Tuesday, January 3, 2012

HALAL & HARAM


AL-HALAL WAL HARAM FIL ISLAM

Asas-asas Islam di dalam urusan halal dan haram

1.   Asal bagi setiap sesuatu adalah mubah
2.   Kuasa menghalalkan dan mengharamkan sesuatu adalah hak mutlak Allah
3.   Mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram sama seperti syirik
4.   Mengharamkan yang Halal akan mengakibatkan Timbulnya Kejahatan dan Bahaya
5.   Setiap yang Halal Tidak Memerlukan yang Haram
6.   Perkara-perkara yang Membawa Kepada Haram adalah Haram
7.   Berhelah Dalam Perkara yang Haram, Hukumnya adalah Haram
8.   Niat Baik Tidak Dapat Melepaskan yang Haram
9.   Menghindarkan Diri dari Syubhat Kerana Bimbang Terjebak ke dalam Haram
10. Sesuatu yang Haram Berlaku Untuk Semua Orang
11. Keadaan darurat membenarkan perkara yang dilarang

Bab 1: Asas-asas Islam di dalam urusan halal dan haram
PERSOALAN halal-haram adalah seperti halnya soal-soal lain, di mana orang-orang jahiliah pernah tersesat dan mengalami kekacauan yang luarbiasa, sehingga mereka berani menghalalkan yang haram, dan mengharamkan yang halal.
Keadaan yang sama pernah juga dialami oleh golongan penyembah berhala (watsaniyin) dan ahli-ahli kitab.
Kesesatan ini akhirnya dapat menimbulkan suatu penyimpangan yang ekstrimis kanan, atau suatu penyimpangan yang ekstrimis kiri.
Di pihak kanan, misalnya: Kaum Brahmana Hindu, Para Rahib Kristian dan beberapa golongan lain yang berprinsip menyiksa diri dan menjauhi hal-hal yang baik dalam masalah makanan ataupun pakaian yang telah diserahkan Allah kepada hambaNya.
Kedurhakaan para rahib ini sudah pernah mencapai puncaknya pada abad pertengahan. Beribu-ribu rahib mengharamkan barang yang halal sehingga sampai kepada sikap yang keterlaluan. Sampai-sampai di antara mereka ada yang menganggap dosa kerana mencuci dua kaki, dan masuk kamar mandi dianggap dapat membawa kepada penyesalan dan kerugian.  Dari golongan ekstrimis kiri, dapat dijumpai misalnya aliran Masdak yang timbul di Parsi. Golongan ini menyuarakan kebolehan yang sangat meluas. Kendali manusia dilepaskan, supaya dapat mencapai apa saja yang dikehendaki. Segala-galanya bagi mereka adalah halal, sampaipun kepada masalah identitas dan kehormatan diri yang telah dianggapnya suci oleh fitrah manusia.
Bangsa Arab di zaman Jahiliah merupakan contoh konkrit, betapa tidak beresnya barometer untuk menentukan halal-haramnya sesuatu benda atau perbuatan. Oleh kerana itu membolehkan minuman-minuman keras, makan riba yang berlipat-ganda, menganiaya wanita dan sebagainya. Lebih dari itu, mereka juga telah dipengaruhi oleh godaan syaitan yang terdiri dari jin dan manusia sehingga mereka tega membunuh anak mereka dan mengunyah-ngunyah jantungnya. Godaan itu mereka turutinya juga. Perasaan kebapaan yang bersarang dalam hatinya, sama sekali ditentang. Firman Allah swt
" Dan begitu juga kebanyakan dari orang-orang musyrik itu telah dihiasi oleh sekutu-sekutu
  mereka untuk membunuh anak-anak mereka guna menjerumuskan mereka dan meragu kan
  mereka agama mereka. " ( surah al-An'am : ayat 137 )
Para sekutu dari pelindung berhala itu melalui berbagai cara dalam mengganggu kaum bapa untuk membunuh anak-anak mereka antara lain:
     -  takut miskin.
     -  takut tercela, kalau anak yang lahir itu wanita.
     -  demi bertakarrub kepada Tuhan, iaitu dengan mengorbankan anak.
Satu hal yang menghairankan, iaitu bahawa mereka yang membolehkan membunuh anak, baik dengan dipotong ataupun dengan ditanam hidup-hidup, tetapi justeru mengharamkan beberapa makanan dan haiwan yang baik-baik. Dan yang lebih menghairankan lagi, bahawa itu semua dianggapnya sebagai hukum agama. Mereka nisbatkannya kepada Allah. Tetapi kemudian oleh Allah, anggapan ini dibantah dengan firmanNya:
" Mereka berpendapat: ini adalah haiwan-haiwan dan tumbuh-tumbuhan yang terlarang,
   tidak boleh dimakan kecuali orang-orang yang kami kehendaki menurut anggapan mereka
   dan juga diharamkan untuk dinaiki, dan haiwan-haiwan yang mereka tidak sebut asma
   Allah atasnya kerana hendak berbuat dusta atas nama Allah. (Begitulah) mereka itu kelak
   akan dibalas lantaran kedustaan yang mereka perbuat."
                                                                                                         ( surah al-An'am: ayat 138 )
Al-Quran telah menegaskan kesesatan mereka yang berani menghalalkan sesuatu yang seharusnya haram, dan mengharamkan sesuatu yang seharusnya halal; al-Quran mengatakan:
"Sungguh rugilah orang-orang yang telah membunuh anak-anak mereka lantaran
  kebodohannya dengan tidak mengerti itu, dan mereka yang telah mengharamkan rezeki
  yang Allah sudah berikan kepada mereka (lantaran hendak) berdusta atas (nama) Allah;
  mereka itu pada hakikatnya telah sesat, dan mereka itu tidak hendak mengikuti pimpinan."
                                                                                                 ( surah al-An'am: ayat 140 )
Kedatangan Islam langsung dihadapkan dengan kesesatan dan ketidak-beresan tentang persoalan halal dan haram ini. Oleh kerana itu pertama kali undang-undang yang dibuat guna memperbaiki segi yang sangat membahayakan ini ialah dengan membuat sejumlah Pokok-pokok Perundang-undangan sebagai standard untuk dijadikan landasan guna menentukan halal dan haram. Seluruh persoalan yang timbul, dapat dikembalikan kepadanya, seluruh neraca kejujuran dapat ditegakkan; keadilan dan keseimbangan yang menyangkut soal halal dan haram dapat dikembalikan.Oleh kerana itu ummat Islam menduduki sebagai golongan penengah (ummatan wasathan) di antara ekstrimis kanan dan ekstrimis kiri sebagaimana telah ditegaskan sendiri oleh Allah; iaitu dengan dijadikan ummat Islam ini sebagai ummat pilihan (khaira ummah) yang diketengahkan ke hadapan ummat manusia.

Bab 1: 1. Asal bagi setiap sesuatu adalah mubah
Asas pertama yang telah ditetapkan oleh Islam ialah: Bahawa asal setiap sesuatu ciptaan Allah adalah harus. Ia tidak diharamkan melainkan jika ada nash yang sahih lagi sharih (jelas/tegas) dari syari’ yang mengharamkannya. Jika di sana tidak ada nash yang sahih – seperti ada nash tetapi dengan hadis dha’if – atau nash berkenaan sahih tetapi tidak sharih dalam menunjukkan keharamannya, maka hal ini akan kekal atas sifat asalnya sebagai hal yang diharuskan.
Para ulamak Islam menetapkan kaedah asal setiap sesuatu itu adalah harus dengan mengambil dalil dari beberapa ayat al-Quran:
"Dialah Zat yang menjadikan untuk kamu apa-apa yang ada di bumi ini semuanya."
                                                                                                        ( surah al-Baqarah: ayat  29 )

"(Allah) telah memudahkan untuk kamu apa-apa yang ada di langit dan apa-apa yang ada di bumi semuanya daripadaNya."                                                       ( surah al-Jatsiyah: ayat  13 )

"Belum tahukah kamu, bahawa sesungguhnya Allah telah memudahkan untuk kamu apa-apa yang ada di langit dan apa-apa yang ada di bumi; dan Ia telah sempurnakan buat kamu nikmat-nikmatNya yang nampak hendakpun yang tidak nampak." (Luqman: 20)

Allah Taala tidak mencipta semua ini yang diserahkan dan dikurniakan kepada manusia, kemudian mengharamkannya. Jadi, mengapa Allah menciptanya lalu menyerahkannya dan mengurniakannya. Dari semua ciptaan itu, Allah hanya mengharamkan sebahagian kecil sahaja kerana ada sebabnya dan hikmat yang kami akan sebutkan nanti.

Dari sini, kita dapati betapa sempitnya rwang lingkup yang diperuntukkan oleh syariat Islam untuk perkara-perkara yang diharamkan. Manakala rwang untuk halal diberikan seluas-luasnya. Kerana nash-nash yang sahih lagi sharih yang datang membawa hukum haram amat sedikit sekali. Sedangkan apa-apa yang tidak kedapatan nash-nash yang menghalalkan ataupun yang mengharamkannya akan terus kekal dengan sifat asalnya, iaitu harus (mubah). Iaitu ia berada di dalam rwang kemaafan dari Allah. Untuk perkara ini terdapat di dalam Hadis:

“Apa yang Allah halalkan di dalam KitabNya, maka ia adalah halal. Dan, apa yang Allah
  haramkan, maka ia adalah haram. Manakala apa yang didiamkan olehNya, maka ia adalah
  dimaafkan. Oleh itu, terimalah kemaafan dari Allah. Sesungguhnya Allah tidak akan lupa
  sedikitpun.”
Kemudian Rasulullah s.a.w. membaca ayat:       “ Dan Tuhanmu tidak pelupa.”  (Maryam: 64)  (HR al-Hakim, dan dia mensahihkannya daripada hadis Abi Darda’dan dikeluarkan oleh al-Bazzar, dia berkata: Sanad yang baik). Dari Salman al-Farisi: Rasulullah s.a.w. ditanya mengenai minyak, keju dan keldai hutan, lalu baginda s.a.w. bersabda:

“ Halal ialah apa yang telah dihalalkan oleh Allah, dan haram ialah apa yang telah
   diharamkan oleh Allah di dalam kitabNya, Dan apa yang didiamkan olehNya, maka ia
   adalah dariapa perkara yang dimaafkan untuk kamu.”
                                                                           (  HR al-Tarmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim )

Rasulullah s.a.w. tidak mahu menjawab pertanyaan orang-orang yang bertanya secara terperinci. Tetapi baginda s.a.w. mengetengahkan kepada mereka kaedah yang dapat dirujuk untuk mengenal halal dan haram. Memadailah dengan mereka mengetahui apa yang telah diharamkan oleh Allah, kerana selain dari itu, semuanya adalah halal.  Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“ Sesungguhnya Allah telah memfardhukan beberapa perkara perkara yang fardhu, maka
   jangan engkau mensia-siakannya. Dia telah memberi batas-batas tertentu, maka janganlah
   engkau melampauinya. Dia telah mengharamkan beberapa perkara, maka janganlah kamu  
   perselisihkannya. Dia telah mendiamkan beberapa perkara, kerana kasih sayangnya kepada
   kamu. Dia tidak lupa. Maka janganlah kamu membahaskannya.”
                                   (   HR al-Daruquthni, dari Hadis al-Tsa’labah dan telah dianggap
                                                   sebagai hadis Hasan oleh al-Nawawi di dalam hadis 40  ).

Saya suka untuk mengingatkan di sini, bahawa kaedah asal setiap sesuatu itu adalah harus, tidak terhad kepada masalah benda sahaja, tetapi ia meliputi perbuatan dan tingkah laku yang tidak tergolong di dalam urusan ibadah. Inilah apa yang dinamakan sebagai “adat atau muamalat”.
Asal untuk perkara ‘adat dan muamalat’ ini adalah tidak diharamkan dan tidak juga terikat, melainkan yang telah diharamkan dan yang ditegaskan oleh syari’. Firman Allah Taala:

" Dan Allah telah memerinci kepadamu sesuatu yang Dia telah haramkan atas kamu. 
                                                                                                      ( Surah al-An'am: ayat 119 )

Berlainan pula dengan urusan ibadah. Ia adalah urusan agama yang murni, di mana penetapannya hendaklah melalui jalan wahyu. Hal ini ada disebutkan oleh Rasulullah s.a.w.:

“ Barangsiapa yang mengada-adakan satu perkara baru dalam urusan kami yang bukan
   darinya, maka ia tertolak.”                                                                  ( HR Muttafaq Alaih )

Inilah dia hakikat agama, yang menjunjung dua perkara, iaitu tidak menyembah melainkan Allah dan tidak menyembah Allah (beribadah) melainkan berdasarkan apa yang telah disyariatkan olehNya. Atas asas ini, sesiapa sahaja yang mereka-reka atau mengada-adakan satu cara peribadatan ia adalah satu kesesatan yang tidak boleh diterima sama sekali. Kerana hanya syari’
 ( Allah ) sahaja yang berhak untuk menentukan bentuk dan cara peribadatan untuk mendekatkan diri kepadaNya. Manakala adat ataupun muamalat, syari’ tidak menentukan bentuknya. Manusia-lah yang menentukannya. Syari’ datang hanya untuk membetulkan, meluruskan, mendidik dan mengakuinya sahaja. Melainkan dalam beberapa keadaan, untuk mengelakkan kerosakan dan kemudaratan.  Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah berkata: “Tingkah laku manusia, samada perkataan dan perbuatannya ada 2 jenis, iaitu:

1. Ibadah, untuk maslahat (kebaikan) agamanya.
2. Adat yang mereka perlukan untuk kehidupan di dunia ini.

Maka bersandarkan penelitian kepada asas-asas syariat, kita akan dapat mengetahui bahawa ibadah yang diwajibkan atau yang disukai oleh Allah tidak dapat ditetapkan melainkan hanya dengan syarak sahaja. Adat pula ialah apa yang biasa diguna pakai oleh manusia untuk keperluan mereka hidup di dunia ini. Asal hukum bagi adat ini adalah tidak dilarang kecuali apa yang telah dilarang oleh Allah. Kerana perintah dan larangan adalah syariat Allah. Di dalam ibadah, mestilah dengan perintah Allah. Oleh itu (dalam hal adat) bagaimana dapat dihukumkan sebagai haram jika ia tidak diperintahkan. Sebab itulah imam Ahmad dan para fuqaha’ ahli Hadis mengatakan: “  Sesungguhnya asal untuk perkara ibadah adalah tauqif (mesti ditetapkan oleh syariat). Ia tidak boleh disyariatkan melainkan apa yang telah disyariatkan oleh Allah. Jika tidak, maka kita  akan terjerumus di dalam makna firman Allah:

"Apakah mereka itu mempunyai sekutu yang mengadakan agama untuk mereka, sesuatu
   yang tidak diizinkan oleh Allah?"                                                   ( surah as-Syura: ayat 21 )

Adat pula, pada asalnya adalah dimaafkan. Oleh itu, ia tidak dilarang melainkan apa yang telah diharamkan oleh Allah, kerana jika tidak maka kita akan terjerumus di dalam firman Allah:

“Katakanlah! Apakah kamu sudah mengetahui sesuatu yang diturunkan Allah untuk kamu
  daripada rezeki, kemudian kamu jadikan daripadanya itu haram dan halal? Katakanlah!
  Apakah Allah telah memberi izin kepadamu, ataukah kamu memang berdusta atas (nama)
  Allah?"                                                                                ( suarh Yunus: ayat 59 )

Di atas itu adalah satu kaedah yang amat berguna sekali. Jika begitulah keadaannya, maka dapatlah kita katakan:  Jual beli, sewa menyewa dan adat-adat lainnya yang diperlukan oleh manusia untuk kehidupan mereka seperti makan, minum dan pakaian – syariat datang dengan membawa adab (etika) yang baik untuknya. Mana-mana yang membawa kerosakan akan diharamkan. Mana-mana yang dimestikan, akan diwajibkan. Mana-mana yang kurang elok, akan dimakruhkan. Dan, mana-mana yang membawa kebaikan, akan disunatkan.
Atas asas ini, maka manusia boleh sekehendak hati mereka berjual beli dan sewa menyewa selama syariat tidak mengharamkannya. Begitu juga dengan makan dan minum, mereka boleh lakukannya sesuka hati mereka selama syariat tidak mengharamkannya. Dan sekalipun ada sebahagiannya disunatkan atau dimakruhkan (tetapi ia masih dibenarkan). Sedangkan perkara-perkara yang tidak diberi batasan oleh syariat, maka ia kekal dengan kemutlakan hukum asalnya (iaitu diharuskan).  ( Al-Qawaid al-Nuraniah al-Feqhiyah, Ibnu Taimiyah, hal. 112, 113.  Atas asas kaedah ini Ibnu Taimiyah, muridnya Ibnu al-Qaiyim dan seluruh fuqahak Hanabilah menetapkan: “Bahawa asal di dalam aqad dan syarat adalah mubah/harus. Maka setiap aqad yang tiada nash mengharamkannya secara khusus dan tidak mengandungi keharaman, maka ia adalah halal.”) Kaedah di atas bertepatan dengan apa yang terdapat di dalam Hadis sahih daripada Jabir bin Abdullah r.a, katanya:

“Kami pernah melakukan `azal, padahal al-Quran masih turun. Kalaulah perkara ini
  dilarang, nescaya al-Quran akan menegahnya.”                                             (HR Bukhari)

Hadis di atas menunjukkan bahawa apa yang didiamkan oleh wahyu adalah tidak diharamkan dan tidak dilarang. Mereka boleh melakukan apa sahaja secara bebas selagi tidak ada nash yang melarang dan menegahnya.  Ini adalah sebahagian dari kesempurnaan feqh para sahabat r.a. Dengan inilah kaedah berikut ditetapkan: “Tidak disyariatkan ibadah melainkan dengan syariat Allah. Tidak diharamkan adat melainkan dengan pengharaman Allah.”

Bab 1: 2. Kuasa menghalalkan dan mengharamkan sesuatu adalah hak
                mutlak Allah

Asas kedua: Islam telah menghadkan kuasa untuk menghalalkan dan mengharamkan. Ia mencabutnya dari tangan manusia. Mereka tidak memiliki kuasa ini setinggi manapun kedudukan mereka di sisi Allah dan di mata dunia. Islam menjadikan kekuasaan menghalal dan mengharamkan sesuatu itu milik mutlak Allah Taala. Bukan paderi, bukan pendeta dan bukan raja yang memiliki kuasa untuk mengharamkan sesuatu Barangsiapa yang melakukannya juga.
Maka dia dianggap telah melanggar garis sempadan yang telah tetapkan, dan dianggap telah menentang hak ketuhanan dalam mentetapkan syariat untuk manusia. Dan, barangsiapa yang redha terhadap perbuatan ini, atau menjadi pengikutnya, maka dia telah menjadikan mereka itu sebagai sekutu-sekutu Allah. Dan dapatlah dikatakan bahawa para pengikutnya itu sebagai orang yang menyekutukan Allah (musyrik).  Firman Allah Taala:

 "Apakah mereka itu mempunyai sekutu yang mengadakan agama untuk mereka, sesuatu
   yang tidak diizinkan Allah?"                                                          ( surah as-Syura: ayat 21 )

Al-Quran telah menceritakan keburukan Ahli Kitab yang menjadikan kuasa menghalal dan mengharam di tangan paderi-paderi dan pendeta-pendeta mereka, firmanNya:

"Mereka itu telah menjadikan para paderi dan pendetanya sebagai tuhan selain Allah; dan
  begitu juga Isa bin Maryam (telah dituhankan), padahal mereka tidak diperintah melainkan
  supaya hanya berbakti kepada Allah Tuhan yang Esa, tiada Tuhan melainkan Dia, maha
  suci Allah dari apa-apa yang mereka sekutukan."                      ( surah at-Taubah: ayat 31 )

Pada suatu ketika `Adi bin Hatim telah datang kepada Rasulullah s.a.w. – beliau begitu akrab dengan orang-orang Nasrani sebelum memeluk Islam -, maka apabila beliau mendengar Rasulullah s.a.w. membaca ayat ini, dia berkata:

“Wahai Rasulullah s.a.w., mereka tidak menyembah para paderi dan pendeta mereka.” Rasulullah s.a.w. menjawab: “Memang benar, tetapi mereka mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram, kemudian para pengikutnya menuruti mereka. Perbuatan demikian itu adalah penyembahan kepada mereka.”
                                   ( HR al-Tarmizi dan selainnya, serta menganggapnya sebagai Hasan )
Di dalam satu riwayat lain ada menyebutkan ketika Nabi s.a.w. menafsirkan ayat ini:

“ Adapun mereka tidaklah menyembah para paderi dan pendeta mereka, tetapi apabila para
   paderi dan pendeta mengharamkan sesuatu, maka mereka turuti. Dan apabila
   menghalalkan sesuatu yang halal, juga mereka turuti.”

Orang-orang Kristian, masih lagi menyangka bahawa Nabi Isa a.s. ketika dinaikkan ke langit, telah memberi kepada para muridnya hak untuk menetapkan halal dan haram sesuka hati. Hal ini ada disebutkan di dalam Injil Matius 18:18  “ Sesungguhnya aku berkata kepadamu, apa sahaja yang kamu ikat di atas mukabumi ini, maka itulah yang akan terikat di syurga. Dan apa yang lepaskan di atas mukabumi ini, maka itulah yang akan terlepas di syurga nanti.”

Al-Quran juga telah menceritakan kesalahan kaum musyrikin yang menetapkan halal dan haram di luar keizinan Allah:

"Katakanlah! Apakah kamu mengetahui apa-apa yang Allah telah turunkan untuk kamu
  daripada rezeki, kemudian dijadikan sebagian daripadanya itu, haram dan halal; katakanlah
  apakah Allah telah memberi izin kepadamu, ataukah memang kamu hendak berdusta atas
  (nama) Allah?"                                                                                     ( surah Yunus: ayat 59 )
Firman Allah lagi:

"Dan jangan kamu berani mengatakan terhadap apa yang dikatakan oleh lidah-lidah kamu
  dengan dusta; bahawa ini halal dan ini haram, supaya kamu berbuat dusta atas (nama)
  Allah, sesungguhnya orang-orang yang berani berbuat dusta atas (nama) Allah tidak akandapat bahagia."                                                                        ( surah an-Nahl: ayat 116 )

Dari ayat-ayat dan Hadis-hadis ini, para fuqaha’ Islam telah mengetahui secara yakin, bahawa:

Bahawa hanya Allah sahajalah yang mempunyai hak mutlak untuk menetapkan halal dan haram di dalam KitabNya, atau melalui perantaraan lidah rasulNya. Tugas para fuqaha’ ini tidak lebih dari menjelaskan atau menerangkan hukum-hakam Allah sahaja, samada yang telah dihalalkan atau yang diharamkan. Firman Allah:

" Sungguh Allah telah menerangkan kepada kamu apa yang Ia haramkan atas kamu."
                                                                                                        ( surah al-An'am: ayat 119 )
Dan, bukanlah tugas para fuqaha’ ini membuat satu syariat agama untuk manusia, apa yang boleh dan apa yang tidak boleh (mereka tidak ada kuasa itu). Mereka ini dengan taraf mereka sebagai imam dan mujtahid, cuba menghindarkan diri dari berfatwa. Masing-masing berusaha agar tidak terjebak ke dalam jurang kesalahan menghalalkan yang haram atau mengharamkan yang halal. Diriwayatkan oleh imam al-Syafi’I di dalam kitabnya al-Umm (7/317), daripada al-Qadhi Yusof, murid Abu Hanifah, katanya: “Saya mendapati guru-guru kami dari kalangan ahli ilmu tidak suka berfatwa dengan mengatakan bahawa ini halal dan ini haram, kecuali apa yang ada di dalam Kitab Allah dengan jelas tanpa ada penafsiran.”

Ibnu al-Sa’ib telah menceritakan kepada kami daripada al-Rabi’ bin Khaitsam – yang merupakan sebaik-baik tabi’in -, katanya: “Berhati-hatilah terhadap seorang lelaki yang berkata: Sesungguhnya Allah telah menghalalkan ini atau meredhainya, lalu Allah berkata kepadanya: Aku tidak menghalalkan ini dan tidak meredhainya. Atau lelaki itu berkata: “Sesungguhnya Allah telah mengharamkan ini, lalu Allah berkata kepadanya: Engkau berdusta. Aku tidak tidak mengharamkan dan melarangnya.”
Sebahagian sahabat-sahabat kami telah menceritakan kepada kami daripada Ibrahim al-Nakha’I salah seorang dari fuqaha’ besar tabi’in di Kufah -, dia menceritakan mengenai sahabat-sahabatnya: “Sesungguhnya mereka apabila berfatwa tentang sesuatu atau melarang sesuatu, mereka akan berkata: “Ini makruh.” “Ini tidak mengapa.” Adapaun untuk kami mengatakan: “Ini halal dan ini haram, maka apakah yang lebih dahsyat daripada ini!!”


Ini adalah yang telah dinukilkan oleh Abu Yusof daripada salafus soleh dan yang telah dinukilkan juga oleh al-Syafi’I dan beliau mengakuinya.

Dan, samalah halnya dengan apa yang telah dinukilkan oleh Ibnu Muflih daripada Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah: “Bahawa salafus soleh tidak secara mutlak mengharamkan sesuatu kecuali setelah diketahui pengharamannya secara pasti.” (Perkara ini disokong oleh apa yang telah diriwayatkan bahawa para sahabat tidak menjauhi khamar secara menyeluruh selepas turun ayat dari  ( al-Baqarah 219 ), kerana ayat ini tidak ada kata putus di dalam pengharamannya. Mereka menjauhinya secara total setelah turun ayat dari  ( al-Maidah ).
Begitulah kita akan dapati imam seperti imam Ahmad bin Hanbal apabila ditanya mengenai suatu perkara, beliau akan menjawab: “Saya membencinya, atau saya tidak menyenanginya, atau saya tidak menyukainya, atau saya tidak menganggapnya sebagai elok.”
Perkara seumpama inilah yang diriwayatkan daripada Malik, Abu Hanifah dan seluruh imam- imam lainnya.



Halal dan Haram di dalam Kehidupan Individu Muslim

1.   Makanan dan Minuman
      a- Sembelihan syar’i
      b- Berburu
      c- Khamar/arak.. Dadah
2.   Pakaian dan Perhiasan
3.   Di Rumah
4.   Bidang Pekerjaan dan Profesional

Bab 2: Halal dan Haram di dalam Kehidupan Individu Muslim

Umat-umat dan bangsa-bangsa dahulukala berbeza-beza pandangan terhadap apa yang mereka makan dan apa yang mereka minum. Makanan mana yang mereka bolehkan. Dan makanan mana yang tidak dibolehkan. Dan, lebih-lebih lagi terhadap makanan berasaskan daging haiwan.
Untuk makanan dan minuman berasaskan tumbuh-tumbuhan pula, apa yang diketahui memang umat manusia tidak banyak berbeza mengenai halal-haramnya. Untuk jenis ini, Islam tidak mengharamkannya melainkan jika ia sudah menjadi arak, samada ia diperbuat dari perahan anggur, kurma, gandum atau apa sahaja bahan lain selama ia menjadi sesuatu yang memabukkan.

Begitu juga diharamkan setiap yang boleh mengkhayalkan (hilang ingatan), melemahkannya dan apa sahaja yang boleh memudaratkan tubuh badan. Mengenai makanan berasaskan daging haiwan pula, memang terjadi perbezaan yang begitu ketara sekali di kalangan pelbagai agama dan golongan.





Bab 2.1: Makanan dan Minuman: Penyembelihan dan Memakan Haiwan Menurut Brahmin (Hindu)

Di sana terdapat satu golongan seperti golongan Brahmin Hindu dan sebahagian ahli falsafah yang mengharamkan ke atas diri mereka menyembelih dan memakan haiwan. Mereka hidup dengan makanan berasaskan tumbuh-tumbuhan. Mereka berkata: “Penyembelihan haiwan adalah tindakan keganasan oleh manusia ke atas makhluk bernyawa. Manusia tidak berhak untuk menyekat hak makhluk ini untuk hidup.”

Tetapi, derdasarkan kepada pengamatan kita, dapatlah diketahui bahawa kewujudan haiwan-haiwan di mukabumi ini bukanlah ada matlamat tertentu. Haiwan-haiwan ini tidak dikurniakan akal dan kehendak. Nampaklah kepada kita bahawa kewujudan haiwan-haiwan ini adalah untuk memberi manfaat kepada manusia. Oleh itu, bukanlah suatu perkara yang pelik apabila manusia memanfaatkan daging haiwan yang disembelih, sebagaimana manusia memanfaatkan khidmat tenaganya. Kita dapat ketahui perkara ini adalah sunatullah (peraturan alam) yang berlaku pada makhlukNya. Di mana makhluk dari jenis yang lebih rendah akan menjadi mangsa untuk kepentingan makhluk yang lebih tinggi. Tumbuh-tumbuhan yang menghijau diragut untuk keperluan makanan haiwan. Manakala haiwan bula disembelih untuk keperluan makanan manusia. Malah, lebih jauh lagi manusia berperang dan dibunuh demi kepentingan orang ramai…

Dan, begitulah seterusnya. Tindakan menahan manusia dari menyembelih haiwan tidak akan dapat melindunginya dari mati atau binasa. Kerana haiwan-haiwan ini, jika tidak mati kerana bercakaran sesama sendiri, ia akan mati juga dengan sendirinya. Dan, adakalanya kematiannya melalui cara begitu lebih pedih lagi berbanding mati akibat ketajaman pisau.

Bab 2.1: Makanan dan Minuman: Haiwan-haiwan yang diharamkan oleh Yahudi dan Nasrani

Di dalam agama-agama samawi, Allah Taala mengharamkan ke atas orang-orang Yahudi terlalu banyak jenis-jenis haiwan darat dan haiwan laut. Ini ada dijelaskan di dalam kitab Taurat, fasal 11. Manakala di dalam al-Quran ada menyebutkan sebahagian haiwan yang diharamkan ke atas orang-orang Yahudi. Alasan pengharamannya telahpun kami sebutkan sebelum ini, iaitu sebagai hukuman dari Allah atas perbuatan zalim dan dosa mereka. Firman Allah Taala:

 " Dan kepada orang-orang Yahudi kami haramkan semua haiwan yang berkuku, dan dari
    sapi dan kambing kami haramkan lemak-lemaknya, kecuali (lemak) yang terdapat di
    punggungnya, atau yang terdapat dalam perut, atau yang tercampur dengan tulang. Yang
    demikian itu kami  (sengaja) hukum mereka. Dan sesungguhnya Kami adalah (di pihak)
    yang benar."                                                                                 ( surah al-An'am: ayat 146 )

Itu adalah keadaan orang-orang Yahudi yang sudah semestinya diikuti oleh orang-orang Nasrani. Kerana Nabi Isa a.s. tidak diutuskan untuk memansukhkan hukum yang terdapat di dalam Taurat, bahkan untuk menyempurnakannya. Tetapi golongan Nasrani ini kemudiannya menghalalkan apa yang diharamkan ke atas mereka sebagaimana yang termaktub di dalam Taurat, sedangkan hukum berkenaan tidakpun dimansukhkan oleh Injil.
Mereka mengikut Paulus Di dalam menghalalkan semua jenis makanan dan minuman, kecuali yang disembelih untuk berhala apabila dikatakan kepada orang Nasrani: “Haiwan ini disembelih untuk berhala.” Paulus memberi alasan bahawa setiap sessuatu itu adalah suci untuk orang yang suci. Dan bahawa apa sahaja yang masuk ke dalam mulut tidak menajiskan mulut. Hanyasanya, yang dapat menajiskan mulut ialah apa yang keluar darinya. Mereka telah menghalalkan memakan daging babi, meskipun ia telah diharamkan dengan nash Taurat. Dan, hukum ini masih berlaku sehingga ke hari ini.

Bab 2.1: Makanan dan Minuman: Menurut orang-orang Arab jahiliyah

Orang-orang Arab Jahiliyah pula mengharamkan setengah haiwan kerana kotor atau menjijikkan. Sebahagian haiwan pula mereka haramkan kerana penyembahan dan ibadah kepada berhala dan kerana mengikut perkara-perkara yang tidak benar. Ini dapat kita lihat apabila mereka mengharamkan bahirah, sa’ibah, washilah dan ham (perkar aini telah disebutkan sebelum ini). Dan, sebagai tukar ganti dari pengharaman ini mereka menghalalkan banyak perkara-perkara keji seperti menghalalkan bangkai dan darah yang mengalir.

Bab 2.1: Makanan dan Minuman: Islam menghalalkan yang baik-baik

Islam datang ketika keadaan manusia dalam hal makan dan minum, samada terlalu longgar dalam menghalalkan dan terlalu ketat dalam mengharamkannya. Islam menyeru kepada semua umat manusia firman Allah dalam al-Quran:

" Hai manusia! Makanlah dari apa-apa yang ada di bumi ini yang halal dan baik, dan jangan
   kamu mengikuti jejak syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu musuh yang terang-
   terangan bagi kamu."                                                              ( surah al-Baqarah: ayat 168 )

Islam menyeru mereka dengan menyifatkannya sebagai manusia agar makan yang baik-baik dari hidangan besar yang disediakan, iaitu mukabumi ini yang seluruhnya diciptakan untuk mereka. Allah mahu agar manusia tidak mengikut jejak-jejak syaitan yang sentiasa menggoda manusia supaya mengharamkan perkara yang baik yang telah dihalalkan oleh Allah. Syaitan juga mahukan manusia agar terjerumus ke dalam lembah kesesatan.
Kemudian Islam membuat seruan khusus untuk orang-orang beriman, firmanNya:

" Hai orang-orang yang beriman! Makanlah yang baik-baik dari apa-apa yang telah Kami
   berikan kepadamu, serta bersyukurlah kepada Allah kalau betul-betul kamu berbakti
   kepadaNya. Allah hanya mengharamkan kepadamu bangkai, darah, daging babi dan
   haiwan  yang disembelih bukan kerana Allah. Maka barangsiapa dalam keadaan terpaksa
   dengan tidak sengaja dan tidak melewati batas, maka tidaklah berdosa baginya, kerana
   sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Belas-kasih."   
                                                                                            ( surah al-Baqarah: ayat 172-173 )





Seruan ini adalah khusus untuk orang-orang beriman yang memerintahkan mereka agar makan makanan yang baik yang dikurniakan olehNya dan menunaikan hak nikmat dengan bersyukur kepada pemberi nikmat yang Maha Agung. Kemudian, dijelaskan jugam bahawa Allah Taala tidak mengharamkan ke atas mereka melainkan hanya empat perkara sahaja sebagaimana yang disebutkan di dalam ayat. Manakala di dalam satu ayat lain ada disebutkan dengan lebih jelas lagi yang menunjukkan bahawa yang diharamkan hanya berkisar di sekitar empat perkara sahaja. FirmanNya:

" Katakanlah! Aku tidak menemukan tentang sesuatu yang telah diwahyukan kepadaku soal
   makanan yang diharamkan untuk dimakan, melainkan bangkai, atau darah yang mengalir,
   atau daging babi; kerana sesungguhnya dia itu kotor (rijs), atau haiwan yang disembelih
   bukan kerana Allah. Maka barangsiapa yang dalam keadaan terpaksa dengan tidak sengaja
   dan tidak melewati batas, maka sesungguhnya Tuhanmu Maha Pengampun dan Maha
   Belas-kasih."                                                                               ( surah al-An'am: ayat 145 )

Di dalam surah al-Maidah, al-Quran menyebutkan perkara-perkara yang diharmkan ini dengan lebih terperinci lagi, firmanNya:

" Telah diharamkan atas kamu bangkai, darah, daging babi, haiwan yang disembelih bukan
   kerana Allah, yang (mati) kerana dicekik, yang (mati) kerana dipukul, yang (mati) kerana
   jatuh dari atas, yang (mati) kerana ditanduk, yang (mati) kerana dimakan oleh haiwan
  buas kecuali yang dapat kamu sembelih dan yang disembelih untuk berhala."
                                                                                                 ( suarh al-Maidah: ayat 3 )

Dalam ayat di atas telah ditetapkan 10 jenis haiwan yang diharamkan, dan ia tidak bercanggah satu dengan yang lain, kerana ayat yang lalu itu memperinci ayat-ayat yang lain. Haiwan yang mati dicekik, dipukul, jatuh dari atas, ditanduk dan dimakan binatng buas; semuanya itu termasuk di dalam makna bangkai. Ia hanya memperincikan maksud bangkai. Begitu juga dengan haiwan yang disembelih untuk berhala, ia termasuk di dalam makna sembelihan bukan kerana Allah. Kedua-duanya berada di bawah satu maksud. Oleh itu secara ringkasnya haiwan yang diharamkan ada empat jenis, manakala secara terperincinya ada sepuluh jenis.
Bab 2.1: Makanan dan Minuman: Pengharaman bangkai dan hikmat di sebaliknya

1. Perkara pertama yang disebutkan oleh ayat di atas mengenai pengharaman makanan ialah bangkai. Iaitu haiwan atau burung yang sendiri, bukan dengan hasil usaha manusia, samada melaui sembelihan atau perburuan.

Kadangkala dalam fikiran manusia hari ini tertanya-tanya tentang hikmah dan rahsia pengharaman bangkai ke atas manusia dan perlu membwangnya tanpa boleh dimakan. Kita jawab persoalan ini, bahawa pengharamnya itu mengandungi hikmat yang cukup besar di sebaliknya, antaranya ialah:




a. Manusia yang mempunyai tabiat semulajadi yang sejahtera akan menolak dan merasa jijik dengan bangkai. Golongan cerdik pandai secara umumnya menganggap memakan bangkai adalah satu kehinaan yang menafikan kemuliaan manusia. Kerana itulah kita dapat melihat seluruh penganut-penganut agama kitabiyah mengharamkannya. Mereka tidak akan memakannya kecualiyang disembelih sahaja, sekalipun cara penyembelihannya berbeza-beza antara satu sama lain.

b. Merangsang agar setiap muslim membiasakan diri dengan niat dan kehendak dalam apa sahaja urusan. Seorang muslim tidak akan memperoleh sesuatu atau mengecap sesuatu hasil melainkan selepas mempunyai niat, kehendak dan usaha ke arah itu. Dengan ini, maksud penyembelihan (mengelakkan haiwan dari menjadi bangkai) ialah: Qasad untuk meragut nyawa haiwan untuk dimakan. Jadi, seolah-olahnya Allah tidak redha jika seorang manusia itu makan tanpa ada niat serta tujuan dan tanpa berfikir terlebih dahulu, sepertimana halnya dengan bangkai ini. Mengenai haiwan yang disembelih dan yang diburu, kedua-duanya ini tidak makan haiwan melainkan dengan niat, tujuan dan usaha.

c. Haiwan yang mati sendiri, menurut kebiasaannya ia mati kerana suatu penyakit atau kerana memakan tumbuhan beracun atau kerana sebab-sebab seumpamanya. Bagaimanapun keadaannya, semuanya berada dalam keadaan tidak selamat untuk dimakan. Contohnya ialah apabila haiwan itu mati kerana terlalu lemah dan tidak dalam keadaan biasa.

d. Allah Taala mengharamkan bangkai ke atas kita bangsa manusia adalah untuk memberi rwang kesempat kepada haiwan-haiwan dan burung-burung untuk dijadikan makanannya. Ini adalah sebagai rahmat dan kasih sayang dari Allah terhadap mereka. Kerana sebagaimana yang termaktub di dalam al-Quran, mereka juga adalah umat seperti kita juga. Ini jelas sekali di mana tidak kelihatan bangkai-bangkai haiwan di tanah-tanah lapang dan tempat-tempat lain.

e. Supaya manusia dapat memelihara dan menjaga haiwan milik mereka dengan tidak membiarkannya terkena penyakit yang akan menyebabkan mereka mati dan musnah. Mereka akan menjaga dengan segera merawat dan memberi kerehatan kepadanya.

Bab 2.1: Makanan dan Minuman: Pengharaman darah yang mengalir

2. Perkara kedua yang diharamkan ialah darah yang mengalir. Ibnu Abbas pernah ditanya mengenai hukum limpa, beliau menjawab: “Kamu boleh memakannya.” Mereka berkata lagi: “Bukanlah ia darah?” Beliau menjawab lagi: “Hanyasanya yang diharamkan ke atas kamu ialah darah yang mengalir.”

Hikmah pengharaman darah yang mengalir ialah kerana ia kotor di mana tabiat manusia yang bersih menganggapnya sebagai menjijikkan. Ia juga sebagaimana bangkai yang diduga dapat memberi mudarat.  Orang-orang jahiliyah apabila mereka lapar, mereka akan mengambil satu benda tajam dari tulang atau sebagainya, kemudian dicucukkan ke unta atau haiwan lainnya. Mereka kemudian mengumpul darah yang mengalir dari haiwan itu kemudian diminumnya. Mengenai perkara ini, al-A’sya berkata: “ Jauhi dirimu dari bangkai dan jangan dekati * Jangan kamu ambil tulang yang tajam lalu mengeluarkan darah.“

Oleh kerana mengeluarkan darah itu adalah perbuatan menyakitkan haiwan danm melemahkannya, maka Allah Taala telah mengharamkannya.

Bab 2.1: Makanan dan Minuman: Daging babi

3. Yang ketiga untuk hukum daging babi.. Sesungguhnya tabiat (naluri) manusia yang sejahtera menganggapnya sebagai jijik dan kotor. Ini kerana seleran makan babi ini suka kepada benda-benda kotor dan najis. Manakala perubatan moden pula menjelaskan bahawa memakannya boleh mendatangkan mudarat di semua daerah, terutamanya di daerah panas.
Kajian ilmiah telah menyatakan bahawa memakan daging babi akan mengakibatkan cacing yang dapat membunuh. Siap tahu, boleh jadi pada masa akan datang ilmu pengetahuan dapat menyingkap lebih banyak lagi rahsia mengapa daging babi diharamkan.

Dan, benar firman Allah Yang Maha Agung:

" Dan Allah mengharamkan atas mereka yang kotor-kotor." ( suarh al-A'raf: ayat 156 )

Para penyelidik mengatakan: “Sesungguhnya mengamalkan secara berterusan memakan daging babi boleh mengurangkan perasaan cemburu terhadap perkara-perkara yang diharamkan.

Bab 2.1: Makanan dan Minuman: Sembelihan bukan kerana Allah

4. Perkara keempat yang diharamkan ialah: Sembelihan bukan kerana Allah. Maksudnya ialah haiwan disembelih dengan menyebut nama selain Allah, seperti berhala. Kaum penyembah berhala, apabila mereka menyembelih disebutnya nama berhala mereka atas sembelihan itu, seperti Lata dan Uzza. Ini adalah perbuatan ibadah kepada selain dari Allah dan perbuatan penyembahan dengan nama selain dari nama Allah yang Maha Agung.

Perbuatan di atas diharamkan adalah dengan alasan (illah) agama yang bertujuan untuk memelihara tauhid, membersihkan aqidah dan memerangi syirik serta lambang-lambang berhala di dalam setiap bidang kehidupan.

Allah telah menciptakan manusia. Dunia ini pula diserahkan kepada mereka. Manakala haiwan ditundukkan untuk mereka. Allah membenarkan menyembelih haiwan untuk kepentingan mereka jika di dalamnya ada disebutkan nama Allah. Jadi, menyebut nama Allah ketika itu adalah sebagai pernyataan bahawa perkara ini dilakukan terhadap makhluk bernyawa ini adalah dengan izin dan keredhaan dari Allah. Apabila yang disebut bukan nama Allah ketika menyembelih, bermakna dia telah mengenetepikan keizinan yang diberikan, dan kerana itu dia berhak diharamkan dari memakan haiwan yang disembelih.







Bab 2.1: Makanan dan Minuman: Jenis-jenis bangkai

Empat perkara yang diharamkan di atas itu adalah perkara-perkara yang diharamkan dalam bentuk ijmal (bukan terperinci). Ayat dari surah al-Ma’idah telah memperincikannya di dalam 10 perkara sebagaimana telah kami sebutkan. Ia adalah sebagai berikut:

5. Haiwan yang mati tercekik: Iaitu yang mati akibat tercekik samada dengan menjerut lehernya atau memasukkanya ke tempat yang sempit atau sebagainya.

6. Haiwan yang mati kerana dipukul dengan tongkat atau sebagainya.

7. Haiwan yang mati akibat jatuh dari tempat yang tinggi atau seumpamanya, seperti yang terjatuh ke dalam telaga.

8. Haiwan yang mati akibat bercakaran sesama sendiri.

9. Haiwan yang mati akibat terkaman haiwan buas.

Selepas menyebutkan lima jenis haiwan yang diharamkan di atas, Allah berfirman: “Kecuali haiwan yang kamu sembelih.” Maksudnya, “jika kamu mendapat haiwan yang masih hidup, maka kamu sembelihlah.. Ia dihalalkan untuk kamu.” Perkara ini akan dibincangkan kemudian.
Untuk membolehkan haiwan itu disembelih dan dimakan, memadai jika haiwan berkenaan dalam keadaan nafas terakhirnya. Daripada Ali bin Abi Thalib r.a.: “Jika kamu sempat menyembelih haiwan yang jatuh dari atas, yang dipukul atau yang bercakar sesama sendiri, iaitu yang masih bergerak kaki hadapan dan kaki belakangnya.”

Daripada ad-Dhahhak: “Orang-orang Jahiliyah haiwan-haiwan yang begitu, tetapi Allah mengharamkannya melainkan selepas disembelih. Haiwan-haiwan yang dijumpai masih bergerak kaki, ekor atau matanya maka ia boleh disembelih dan halal dimakan. (Sebahagian fuqaha’ mengatakan: Haiwan berkenaan mestilah masih berada dalam keadaan hayat mustaqirrah. Tanda-tandanya ialah darahnya masih mengalir dan matannya masih bergerak

Bab 2.1: Makanan dan Minuman: Hikmah Pengharaman Haiwan-haiwan dari Jenis ini

Hikmah pengharaman jenis-jenis bangkai, apa yang telah kami sebutkan hanyalah kerana ia membahayakan. Namun, hikmah berkenaan tidaklah begitu jelas dan ketara. Jadi di sini, ia diperkuatkan lagi dengan satu hikmah lain, iaitu:  Syari’ (Allah Taala) yang Maha Bijaksana mengajar manusia agar mengambil berat tentang haiwan, menyayangi dan memeliharanya atau menjaganya. Oleh itu, tidak patut bintang berkenaan dibiarkan hingga dicekik atau jatuh dari tempat yang tinggi. Atau membiarkan mereka bertandukan sesama sendiri sehingga terbunuh. Tidak boleh juga menyiksa haiwan dengan memukulnya hingga mati seperti yang dilakukan oleh para penggembala yang tidak berhati perut lebih-lebih lagi penggembala upahan. Begitu juga tidak boleh melagakan sesama haiwan. Melagakan lembu. Atau melagakan kambing. Haiwan yang dilagakan ini akan bertandukan sesama mereka sehingga mati atau hampir mati.




Di sinilah para ulamak menyatakan haramnya haiwan yang mati kerana berlaga sekalipun ia tercedera kerana tandukan pada tempat sembelihan kemudian mengalir darah. Apa yang saya lihat, tujuan pengharaman ini adalah untuk menghukum mereka yang membiarkan haiwan berlaga sesama mereka sehingga terbunuh. Jadi, hukum begini memang tepat sekali.
Mengenai pengharaman haiwan yang telah diterkam oleh haiwan buas ialah (yang paling asas) untuk memuliakan bangsa manusia serta membersihkan mereka dari memakan sisa-sisa haiwan buas. Dahulu, orang-orang jahiliyah memakan sisa-sisa makanan haiwan buas, samada kambing, unta ataupun lembu, kemudian Allah mengharamkannya ke atas orang-orang beriman.

Bab 2.1: Makanan dan Minuman: Haiwan yang Disembelih Untuk Berhala

10. Haiwan kesepuluh yang diharamkan ialah haiwan yang disembelih untuk berhala. Berhala (nushub) ialah sesuatu yang dibangunkan/ditegakkan samada berhala atau batu sebagai tanda bagi taghut – iaitu penyembahan selain dari Allah. Ia pernah berada di sekitar ka’bah di mana orang-orang jahiliyah membuat sembelihan untuknya dengan tujuan mendekatkan diri kepada tuhan-tuhan atau berhala-berhala mereka.  Sembelihan begini termasuk sembelihan bukan kerana Allah. Sembelihan bukan kerana Allah dan sembelihan untuk berhala kedua-duanya adalah sama sahaja, iaitu untuk mengagungkan taghut. Perbezaan antara keduanya ialah, sembelihan bukan kerana Allah adakalanya sembelihan itu adalah untuk berhala yang jauh darinya. Sembelihan berkenaan disebut nama taghut. Manakala sembelihan untuk berhala pula ialah sembelihan itu mestilah dilakukan pada batu berhala berkenaan. Bukan satu kemestian disebutkan nama selain Allah pada sembelihan itu.  
Semasa berhala-berhala itu masih berada di sekitar ka’bah, mereka beranggapan bahawa sembelihan untuk berhala itu adalah sebagai penghormatan kepada baitil haram (ka’bah). Kemudian Islam melenyapkan tanggapan ini dan menyatakan pengharamannya dengan nash yang jelas dan nyata, sekalipun ia difahami dari ayat “apa sahaja yang disembelih bukan kerana Allah.

Bab 2.1: Makanan dan Minuman: Ikan dan Belalang Tidak Termasuk Bangkai

Syariat Islam telah mengecualikan beberapa haiwan dari bangkai yang diharamkan, iaitu ikan, ikan paus dan haiwan-haiwan laut lain yang seumpamanya. Ketika Nabi s.a.w. ditanya mengenai laut, baginda s.a.w. bersabda: “Airnya suci lagi menyucikan dan bangkai haiwannya adalah halal.” (HR Ahmad; Ashab al-Sunan) Allah Taala berfirman:

" Dihalalkan bagi kamu haiwan buruan laut dan makanannya."
( suarh al-Maidah.Ayat 96 )
Umar r.a. berkata: Buruannya
(صيده) bermaksud haiwan yang diburu dan makanannya (طعامه) bermaksud apa yang dicari.”








Ibnu Abbas r.a. pula mengatakan: “Makanannya (طعامه) bermaksud bangkainya.”

Di dalam Sahih Bukhari dan Muslim menyebutkan, dari Jabir r.a., bahawa Nabi s.a.w. telah mengutuskan angkatan perang dari kalangan para sahabatnya. Mereka ini mendapat seekor ikan paus besar yang telah mati (menjadi bangkai). Mereka memakannya selama 20 hari. Kemudian mereka kembali ke Madinah dan menceritakannya kepada Rasulullah s.a.w, lalu Baginda s.a.w. bersabda: “Makanlah rezeki yang telah Allah berikan kepada kamu. Berilah kepada kami jika kamu masih ada lagi.” Kemudian salah seorang dari mereka memberikannya kepada baginda s.a.w. dan dimakannya.   (HR Bukhari)

Belalang samalah hukumnya seperti bangkai haiwan laut. Rasulullah s.a.w. telah memberi rukhsah (keringanan) memakan bangkai belalang. Kerana belalang tidak mungkin dapat disembelih. Ibnu Abi Aufa r.a. telah berkata: “Kami berperang bersama Rasulullah s.a.w. sebanyak tujuh peperangan. Kami bersama baginda s.a.w. memakan belalang.” (HR al-Jamaah kecuali Ibnu Majah)

Bab 2.1: Makanan dan Minuman: Memanfaatkan Kulit Bangkai, Tulang dan Bulunya

Diharamkan bangkai bermaksud diharamkan memakannya. Adapun untuk memanfaatkan kulit, tanduk, tulang atau bulunya, maka itu tidak mengapa. Bahkan ia adalah perkara yang dituntut, kerana ia masih boleh diambil faedahnya dan tidak boleh disia-siakan.

Terdapat dalam Hadis riwayat Ibnu Abbas, katanya:

Hamba Maimunah –Ummul Mukminin- telah disedekahkan dengan seekor kambing, tetapi mati. Semasa Rasulullah s.a.w. lalu, baginda s.a.w. bersabda: “Mengapa kamu tidak ambil kulitnya, lalu kamu menyamak dan manfaatkannya.” Mereka berkata: “Bukankah ia bangkai?” Rasulullah s.a.w. menjawab: “Hanyasanya yang diharamkan ialah memakannya.”  
                                                                                     ( HR al-Jamaah melainkan Ibnu Majah )

Nabi s.a.w. telah memberi jalan bagaimana cara menyucikan kulit bangkai, iaitu dengan cara menyamaknya. Baginda s.a.w. telah bersabda dalam sebuah hadis lain: 

“ Menyamak kulit adalah seperti menyembelihnya.” (  HR Abu Daud dan al-Nasa’I )

Ia bermaksud, sesungguhnya menyamak kulit untuk menyucikannya samalah kedudukannya seperti menyembelih kambing atau seumpamanya supaya halal dimakan.
Di dalam satu riwayat lain:
“ Menyamaknya dapat menghilangkan kotoran.”  (  HR al-Hakim  )

Menurut satu riwayat lain:  " Apabila kulit disamak maka ia menjadi suci.”
                                                                                                       ( HR Muslim dan selainnya )




Apa yang disebut di atas meliputi semua jenis kulit sekalipun kulit anjing dan babi. Ini adalah pendapat ulamak mazhab Zahiri. Ia juga pendapat dari Abu Yusof murid Abu Hanifah, dan al-Syaukani telah mentarjihkannya. Dari Saudah Ummul Mukminin r.a., katanya:

“ Kami kematian seekor kambing, kemudian kami menyamak kulitnya dan dijadikan
   menyimpan kurma (agar rasa airnya lebih manis). Selepas itu kami jadikan tempat
   menyimpan air.”                                                      ( HR al-Bukhari dan selainnya )

Bab 2.1: Makanan dan Minuman: Pengecualian Dalam Keadaan Darurat

Semua perkara yang diharamkan di atas itu berlaku hanya dalam keadaan ikhtiar (bukan darurat).
Manakala dalam keadaan darurat, ia mempunyai hukumnya yang tersendiri – sebagaimana yang telah kami sebutkan sebelum ini. Firman Allah Taala:

" Allah telah menerangkan kepadamu apa-apa yang Ia telah haramkan atas kamu, kecuali
   kam dalam keadaan terpaksa."                                                    ( surah al-An'am: ayat 119 )

Selepas menyebut tentang pengharaman bangkai, darah dan selainnya, Allah berfirman:

" Barangsiapa terpaksa dengan tidak sengaja dan tidak melampaui batas, maka tidak ada
   dosa atasnya, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Belas-kasih."
                                                                                                      ( surah al-Baqarah: ayat 173 )
Darurat yang telah ulamak sepakati ialah darurat dalam masalah makan. Iaitu yang mengalami kelaparan, di mana sebahagian fuqahak telah menetapkan tempohnya berlalu sehari semalam tidak memperoleh makanan kecuali makanan yang diharamkan. Maka ketika itu dia boleh memakannya atas alasan darurat untuk menolak kemudaratan dan kemusnahan jiwa.

Imam Malik berkata: “ Had batasannya ialah kenyang dan boleh menyimpannya sehingga memperoleh makanan lain.” Ulamak pula mengatakan: “ Tidak boleh makan makanan yang haram itu (ketika darurat) melainkan untuk memelihara nyawa sahaja.”
Barangkali inilah maksud zahir ayat dari firman Allah Taal " Tidak sengaja dan tidak melampaui batas.” Maksudnya, bukan dengan sengaja kerana mahu memenuhi kehendak syahwat. Dan, tidak melampaui batas-batas yang dibenarkan dalam menghadapi keadaan darurat.”

Mengenai darurat kelaparan, Allah Taala telah mengemukan secara jelas dengan firmanNya:

" Dan barangsiapa yang terpaksa pada (waktu) kelaparan dengan tidak sengaja untuk
   berbuat dosa, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Belas-kasih."
                                                                                                      ( surah al-Maidah:ayat  3 )
Perkataan مخمصة bermaksud kelaparan.





Bab 2.1: Makanan dan Minuman: Darurat Kerana Berubat

Darurat kerana berubat ialah, kesembuhan suatu penyakit bergantung kepada makanan yang diharamkan. Mengenai hal ini, para fuqahak telah berselisih pendapat mengenainya. Sebahagian mereka tidak menganggap berubat dalam keadaan ini sebagai darurat yang memaksa sebagaimana dalam masalah makan. Pendapat ini bersandarkan kepada Hadis: 

" Sesungguhnya Allah tidak menjadikan kesembuhanmu dengan sesuatu yang Ia haramkan
   atas kamu."                                                                                               (  Riwayat Bukhari  )

Sebahagian fuqahak pula mengatakan bahawa ia dapat digolongkan di dalam keadaan darurat. Mereka menganggap masalah memakan ubat sama seperti masalah makan (boleh makan yang diharamkan ketika darurat). Dalil golongan yang membolehkan memakan yang haram kerana berubat ialah, Nabi Muhamad s.a.w. pernah memberi rukhsah (keringanan) memakai sutera kepada Abdul Rahman bin Auf dan al-Zubair bin al-Awam r.a. Ini disebabkan penyakit yang menimpa mereka berdua, sedangkan pemakaian sutera adalah dilarang dan pemakainya diancam.

Barangkali inilah pendapat yang lebih hampir kepada roh Islam yang bersifat sentiasa melindungi kehidupan manusia. Sifat ini boleh kita perolehi di dalam setiap pensyariatan dan pesan-pesannya.Namun, rukhsah (keringanan) memakan ubat yang mengandungi bahan yang diharamkan ada beberapa syaratnya, iaitu:

1. Dapat benar-benar merbahayakan kesihatan jika tidak memakan ubat berkenaan.
2. Tidak terdapat ubat lain yang halal sebagai penggantinya.
3. Hal ini disahkan oleh doktor yang dapat dipercayai dari sudut kepakaran dan agamanya.

No comments:

Post a Comment