Friday, August 26, 2011

PENGERTIAN PUASA & AIDILFITRI



PENGERTIAN PUASA

Puasa ertinya menahan diri dari makan dan minum dan dari segala perbuatan
yang boleh membatalkan puasa, mulai terbit fajar hinggalah terbenam matahari.

PUASA WAJIB
Puasa di bulan Ramadhan
Puasa Kifarat
Puasa Nazar


PUASA SUNAT
Puasa enam hari pada bulan Syawal
Puasa hari Arafah
Puasa hari Asyura pada 10 Muharam
Puasa bulan Syaaban
Puasa Isnin dan Khamis
Puasa tengah bulan iaitu 13, 14, 15 pada tiap-tiap bulan qamaria (tahun
hijrah)

PUASA MAKRUH
Puasa yang terus menerus sepanjang masa
Tidak termasuk dua hari raya dan hari tasyriq

PUASA HARAM
Puasa pada hari raya pertama Aidil Fitri
Puasa pada hari raya pertama Aidil Adha
Puasa tiga hari sesudah hari raya Aidil Adha atau hari tasyriq iaitu pada 11,
12 dan 13 Zulhijjah

SAMBUTAN AIDILFITRI MENURUT PERSEPSI ISLAM
Print

Sambutan Aidilfitri dimulai dengan takbir pada malam 1 Syawal. Takbir adalah satu sunnah berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “...supaya kamu membesarkan Allah (bertakbir) kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya...” (Surah Al-Hajj, ayat 37)
Pada malam Hari Raya, kita disuruh bertakbir bagi memuji, mengagungkan dan bersyukur ke hadrat Allah kerana telah mengekalkan kita di atas jalan petunjuknya, berada di dalam nikmat iman dan berjaya melaksanakan perintah puasa. Lafaz takbir mengandungi pengertian yang sangat penting dalam menyucikan hati daripada sifat keji, terutama syirik, bongkak dan sombong. Umat Islam disunatkan terus bertakbir bermula selepas Maghrib menjelang malam hari raya pertama hingga imam selesai membaca khutbah selepas solat sunat hari raya keesokannya.
Dalam ertikata sebenarnya, Aidilfitri merupakan hari meraikan kejayaan bagi orang-orang yang telah melaksanakan ibadah yang dituntut di bulan Ramadan iaitu ibadah puasa. Mereka berhak bergembira menyambut Aidilfitri. Rasulullah (saw) bersabda:

"Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu ada dua kegembiraan, gembira ketika hari berbuka (Aidilfitri) dan gembira ketika bertemu Tuhanmu ".
Pastinya, cara umat Islam menyambut kegembiraan dan kejayaan ini berbeza dari cara orang-orang bukan Islam menyambut perayaan mereka. Umat Islam ada adab sopan dan peraturan yang perlu dipatuhi sebagaimana kita menjalani hari-hari yang lain. Bagi umat Islam, mereka dianugerahkan oleh Allah dua hari raya, iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.
Anas menceritakan: “ Ketika Rasulullah saw berhijrah ke Madinah, ada dua hari raya yang disambut meriah oleh penduduknya. Maka Baginda bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik daripada itu, iaitu Aidiladha dan Aidilfitri .” (Hadis riwayat Abu Daud dan An-Nasa'i)
Jelas di sini, Aidilfitri bagi umat Islam bukan sekadar satu perayaan, adat atau budaya. Ia juga bukanlah hari yang direka-reka oleh manusia. Ia merupakan anugerah Allah sebagai tanda kasih dan rahmat-Nya kepada semua hamba-Nya yang taat serta ikhlas menjalankan ibadat puasa di bulan Ramadan.
Dalam kita menyambut 1 Syawal, sayugialah umat Islam semuanya mensyukuri nikmat Allah dengan mengamalkan sikap bersederhana dalam sambutan Aidilfitri. Kita juga dilarang membazir dalam membuat persiapan untuk menyambut Hari Raya. Bagaimanapun, kita disuruh memakai pakaian yang paling baru di Hari Raya terutama ketika pergi ke masjid. “Paling baru” tentulah tidak semestinya bermaksud yang baru dibeli setiap tahun. Jika ada yang lama tetapi masih cantik dan sempurna digunakan tentulah sudah memadai.
Dalam menghias rumah dan menyediakan makanan juga, umat Islam dituntut agar tidak berlebih-lebihan, apatah lagi jika ada saudara-saudara kita yang menyambut Hari Raya dalam keadaan serba kekurangan.
Firman Allah bermaksud: "Janganlah kamu membazir. Sesungguhnya orang-orang yang membazir adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu kufur terhadap Tuhannya". – (Al-Israa': 26-27) 

Perkara terpenting dalam menghidupkan syiar Aidilfitri ini ialah kunjung-mengunjung, ziarah-menziarahi dan mempereratkan silaturrahim sesama ahli keluarga, sanak saudara, jiran-tetangga dan juga sahabat handai.
Firman Allah bermaksud: "Takutilah Allah Subhanahu wa Taala yang kami memohon kepadaNya dan hubungkanlah silaturrahim.”
– (Surah An-Nisa': 1)
Berikut adalah merupakan antara pengertian dan amalan Hari Raya Aidilfitri seperti yang diamalkan oleh masyarakat Islam di Malaysia yang berbangsa Melayu berdasarkan pemerhatian saya selama ini.

  1. Berhari raya selama sebulan kerana berpuasa pun selama sebulan. Ini adalah berdasarkan amalan yang terdapat dalam Kitab Sheikh Al-Kepala Bapak Engkau yang diguna pakai di Malaysia. Pengertian ini sangat mendalam di jiwa masyarakat Islam di Malaysia yang berbangsa Melayu. Barangkali begitulah juga sikap mereka dalam hal kebaikan yang lain. Buat 30, dibalas 30.
  1. Membuat perjalanan beratus kilometer untuk pulang ke kampung halaman meski pun jalan raya telah diketahui akan sesak teruk dan kemalangan sangat berkecenderungan untuk terjadi pada masa itu. Tapi balik tetap kena balik. Ini kerana kebetulan pejabat pun ditutup pada hari itu. Menziarahi orang tua bukanlah satu alasan utama sebenarnya kerana ada beratus hari lagi dalam setahun yang boleh diperuntukkan untuk menziarahi orang tua dan bebas dari kesesakan pula. Itu pun sekiranya benar-benar mahu menziarahi. Tidak perlu dirisaukan sangat soal kemalangan ngeri semua tu kerana ada berjuta orang yang pulang beraya, pasti tak akan terkena kepada kita punya!
  1. Memakan segala makanan yang disediakan dalam kuantiti yang banyak tanpa henti-henti demi membalas dendam bagi penyeksaan yang telah dikenakan pada sepanjang bulan Ramadhan. Memperingati kesusahan orang miskin dan kelaparan hanyalah wacana untuk bulan Ramadhan semata-mata. Bulan Syawal inilah waktunya untuk menghabiskan wang dan mengisi perut dengan mengadakan jamuan rumah terbuka saban hari. Orang yang dijemput hadir untuk makan pula mestilah dari kalangan yang berkemampuan saja dan datang dari kalangan sahabat handai, rakan sepejabat dan jiran-jiran. Orang miskin dan anak yatim pula tidak perlu dijemput kerana tanggungjawab menjamu mereka telah jatuh kepada golongan artis dan korporat. Lagi pun, bukankah telah jenuh sebulan memperingati mereka?
  1. Bermaaf-maafan dengan ucapan "maaf zahir dan batin". Ini kerana maaf hanyalah layak dipinta pada hari raya saja. Simpanlah segala noda dan nista yang telah dilakukan sepanjang tahun untuk dilupuskan pada hari raya dengan sekadar mengucapkan “maaf zahir dan batin, ya?” atau “0-0, ya?”. Sekiranya mati sebelum sempat hari raya, maka “tough luck la brader”. Tidak perlu menyatakan satu persatu kesalahan yang telah dilakukan sebagaimana dianjurkan dalam Islam. Cukup dengan meminta maaf saja, pasti dikira sudah dimaafkan.
  • Membuat lebih daripada sekadar memakai baju baru dan cantik pada hari raya. Langsir, kerusi, kereta, permaidani,perhiasan rumah, barang kemas dan kalau boleh segala-galanya yang termampu dibeli serba baru hendaklah dibeli serba baru. Biarlah habis simpanan kecemasan sekali pun kerana ini adalah satu amalan yang sangat penting kerana raya hanya sekali dalam setahun dan beginilah cara yang paling afdal dan bijak bagi kita meneruskan kesinambungan semangat memperingati orang susah dan miskin lewat sebulan Ramadhan yang lalu.
  1. Menziarahi rumah orang yang tidak dikenali atas alasan mewujudkan silaturrahim. Ini kerana silaturrahim tidak boleh dipupuk pada masa lain selain daripada bulan Syawal. Tidak perlu ke rumahnya lagi untuk menjengah berziarah pada masa lain sekiranya telah pun datang pada musim raya. Perbualan yang terhenti setakat ziarah kali ini boleh saja disambung pada ziarah raya pada tahun yang akan datang.
Kesimpulannya, sambutlah Syawal dalam keadaan kita seperti di sepanjang Ramadan, tunduk bertakwa dalam suasana beribadat kepada Allah. Hiasilah siang dan malam Aidilfitri dengan tahlil, tahmid dan takbir. Mudah-mudahan kehidupan kita sentiasa dalam keberkatan dan perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala. Amin.

No comments:

Post a Comment