أَشْهَدُ أَن لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ،
وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ،
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا
مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، إِتَّقُوا اللهَ،
أُوْصِيكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُونَ.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Marilah
kita bersama-sama bertakwa kepada Allah SWT dengan memperkukuhkan pengabadian
diri kita kepada-Nya dengan melaksanakan
segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan
pada hari yang penuh berkat ini
menjadikan kita insan yang berjaya di dunia dan akhirat.
Tajuk
kuliah pada hari ini ialah: “KAYA
DUNIA MISKIN AKHIRAT”.
Muslimin Yang di
Rahmati Allah,
Sebagai seorang Islam kita seharusnya
bijak melayarkan bahtera kehidupan ke arah yang benar mengikut petunjuk yang
telah digariskan oleh al-Quran dan al-Hadith. Dalam menuju ke destinasi akhirat
maka hendaklah kita mencari dan mengumpul seberapa banyak bekalan pahala kebajikan dan kebaikan semasa hidup di
dunia. Ingatlah sebagaimana pesan Nabi kita dalam hadithnya yang bermaksud:
Dunia ini sebagai tempat bercucuk tanam. Hasilnya kita akan
kecapi
di Akhirat nanti.” Dan “Beramallah
untuk dunia seolah-olah kamu
akan hidup selama-lamanya. Beramallah untuk akhirat
seolah-olah
kamu akan mati keesokannya.
Ketahuilah oleh kita bahawa segala amalan
kita di dunia ini akan dibentangkan di akhirat, ianya tidak terkecuali walaupun
ia sekecil zarah sekali pun . Pada ketika itu kita akan melihat segala amalan
semasa hidup ini dalam suratan amal, ada yang berpahala, ada juga yang berdosa.
Mereka yang berdosa itu akan merasa takut dengan keadaan muka yang suram
mengenangkan apakah balasan yang akan diterimanya. Pada masa itu kita tidak
menghiraukan orang lain.. kita hanya dalam kedukaan mengenangkan nasib diri
kita sahaja..
Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah
al-Kahfi ayat 49:
Maksudnya: “ Dan Kitab-kitab Amal dibentangkan, maka
engkau akan melihat orang yang berdosa itu merasa takut akan apa yang tersurat
di dalamnya; dan mereka berkata: Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini
demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau besar, melainkan
semua dihitungnya! Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu ada tertulis
di dalamnya. dan ingatlah Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorang pun. ”
Namun persoalannya pada hari ini ada
daripada kalangan kita yang kaya di dunia tetapi miskin di akhirat dengan kata
lain mereka ini banyak melakukan amalan kebaikan dan kebajikan semasa di dunia
tetapi ketika di akhirat mereka ini dikira sebagai golongan miskin ataupun
muflis.. Kenapa jadi sebegini?. Jawapannya ialah kerana semasa hidup di dunia,
mereka melakukan kebaikan dan kebajikan serta dalam masa yang sama mereka juga
melakukan kejahatan dan dosa sesama manusia. Segala ganjaran pahala kebaikan di
ambil oleh Allah SWT bagi membayar segala hutang kejahatan semasa hidup di
dunia ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW :
مَنْ المُفْلِسُ؟ اَلإْنْسَانُ المُفْلِسُ
لَيْسَ مَنْ لاَ مَالَ لَهُ
وَلاَ مَأْوَى إِنَّمَا المُفْلِسُ اَلْحَقِيْقِيُّ اَلَّذِيْ عَلَيْهِ
حُقُوْقٌ لِلنَّاسِ فَتَرَاهُ سَبَّ هَذَا وَغَصَبَ مَالَ ذَاكَ وَضَرَبَ آخَرَ
Maksudnya: “Siapa yang muflis?
Manusia yang muflis itu bukanlah mereka yang tidak berharta dan tempat tinggal."Sesungguhnya
orang yang muflis itu ialah mereka yang tidak menunaikan hak-hak orang lain
seperti mencaci dan merampas harta tanpa hak, memukul tanpa sebab dan
sebagainya”.
(Riwayat Muslim)
Dan sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud
Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Para
sahabat menjawab: Bagi kami orang yang muflis ialah orang yang tidak memiliki
wang mahupun hartabenda”. Lalu Rasulullah SAW bersabda lagi: Sebenarnya orang yang
muflis dalam kalangan umatku ialah mereka yang pada hari Kiamat datang dengan
membawa pahala amal solat, puasa, zakat dan haji tetapi semasa di dunia mereka
pernah mencaci maki orang, menuduh tanpa bukti, memakan harta dengan zalim,
membunuh dan memukul sesuka hati. Lalu pada hari kiamat, orang yang di zalimi
akan menerima pahala amal si penzalim. Jika pahala amalnya telah habis
(diberikan) sedangkan kesalahan dan dosanya semasa di dunia kepada orang yang
tidak berdosa masih banyak, maka Alllah SWT akan memberi pula dosa orang yang
dizalimi itu kepadanya sehingga semakin berat bebannya, lalu Allah SWT
campakkan dia ke dalam neraka.
(Riwayat Muslim)
Berdasarkan hadith ini, dapat kita fahami
bahawa golongan yang menjadi muflis di akhirat adalah berasal daripada mereka
yang memiliki pahala yang banyak. Bagaimanapun, semua pahala ibadah mereka itu
habis kerana digunakan sebagai bayaran ganti rugi kepada insan yang pernah
disakiti, dikianati, dihina, dibunuh atau dizalimi. Bahkan mereka juga akan dibebankan
dengan dosa orang yang dizalimi. Alangkah ruginya golongan muflis ini. Ganjaran
pahala yang dikumpulkan dengan mengerjakan bermacam kebaikan dan ibadah,
akhirnya menjadi barang tukaran kerana denda yang perlu dibayar dengan sebab
kesalahan terhadap orang lain. Kuat beribadah dan memiliki pahala yang banyak
tidak menjamin terpeliharanya seseorang itu daripada azab Allah SWT jika pada
masa yang sama masih lagi melakukan penganiayaan, penindasan dan kezaliman
kepada insan lain.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Dalam pergaulan hidup sehari-hari sudah
tentu berlaku kesilapan sama ada disengajakan atau tidak. Kesilapan itu boleh
mengundang dosa terutama jika ia menyentuh pelanggaran hak yang berkaitan
dengan tubuh, maruah diri dan harta benda orang lain. Apabila kesalahan berkaitan dengan manusia,
maka wajib bagi kita meminta maaf dan mengembalikan haknya. Jika kita tidak
sempat memohon kemaafan semasa hidup di dunia ini maka dosa-dosa itu akan
dibayar dengan pahala-pahala di akhirat. Kerana itulah pahala kita ini akan berkurangan sehingga
kita miskin di akhirat nanti. Jika kita miskin di dunia masih ada lagi orang
yang bersimpati dan dapat membantu kita. Tetapi bagaimana pula hal keadaan kita
apabila miskin di akhirat ?. Siapakah yang akan bersimpati, siapakah yang akan
menolong kita dan siapakah pula yang akan menyelamatkan kita dari azab seksaan
neraka Allah SWT?.
Dalam banyak-banyak anggota, lidahlah yang paling banyak
kesalahan yang melibatkan sesama manusia. Dosa lidah boleh menyebabkan
seseorang itu menjadi muflis di akhirat. Kenapa lidah kita amat mudah untuk
bercakap mengenai orang lain? Itulah persoalan yang perlu ditanya diri kita
pada hari ini. Imam al-Ghazali pernah berkata:
Menerusi lidah akan berlakulah pendustaan atau
pembohongan, buruk sangka, permusuhan, fitnah, mencarut, mencela, mengutuk,
bertelingkah, mengumpat, melaknat dan membicarakan sesuatu dalam keadaan kesat,
kasar dan penuh dengan kesombongan.
Untuk
hidup dalam suasana yang tenteram, aman dan damai, hendaklah diawasi lidah
kerana melalui lidah tutur kata akan menjadi lebih benar, beradab dan bahasanya
lebih sopan. Sikap tidak menjaga lidah bukan sahaja menimbulkan kemarahan orang
yang mendengarnya, malah menimbulkan implikasi buruk kepada hubungan sesama
manusia yang mengakibatkan seseorang itu menjadi muflis di akhirat. Sbb itu
para fuqoha ada menyatakan bahawa;
Balak
seseorang insan itu datangnya daripada
lidahnya sendiri..
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Sebagaimana
hidup di dunia, kehidupan di akhirat juga kita memerlukan kekayaan. Kita
memerlukan kekayaan yang digunakan untuk mendapat alam kubur yang luas dan
terang, berada di Padang Mahsyar dengan selesa, meniti Titian Siratul Mustaqim
sepantas kilat, melintasi pintu Syurga, membina mahligai besar di dalam syurga,
makan dan minum yang enak-enak, bergerak tanpa batas, mempunyai bidadari yang
cantik dan hidup bersenang lenang di Syurga abadi. Hanya satu sahaja kekayaan
yang bernilai iaitu ganjaran pahala. Tanpa pahala kita akan menjadi manusia
yang miskin di akhirat kelak dan tidak mampu membeli kesenangan, kita akan
susah di alam kubur, di Padang Mashyar dan seterusnya akan dilemparkan ke dalam
neraka bersama kaum kafir dan Iblis.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Mengakhiri khutbah pada minggu ini
marilah sama-sama kita menghitung diri kita, adakah kita ini sudah cukup amalan
untuk bertemu dengan Alllah SWT di akhirat kelak, adakah segala amalan kita di
dunia ini dijamin pahala di akhirat. Ingatlah segala amalan kita akan
diperhitungkan samada ia berpahala atau berdosa dan semuanya terserah kepada
neraca keadilan yang telah ditentukan oleh Allah SWT. lngatlah wahai muslimin
sekalian bahawa setiap pergerakan kita sentiasa diawasi oleh dua malaikat iaitu
Raqib dan Atid. Elakkan daripada terjerumus ke dalam dosa termasuk melemparkan
tuduhan, prasangka buruk serta bercakap bohong. Setiap apa yang diucapkan
dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Hanya perkataan-perkataan yang diredai
Allah akan dicatat, manakala perkataan-perkataan yang mendatangkan kebencian
Allah akan dicatat atas kemurkaan-Nya sampai hari kiamat. Oleh yang demikian janganlah
kita tergolong dalam golongan mereka yang kaya di dunia tetapi miskin di
akhirat.
Ingatlah nilai didunia ini tidak lebih seperti sebelah kepak nyamuk, kekuatan dunia tak lebih dari sarang labah-labah. kampung akhirat juga lah yang kekal selama-lamanya. Oleh yang demikian marilah sama-sama , kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Zalzalah ayat 7 dan 8:
Ingatlah nilai didunia ini tidak lebih seperti sebelah kepak nyamuk, kekuatan dunia tak lebih dari sarang labah-labah. kampung akhirat juga lah yang kekal selama-lamanya. Oleh yang demikian marilah sama-sama , kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Zalzalah ayat 7 dan 8:
Bermaksud: “ Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarrah,
nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarrah, nescaya akan
dilihatnya (dalam surat amalnya) ”.
Kandungan surah ini adalah ia memberikan galakan supaya
kita jangan meninggalkan amalan yang baik
walau sekalipun sedikit dan juga mengingatkan kita supaya menjauhi
perkara-perkara maksiat walau yang sekecil-kecilnya.
Dari itu ingat lah , janganlah sampai kita mempunyai
perasaan penyesalan dikemudian hari, pepatah melayu ada menyatakan sesal dahulu
pendapatan , sesal kemudian tidak berguna ..
No comments:
Post a Comment