil kena bayar fidyah. Bagaimana saya mahu kira semula fidyah untuk 2 tahun lepas kerana saya tidak pasti tarikh sebenar saya bole puasa..
2) pada puasa tahun 2012 ini saya hamil 3 bulan. saya berpuasa cuma 1 hari sehingga pukul 5 petang saya tidak tahan lapar rasa nak pengsan. maka saya berbuka. Ini perlu fidyah juga?
Terima kasih..

1. Fidyah yang dikenakan ke atas wanita menyusu tidak berganda dengan bergandanya tahun. Jadi, puan hanya perlu membayar fidyah untuk hari-hari yang puan terpaksa berbuka kerana maslahah anak yang disusui. Contohnya; jika puan tidak berpuasa 6 hari kerana maslahah anak yang disusui itu, maka fidyah yang diwajibkan 6 fidyah sahaja. Ia menjadi tanggungan seumur hidup (mesti dikeluarkan sebelum mati) dan tiada gandaan dikenakan jika menangguhnya, cuma yang terbaik ialah segera mengeluarkannya.


2. Jika puan berbuka kerana maslahah puan (bukan maslahah anak dalam kandungan) iaitu puan sendiri yang merasakan tidak mampu berpuasa (bukan berbuka kerana bimbangkan anak dakam kandungan), tidak dikenakan fidyah ke atas puan. Puan hanya wajib mengqadha sahaja puasa yang dibuka itu.

CARA MENGURUSKAN NAJIS

Soalan; Assalamualaikum Ustaz, Saya menjaga ibu mertua yang berusia 90 tahun. Ibu mertua saya masih boleh berjalan walau agak payah. Olehitu, beliau enggan memakai lampin pakai buang. Kerana faktor usia beliau kadang kala tidak dapat menahan najis (kecil dan besar) dari tercicir di aas lantai. Soalan saya ialah, bagaimanakah cara menguruskan najis yang tercicir atas lantai rumah? Adakah memadai dengan sayang membuang ain najis tersebut kemudian saya  mopkan kawasan yang terkena najis dengan air sebanyak 2 kali bilas? Perlukan saya mengalirkan air sebanyak 2 kolah untuk membersihkan najis tersebut? Jika saya berbuat begitu, dikhuatiri bekas najis tersebut akan merebak ke bahagian lain. Selepas dicuci, bolehkan kita bersolat ditempat yang pernah terkena najis? Bagaimana pula dengan pakaian mertua saya? Bolehkah saya membuang najis dengan membilas pakain tersebut dengan air mengalir kemudian membasuhnya bersama pakaian lain di dalam mesin basuh? Bolehkah pakaian yang dibasuh bersama pakaian mertua saya dibawa bersolat? Saya amat berharap agar Ustaz dapat menjawab soalan saya ini untuk menghilangkan rasa was was sambil berusaha menjaga mertua dengan sebaik mungkin.

1. Buang 'ain najis terlebih dahulu, kemudian alirkan air ke atas tempat/kawasan yang dikenai najis dan lapkan. Lakukan sehingga hilang kesan najis. Jika perlu menggunakan sabun untuk menanggalkan najis, gunakanlah. Bilangan basuhan tidak disyaratkan. Yang disyaratkan ialah hilang kesan najis iaitu bau, warna dan sebagainya. Jika dengan sekali basuhan kesan najis telah hilang, tidak perlu lagi diulangi basuhan. Begitu juga, tidak disyaratkan kuantiti air mesti air dua kolah. Hanya disyaratkan air mutlak dengan kadar yang mencukupi untuk menghilangkan najis. Jika dengan air yang sedikit (yakni kurang dua kolah) sudah dapat menghilangkan kesan najis tadi, sudah memadai basuhan itu. Malah berlebihan menggunakan air tanpa perlu, hukumnya makruh kerana membazir.

2. Pakaian yang dikenai najis; tidak harus dibasuh dengan merendamkannya ke dalam tank (bekas) mesin basuh kerana ia akan menajisi air di dalam tank tersebut. Dari segi hukum, air yang kurang dari dua kolah jika dimasuki/dijatuhi najis otamatik air itu menjadi mutanajjis (yakni air yang bercampur najis) walaupun tidak nampak kesan najis pada air itu dan tidak harus digunakan lagi air itu untuk bersuci. Jika diputarkan pakaian bernajis di dalam tank mesin basuh, basuhan itu tidak dikira melainkan setelah dibilas kemudiannya dengan air bersih (mutlak) barulah dianggap suci pakaian tersebut dengan syarat tidak ada lagi kesan najis pada pakaian tersebut (warna, bau dan sebagainya).

Adapun membasuh pakaian yang kotor/cemar tetapi tidak najis (seperti pakaian yang berpeluh,terkena kuah makanan, tanah dan sebagainya) tidak mengapa merendamnya ke dalam tank mesin basuh dan memutarkannya kerana bahan-bahan kotor/cemar itu tidak akan menajisi air (kerana ia bukan najis). Tujuan basuhan tersebut bukan untuk menghilangkan najis, tetapi hanya untuk menghilangkan kesan cemar pada pakaian, kerana itu tidak dikenakan syarat sebagaimana basuhan najis. Oleh itu, sebaiknya pakaian yang bernajis tidak dicampurkan dengan pakaian yang tidak bernajis di dalam satu tank mesin basuh. Jika ingin dicampurkan,hendaklah dipastikan semua pakaian dibilas (yakni dialirkan air ke atasnya) setelah diputarkan dalam mesin basuh (termasuk pakaian yang tidak bernajis juga perlu dibilas).

3. Pakaian bernajis yang telah dibasuh dengan sempurna hingga hilang kesan-kesan najis darinya, ia kembali kepada hukum asalnya (iaitu suci/bersih) dan harus dipakai ketika solat. Tidak perlu lagi ada perasaan was-was apabila basuhan telah sempurna dan kesan najis tidak ada lagi.

ADAKAH ISTERI SUNAT MELAUNGKAN IQAMAH KETIKA SOLAT BERSAMA SUAMI?


Tidak disunatkan kepada isteri melaungkan iqamah, akan tetapi suamilah yang sunat melaungkannya. Wanita hanya disunatkan melaungkan iqamah jika ia mengerjakan solat sendirian atau sesama wanita (tanpa kehadiran lelaki). Adapun azan, tidak sunat wanita melaungkannya walaupun solat sesama wanita. Jadi, yang disunatkan hanya iqamah sahaja.

Rujukan;

1. Al-Masu'ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah, 6/9.
2. 'Umdatu as-Salik, Ibnu an-Naqib, hlm. 38.
3. Syarah Muqaddimah al-Khadhramiyah, 1/184.

MASALAH MUNTAH/JELUAK BAYI

Soalan; Saya ada soalan ustaz, mengikut mazhab maliki, muntah yg sedikit adalah najis yang dimaafkan dan dibolehkan dibawa dlm sembahyang. Soalan saya, adakah boleh saya berpegang pada mazhab maliki dalam bab2 najis yg dimaafkan ini kerana amat merumitkan saya kerana saya mempunyai bayi kecil yg sering muntah / jeluak dan saya sentiasa terpaksa membersihkan muntah/jeluak tersebut walaupun sedikit. Sedikit dalam mazhab maliki adalah selebar titik hitam pada wang dirham. Apakah yg dimaksudkan itu ya ustaz? Mohon pencerahan dan terima kasih byk2 atas bantuan ustaz.
Muntah adalah najis mengikut pandangan jumhur ulamak termasuk mazhab empat (Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali) kerana ia adalah makanan yang melalui proses pengubahan dalam perut, maka ia menyamai tahi. Kerana itu, pakaian yang terkena muntah, wajib dibasuh sebelum dipakai ketika solat. Namun, para ulamak menegaskan; najis dimaafkan jika kadarnya sedikit. Menurut mazhab Hanafi; kadar sedikit itu ialah yang kurang dari kadar saiz 1 dirham (iaitu kira-kira sebesar duit 5 sen). Ia dimaafkan, yakni tidak wajib membasuhnya sebelum memasuki solat. Khusus mengenai muntah anak kecil, Imam Najmuddin an-Nasafi (ulamak mazhab Hanafi) berkata dalam fatwanya; “Anak kecil yang menyusu, kemudian muntah mengenai pakaian ibunya, jika muntah itu memenuhi mulut, ia adalah najis. Maka jika kadarnya melebihi satu dirham, ditegah mengerjakan solat dengan memakai pakaian tersebut”. Dari fatwa ini kita dapat memahami bahawa, muntah anak kecil jika kadarnya sedikit (kurang dari saiz satu dirham), dimaafkan dan harus memakai pakaian yang dikenainya untuk mengerjakan solat.
Menurut mazhab Syafiie; ukuran banyak atau sedikit najis itu bergantung kepada pandangan ‘uruf (yakni pandangan menurut kebiasaan). Jika najis yang mengenai badan atau pakaian itu di dianggap sedikit oleh kebiasaan orang sekeliling yang melihatnya, ia dikira sedikit dan dimaafkan. Jika dianggap banyak, maka ia adalah banyak dan tidak dimaafkan. Menurut mazhab Hanbali; ukuran sedikit atau banyak itu kembali kepada pandangan hati sendiri. Jika hati merasai kotor dan menjijikkan kerana kadarnya telah melampaui had, maka ia dikira banyak. Jika hati tidak merasai begitu, ia masih dikira sedikit dan dimaafkan.
Menurut mazhab Syafiie juga; najis turut dimaafkan jika sukar dielakkan, walaupun najis itu banyak. Contohnya; darah pijat, kutu dan nyamuk, darah dari bisul, jerawat, luka, kudis, tempat bekam dan sebagainya. Khusus tentang muntah, ulamak mazhab Syafiie menegaskan; jika seseorang itu menghadapi kesukaran berdepan dengan muntahnya (kerana selalu muntah), dimaafkan muntah yang mengenai badan atau pakaiannya sekalipun muntah itu banyak.  
Menurut mazhab Maliki, muntah hanya dikira najis jika keluarnya dalam keadaan telah berubah dari rupa makanan (yakni ia tidak nampak lagi rupa makanan). Sekiranya yang keluar itu masih berupa makanan, ia tidaklah najis. Adapun di sisi mazhab-mazhab selain tadi; semua jenis muntah adalah najis asalkan ia keluar dari perut, sama ada yang keluar masih berupa makanan atau tidak lagi berupa makanan.
Segelintir ulamak (antaranya Imam as-Syaukani) berpandangan; muntah keseluruhannya tidaklah najis kerana tidak ada sebarang dalil yang menegaskannya sebagai najis, oleh itu ia kekal di atas hukum asalnya iaitu suci (kaedah Fiqh menegaskan; asal semua benda di atas muka bumi ini adalah suci selagi tidak terdapat nas yang soheh yang menyatakan kenajisannya).
Kesimpulannya, muntah (termasuk muntah bayi) adalah najis menurut jumhur ulamak. Namun ia dimaafkan jika kadarnya sedikit dan sukar dielakkan. Merujuk kepada soalan; jeluak bayi yang mengenai pakaian ibu dimaafkan selama ia sedikit. Adapun jika telah banyak, ia tidak dimaafkan, maka wajiblah dibasuh pakaian tersebut sebelum mengerjakan solat. Namun jika ibu mengalami kesukaran hendak membasuhnya setiap kali hendak solat (seperti anak terlalu kerap jeluak), dimaafkan kerana kaedah fiqh ada menyebutkan; al-masyaqqah tajlibu at-taysir (keadaan kepayahan mengizinkan untuk mengambil kemudahan).
Rujukan;
1.      Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 34/85.
2.      Mughni al-Muhtaj, 1/112, 267-268.
3.      Al-Mughni (Imam Ibnu Qudamah), 2/54.
4.      Kifayat al-Akhyar, hlm. 92.
5.      Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Muyassarah, Husain bin ‘Audah al-‘Awayisah, 1/59.

HUKUM WANGIAN (PERFUME) BERALKOHOL

Alkohol ada yang datang dari arak dan ada yang bukan. Setiap arak mengandungi alkohol, namun tidak semua alkohol itu adalah arak. Oleh demikian, alkohol yang terdapat di dalam wangian (perfume); jika ia bukan datang dari arak atau dari proses pembuatan arak, ia tidak najis dan harus dipakai termasuk ketika solat. Jika ia datang dari arak, hukumnya adalah najis mengikut hukum arak itu sendiri di mana arak adalah najis menurut jumhur ulamak(1). Syeikh Dr. 'Ali Jumaah Muhammad menegaskan di dalam fatwanya; "Alkohol yang digunakan sebagai bahan dalam perfume, jika ia dari jenis alkohol ethanol, ia adalah arak dan penggunaannya dalam perfume menyebabkan perfume itu menjadi najis dan tidak harus digunakan mengikut Syariat berdasarkan pandangan jumhur ulamak (yang berpandangan arak adalah najis)".

Wallahu a'lam.

Rujukan;


1. Fatwa Syeikh 'Atiyah Saqar (Himpunan Fatwa Dar al-Ifta', Mesir, 8/413)
2. Fatwa Syeikh Dr. 'Ali Jum'ah Muhammad (www.dar-alifta.org)
3. Fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan (www.e-fatwa.gov.my).

(1) Menurut jumhur ulamak termasuk imam-imam mazhab empat; arak adalah najis kerana Allah mengharamkan memakannya kerana zatnya, maka ia adalah najis sama seperti daging babi, bangkai dan sebagainya lagi yang haram dimakan. Selain itu, mereka juga berdalilkan firman Allah (bermaksud); “Wahai orang-orang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala, mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, (semuanya) adalah
rijs (kotor/keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya”. (al-Maidah; 90)

 

Segelintir ulamak -iaitu Imam ar-Rabi’ah (guru Imam Malik), al-Laith bin Sa’ad, Imam al-Muzani (tokoh ulamak dalam mazhab Syafiie), Daud az-Zahiri, as-Syaukani, Imam as-Son’ani, Rasyid Redha- berpandangan; arak tidak najis kerana tidak ada dalil dari Syarak yang menegaskan kenajisannya. Walaupun ia haram diminum, namun tidak semua benda yang haram dimakan atau diminum secara otomatik dapat dihukum sebagai najis. Setiap najis adalah haram dimakan, namun tidak semua yang haram dimakan adalah najis. Ganja, dadah dan racun-racun/bias-bisa yang boleh membunuh semua itu haram dimakan, namun pada masa yang sama ia adalah suci (tidak najis). Sesuatu itu dapat dianggap najis jika ada nas yang menegaskan ia adalah najis. Jika tidak ada nas, ia kekal di atas hukum asalnya iaitu suci. Tidak ada nas yang menegaskan arak adalah najis. Adapun ayat di atas, perkataan “رجس” (kotor/keji) di dalam ayat tersebut bukan bermaksud najis hissi (yakni najis yang dapat dilihat atau dirasai yang menjadi perbahasan kita), akan tetapi ia bermaksud najis maknawi (yakni kekotoran batin) iaitulah dosa dan munkar. Ini kerana perkataan “رجس” (kotor/keji) itu bukan sahaja ditujukan kepada arak, tetapi juga ditujukan kepada judi, berhala dan anak-anak panah (untuk mengundi nasib). Benda-benda selain arak itu (yakni judi, berhala dan anak-anak panah) jika kita memegangnya tidak ada ulamak yang berkata kita memegang najis. Ini menunjukkan bahawa kekotoran yang dimaksudkan oleh ayat tersebut bukanlah kekotoran hissi, akan tetapi kekotoran maknawi. 
(Rujuk; Tafsir al-Qurthubi, surah al-Maidah, ayat 90). 


HUKUM BUAT KORBAN UNTUK ORANG MUSLIM YANG TELAH MATI

Sebenarnya masaalah kita yang hidup ini buatkan ibadah korban untuk si mati merupakan masaalah diperbincangakn dalam mazhab 4 (Hanafi,Maliki,Syafie&Hambali) mengikut keadaan yang pelbagai dan penjelasan yang terdapat perbezaan pendapat. Maka ia masaalah khilafiah.

Tetapi saya lebih cenderung kepada menggunakan pendapat yang mengharuskannya walaupun ia tidak pernah diwasiatkan oleh si mati ini kerana Rasulullah pernah membeli dua ekor kibash yang besar dan terbaik kemudian baginda menyembelih/korbankan seekornya dengan niat untuk umat baginda yang bertauhid (merangkumi yang mati dan hidup) kemudian seekor lagi disembelih/dikorbankan untuk baginda sendiri dan ahli keluarga baginda (juga merangkumi yang hidup&yang mati)-Riwayat Ahmad.

Begitu juga terdapat dalam Sohih Muslim bahawa Nabi Muhammad buat korban dengan niat untuk diri baginda dan ahli keluarga baginda. Maka ia merangkumi yang telah mati dan masih hidup ketika itu. Bahkan disana terdapat banyak riwayat yang menunjukkan keharusan melakukan korban untuk orang lain samaada masih hidup atau telah mati seperti dalam riwayat Abu Daud seorang lelaki bertanya adakah boleh saya lakukan korban untuk ayah saya maka nabi mengakui dan mengharuskannya.

Dalam kes ini disisi Mazhab Empat pula terdapat pandangan yang terkenal (masyhur) dalam Mazhab Syafi'e adalah tidak harus kecuali si mati pernah wasiatkan sedemikian. Saya katakan jika ia diwasiatkan maka menjadi wajib untuk dilaksankan dan bukan lagi harus sahaja hukumnya. Bahkan terdapat pandangan (qaul) disisi sebahagian Syafi'iyyah bahawa harus lakukan korban untuk yang telah mati walaupun tidak pernah diwasiatkan sedemikian kerana ia seperti sedekah dan ia sampai kepada si mati disisi IJMAK (rujuk At-Tuhfah, Al-Majmuk & Mughni Muhtaj).

Manakala dalam Mazhab Hanbali dan Hanafi mengharuskan amalan tersebut (rujuk Matolob Ulil Nuha dalam fiqh Hambali dan Durru Mukhtar serta Hasyiah oleh Ibnu 'Abidin dalam Mazhab Hanafi)

Dan juga banyak pandangan disini Mazhab Maliki yang mengharuskannya (rujuk Al-Ahwazi oleh Qodhi Ibnu Al-Arabi Al-Maliky).

Maka saya menyatakan bahawa harus kita melakukan ibadah korban untuk si mati beragama islam walaupun simati tidak pernah mewasiatkannya tetapi terbaik adalah lakukan untuk diri sendiri kemudian baru dilakukan untuk si mati atau disekalikan niatnya.

Rujukan semasa saya dalam hal ini adalah dua tokoh ulama berketurunan Rasulullah iaitu Dr Syeikh Toriq Najib Lahham Al-Husaini & Dr Syeikh Salim Alwan Al-Husaini.

1 comment:

  1. assalamualakum wr.wb.saya mau tanya ....saya seorang pekerja d taiwan yg setiap hari saya memegang babi lantas bagai mana hukum solat saya apakah d terima Allah...dan apakah kita melaksanakan solat dengan tergesa gesa apakah solat say d terima ...atau mendapatkan pahala ....akan tetapi itu semua kami lakukan karna mencuri waktu dari majikan gak ada kami langsung medirikan solat dgn tergesa gesa...mohon petunjuk ustad

    ReplyDelete