SIFAT
SYURGA
Abul-Laits
meriwayatkan dengan sanadnya dari Abu Hurairah .a. berkata: "Ya
Rasullullah, dari apakah dibuat syurga itu?" Jawab Nabi Muhammad s.a.w.:
"Dari air." Kami bertanya: "Beritakan tentang bangunan
syurga." Jawab Nabi Muhammad s.a.w.: "Satu bata dari emas dan satu
bata dari perak, dan lantainya kasturi yang semerbak harum, tanahnya dari
za'faran, kerikilnya mutiara dan yakut, siapa yang masuk dalamnya senang tidak
susah, kekal tidak mati, tidak lapuk pakaiannya, tidak berubah mukanya."
Kemudian
Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Tiga macam doa yang tidak akan tertolak:
Imam (pemimpin, hakim) yang adil, dan orang puasa ketika berbuka dan orang yang
teraniaya, maka doanya terangkat diatas awan, dilihat oleh Tuhan lalu
berfirman: "Demi kemuliaan dan kesabaranKu. Aku akan bela padamu walau
hanya menanti masanya."
Abul-Laits
meriwayatkan dengan sanadnya dari Abu Hurairah .a. berkata: Nabi Muhammad
s.a.w. bersabda: " Sesungguhnya didalam syurga ada pohon besar sehingga
seorang yang berkenderaan dapat berjalan dibawah naungannya selama seratus
tahun tidak putus naungannya, bacalah: Wa dhillin mamdud (Yang bermaksud) Dan
naungan yang memanjang terus. Dan didalam syurga kesenangannya yang tidak
pernah dilihat mata atau didengar oleh telinga, bahkan tidak pernah terlintas
dalam hati (perasaan) manusia. Bacalah kamu: Fala ta'lamu nafsun maa ukh
nothing lahum min qurrati a'yunin jazza'an bima kanu ya'malun (Yang bermaksud)
Maka tidak seorang pun yang mengetahui apa yang tersembunyi bagi mereka dari
kesenangan yang memuaskan hari sebagai pembalasan apa yang telah mereka
lakukan. Dan temapt pecut didalam syurga lebih baik dari dunia siisinya.
Bacalah ayat: Faman zuhziha aninnari wa udkhillal jannata faqad faza (Yang
bermaksud) Maka siapa dijauhkan dari api dan dimasukkan dalam syurga bererti
telah untung."
Ibn
Abbas .a. berkata: "Sesungguhnya didalam syurga ada bidadari yang
dijadikan dari empat macam iaitu misik, ambar, kafur dan za'faran, sedang
tanahnya dicampur dengan air hidup (hayawan), dan setelah dijadikan maka semua
bidadari asyik kepadanya, andaikan ia berludah dalam laut tentu menjdai tawar
airnya, tercantum dilehernya: Siapa yang ingin mendapat isteri seperti aku,
maka hendaklah taat kepada Tuhanku."
Mujahid
berkata: "Bumi syurga dari perak, dan tanahnya dari misik, dan urat-urat
pohonnya dari perak, sedang dahannya dari mutiara dan zabarjad, sedang daun dan
buahnya dibawah itu, maka siapa yang makan sambil berdiri tidak sukar, dengan
duduk juga tidak sukar, dan sambil berbaring juga tidak sukar, kemudian membaca
ayat: Wa dzulillat quthufuha tadzlila. (Yang bermaksud) Dan dimudahkan
buah-buahnya sehingga semudah-mudahnya. Sehingga dapat dicapai oleh orang yang
berdiri maupun yang duduk dan berbaring.
Abu
hurairah .a. berkata: "Demi Allah yang menurunkan kitab pada Nabi Muhammad
s.a.w. Sesungguhnya ahli syurga tiap saat bertambah elok cantiknya, sebagaimana
dahulu didunia bertambah tua."
Abul-Laits
meriwayatkan dengan sanadnya dari Shuhaib .a. berkata: "Nabi Muhammad
s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Apabila ahli syurga telah masuk kesyurga
dan ahli neraka telah masuk keneraka, maka ada seruan: Hai ahli syurga, Allah
akan menepati janji-Nya kepada kamu. Mereka berkata: "Apakah itu, tidakkah
telah memberatkan timbangan amal kami dan memutihkan wajah kami dan memesukkan
kami kedalam syurga dan menghindarkan kami dari neraka. Maka Allah membukakan
bagi mereka hijab sehingga mereka dapat melihatNya, demi Allah yang jiwaku ada
ditanganNya belum pernah mereka diberi sesuatu yang lebih senang daripada
melihat zat Allah."
Anas
bin Malik .a. berkata: "Jibril datang kepada Nabi Muhammad s.a.w. membawa
cermin putih yang ditengahnya ada titik hitam, maka Nabi Muhammad s.a.w.
bertanya kepada Jibril: "Apakah cermin yang putih ini?" Jawabnya:
"Ini hari Jumaat dan titik hitam ini saat mustajab yang ada dihari Jumaat,
telah dikurniakan untuk mu dan untuk ummat mu, sehingga ummat-ummat yang
sebelumnya berada dibelakangmu, iaitu Yahudi dan Nashara (kristian) dan saat
dihari Jumaat, jika seorang mukmin bertepatan berdoa untuk kebaikan pada saat
itu pasti ia akan diterima oleh Allah, atau berlindung kepada Allah dari suatu
bahaya, pasti akan dihindarkannya, dan hari Jumaat dikalangan kami (Malaikat)
dinamakan Yaumal Mazid (hari tambahan)."
Nabi
Muhammad s.a.w. bertanya lagi: "Apakah Yaumal Mazid itu?" Jawab
Jibril: "Tuhan telah membuat lembah disyurga Jannatul Firdaus, disana ada
anak bukitdari misik kasturi dan pada tiap-tiap hari Jumaat disana disediakan
mimbar-minbar dari nur (cahaya) yang diduduki oleh para Nabi, dan ada mimbar-mimbar
dari emas bertaburan permata yaqut dan zabarjada diduduki para siddiqin, suhada
dan solihin, sedang orang-orang ahli ghurof (yang dibilik syurga) berada
dibelakang mereka diatas bukit kecil itu berkumpul menghadap kepada Tuhan untuk
memuja muji kepada Allah,
Allah
berfirman: "Mintalah kepadaKu." Maka semua minta (Kami mohon
keridhaanMu) Jawab Allah:"Aku telah redho kepadamu, keridhoan sehingga
kamu Aku tempatkan dirumahKu dan Aku muliakan kamu." Kemudian Allah
menampakkan kepada mereka sehingga mereka dapat melihat zatNya, maka tidak ada
hari yang mereka suka sebagaimana hari Jumaat kerana mereka merasa bertambahnya
kemuliaan dan kehormatan mereka.
Dalam
lain riwayat: Allah menyuruh kepada Malaikat: "Berikan makan kepada para
waliKu.", maka dihidangkan berbagai makanan maka terasa pada tiap suap
rasa yang lain dari semuanya, bahkan lebih lazat sehingga bila selesai makan,
diperintahkan oleh Allah: "Berikan minum kepada hamba-hambaKu." maka
diberi minum yang dapat dirasakan kelazatannya pada tiap teguk dan ketika telah
selesai maka Tuhan berfirman: "Akulah Tuhanmu telah menepati apa yang Aku
janjikan kepadamu dan kini kamu boleh minta, nescaya Aku berikan
permintaanmu." Jawab mereka: "Kami minta ridhoMu. kami minta
ridhoMu." dua tiga kali.
Dijawab
oleh Allah: "Aku ridho kepadamu bahkan masih ada tambahan lagi daripadaKu,
pada hari ini Aku muliakan kamu dengan penghormatan yang terbesar dari semua
yang telah kamu terima." Maka dibukakan hijab sehingga mereka dapat
melihat dzat Allah yang Maha Mulia sekehendak Allah, maka segera mereka
bersujud kepada Allah sekehendak Allah sehingga Allah menyuruh mereka:
"Angkatlah kepalamu sebab kini bukan masa beribadat." Maka disitu
mereka lupa pada nikmat-nikmat yang sebelumnya dan terasa benar bahawa tidak ada
nikmat lebih besar daripada melihat dzat Allah yang Maha Mulia.
Kemudian
mereka kembali maka semerbak bau harum dari bawah Arsy dari bukit kasturi yang
putih dan ditaburkan diatas kepala mereka, diatas ubun-ubun kuda mereka, maka
apabila mereka kembali kepada isteri-isterinya terlihat bertambah indah lebih
dari semula ketika mereka meninggalkan mereka sehingga isteri-isteri mereka
berkata: "Kamu kini lebih elok dari yang biasa."
Abul-Laits
berkata: "Terbuka hijab, bererti hijab yang menutupi mereka untuk
melihat-Nya. Dan erti melihat kepadaNya iaitu melihat kebesaran yang belum
pernah terlihat sebelumnya tetapi kebanyakkan ahli ilmu mengerikan: Melihat
dzat Allah tanpa perumpamaan."
Ikrimah
berkata: "Ketangkasan ahli syurga bagaikan orang berumur 33 tahun lelaki
dan perempuan sama-sa,a, sedang tingginya enam puluh hasta, setinggi nabi Adam
a.s. muda-muda yang mesih bersih halus tidak berjanggut, bola matanya,
memakaitujuh puluh macam perhiasan, yang berubah warnanya tiap-tiap jam, tujuh
puluh macam warna, maka dapat melihat mukanya dimuka isterinya, demikian pula
didadanya, dibetisnya,
demikian
pula isterinya dapat melihat wajahnya diwajah suaminya, didada dan dibetisnya,
mereka tidak berludah dan tidak beringus, lebih-lebih yang lebih kotor, maka
lebih jauh."
Dalam
lain riwayat: "Andaikan seorang wanita syurga menunjukkan tapak tangannya
dari langit nescaya akan menerangi antara langit dan bumi."
Abul-Laits
meriwayatkan dengan sanadnya Zaid bin Arqam .a. berkata: "Seorang ahlil
kitab datang kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan bertanya: "Ya Abal-Qasim,
apakah kau nyatakan bahawa orang syurga itu makan dan minum?" Jawab Nabi
Muhammad s.a.w.: "Ya, demi Allah yang jiwa Muhammad ada ditanganNya,
seorang ahli syurga diberi kekuatan seratus orang dalam makan, minum dan jima (bersetubuh)."
Dia berkata: "Sedang orang yang makan, minum ia lazimnya berhajat, sedang
syurga itu bersih tidak ada kekotoran? Jawab Nabi Muhammad s.a.w. : "Hajat
seseorang itu berupa peluh yang berbau harum bagaikan kasturi."
Abul-Laits
meriwayatkan dengan sanadnya dari Mu'tah bin Sumai mengenai firman Allah
s.w.t.: "Thuba lahum wa husnu ma ab."
Thuba
ialah pohon pokok disyurga yang dahannya dapat menaungi tiap rumah disyurga,
didalamnya berbagai macam buah dan dihinggapi burung-burung besar sehingga bila
seorang ingin burung dapat memanggilnya dan segera jatuh diatas meja makannya,
dan dapat makan sayap yang sebelah berupa dinding dan yang lain berupa
panggangan, kemudian bila telah selesai ia terbang kembali."
Dari
Al'amasy dari Abu Salih dari Abu Hurairah .a. berkata: Nabi Muhammad s.a.w.
yang bermaksud: "Rombongan pertama akan masuk syurga dari ummatku bagaikan
bulan purnama, kemudian yang berikutnya bagaikan bintang yang amat terang
dilangit, kemudian sesudah itu menurut tingkatnya masing-masing, mereka tidak
kencing dan buang air, tidak berludah dan tidak ingus, sisir rambut mereka dari
emas dan ukup-ukup mereka dari kayu gahru yang harum dan peluh mereka kasturi
dan bentuk mereka seperti seorang yang tingginya bagaikan Adam a.s. enam puluh
hasta."
Ibn
Abbas .a. berkata: "Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya ahli
syurga itu muda semua, polos, halus, tidak ada rambut kecuali dikepala, alis
dan idep (dikelopak mata), sedang janggut, kumis, ketiak dan kemaluan polos
tidak ada rambut, tinggi mereka setinggi Nabi Adam a.s. enam puluh hasta,
usianya bagaikan Nabi Isa a.s 33 tahun, putih rupanya, hijau pakaiannya,
dihidangkan kepada mereka hidangan, maka datang burung dan berkata: "Hai
waliyullah, saya telah minum dari sumber salsabil dan makan dari kebun syurga
dan buah-buahan, rasanya sebelah badanku masakan dan yang sebelahnya gorengan,
maka dimakan oleh orang itu sekuatnya."
Dan
tiap orang wali mendapat tujuh puluh perhiasan, tiap perhiasan berbeza warna
dengan yang lain, sedang jari-jarinya ada sepuluh cincin, terukir pada yang
pertama: Salam alaikum bima shobartum, dan yang kedua: Ud khuluha bisalamin
aminin, yang ketiga : Tilkal janatullati urits tumu ha bima kuntum ta'malun,
yang keempat: Rufi'at ankumul ahzana wal humum, yang kelima: Albasakum alhuli
wal hulal, yang keenam Zawwa jakum ul hurul iin, yang ketujuh: Walakum
fihamatasy tahihil anfusu wa taladzzul a'yun wa antum fiha khalidun, yang
kelapan: Rafaq tumunnabiyina wassiddiqin,
yang
kesembilan: Shirtum syababa lah tahromun dan yang kesepuluh: Sakantum fi jiwari
man lah yu'dzil jiran."
Ertinya:
Salam
alaikum bima shobartum….. Selamat
sejahtera kamu kerana kesabaran kamu
Ud
khuluha bisalamin aminin. Masuklah
kesyurga dengan selamat dan aman
Tilkal
janatullati urits tumu ha bima kuntum ta'malun …. Itulah syurga yang diwariskan
kepadamu kerana amal perbuatanmu
Rufi'at
ankumul ahzana wal humum .. Telah
dihindarkan dari kamu semua risau dan dukacita
Albasakum
alhuli wal hulal … Kami berimu
pakaian dan perhiasan
Zawwa
jakum ul hurul iin .. Kami
kahwinkan kamu dengan bidadari
Walakum
fihamatasy tahihil anfusu wa taladzzul a'yun wa antum fiha khalidun.. Untuk mu
dalam syurga segala keinginan dan menyenangkan pandangan matamu.
Rafaq
tumunnabiyina wassiddiqin.. Kamu telah
berkumpul dengan para Nabi dan Siddiqin
hirtum
syababa lah tahromun Kamu
menjadi muda dan tidak tua selamanya
Sakantum
fi jiwari man lah yu'dzil Jiran Kamu
tinggal dengan tetangga yang tidak mengganggu tetangganya.
Abul-Laits
berkata: " Siapa
yang ingin mendapat kehormatan itu hendaklah menepati lima perkara ini iaitu:
Menahan dari maksiat.. kerana firman Allah
s.w.t.: "Wa nahannafsa anil hawa fainnal jannat hiyal ma'wa yang bermaksud
"Dan menahan nasfu dari maksiat maka syurga tempatnya."
Rela dengan pemberian
yang sederhana..
sebab tersebut dalam hadis: "Harga syurga itu ialah tidak rakus pada
dunia."
Rajin pada tiap taat
dan semua amal kebaikan.. sebab kemungkinan amal itu yang menyebabkan pengampunan dan
masuk syurga seperti firman Allah s.w.t. : "Itu syurga yang diwariskan
kepadamu kerana amal perbuatanmu."
Cinta pada
orang-orang yang soleh dan bergaul dengan mereka.. sebab mereka
diharapkan syafa'atnya sebagaimana dalam hadis: "Perbanyaklah kawan kerana
tiap kawan itu ada syafa'atnya pada hari kiamat."
Memperbanyakkan doa dan minta masuk
syurga dan husnul khotimah.
Sebagaimana
ahli hikmah berkata: "Condong kepada dunia setelah mengetahui pahala
bererti satu kebodohan dan tidak bersungguh-sungguh beramal setelah mengetahui
besarnya pahala bererti lemah malas dan di syurga ada masa istirehat tidak
dapat dirasakan kecuali oleh orang yang tidak pernah istirehat didunia dan ada
kepuasan yang tidak dapat dirasakan kecuali oleh orang yang meninggalkan
berlebihan didunia, dan cukup dengan kesederhanaan yang ada didunia.
Ada
seorang zahid makan sayur dan garam, lalu ditegur oleh orang: "Kamu cukup
dengan itu tanpa roti?" Jawabnya: Saya jadikan makanan ini untuk syurga
sedang kau jadikan untuk w.c, kau makan segala yang lazat dan akhirnya ke w.c,
sedang saya makan sekadar untuk menguatkan taat, semoga saya sampai
kesyurga." Ibrahim bin Adham ketika masuk ketempat permandian dilarang
oleh penjaganya: "Jangan masuk kecuali jika membayar wangnya."
Maka
ia menangis dan berdoa: "Ya Allah, seorang untuk masuk kerumah syaitan
tidak diizinkan tanpa wang, maka bagaimana saya akan masuk ketempat para Nabi
dan Siddiqin tanpa upah?" .. Tersebut dalam wahya
yang diturunkan pada sebahagian para Nabi itu: "hai Anak Adam, kau membeli
neraka dengan harga mahal dan tidak mahu membeli syurga dengan harga
murah." Ertinya: Adakalanya pengeluaran untuk maksiat itu banyak dan
ringan, tetapi untuk sedekah kebaikan sedikit dan berat."
Abu
Hazim berkata: "Andaikata syurga itu tidak dapat dicapai kecuali dengan
meninggalkan kesukaannya didunia, nescaya itu ringan dan sedikit untuk mendapat
syurga, dan andaikan neraka itu tidak dapat dihindari kecuali dengan menanggung
semua kesukaran-kesukaran dunia, niscaya itu ringan dan sedikit disamping
keselamatan dineraka. Padahal kamu dapat masuk dan selamat dari neraka dengan
sabar menderita satu peratus dari kesukaran."
Yahya
bin Mu'adz Arrazi berkata: "Meninggalkan dunia berat tetapi meninggalkan
syurga lebih berat, sedang maharnya syurga ialah meninggalkan dunia."
Anas
bin Malik .a berkata: "Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Siapa yang
minta kepada Allah syurga sampai tiga kali, maka syurga berdoa: "Ya Allah,
masukkan ia kesyurga" dan siapa berlindung kepada Allah dari neraka tiga
kali maka neraka berdoa: "Ya Allah, hindarkan ia dari neraka."
Semoga
Allah s.w.t. menghindarkan kami dari neraka dan memasukkan kami kedalam syurga.
Dan andaikan didalam syurga itu tidak ada apa-apa kecuali bertemu dengan
kawan-kawan nescaya itu sudah enak dan baik, maka bagaimana padahal disyurga
itu segala kehormatan dan kepuasan itu semua ada.
Anas
bin Malik .a. berkata: "Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Didalam
syurga ada pasar tetapi tidak ada jual beli, hanya orang-orang berkumpul
membicarakan keadaan ketika didunia, dan cara beribadat, bagaimana keadaan
antara si fakir dengan si kaya, dan bagaimana keadaan sesudah mati dan lama
binasa dalam kubur sehingga sampai kesyurga."
Abul-laits
meriwayatkan dengan sanadnya dari Abdullah bin Mas'ud .a. berkata:
"Manusia semua akan berdiri didekat neraka, kemudian mereka menyeberang
diatas sirat (jambatan) diatas neraka, masing-masing menurut amal perbuatannya,
ada yang menyeberang bagaikan kilat, ada yang bagaikan angin kencang, ada yang
bagaikan kuda yang cepat larinya, dan seperti lari orang, dan ada yang bagaikan
terbang burung, dan ada yang seperti unta yang cepat dan yang akhir berjalan
diatas kedua ibu jari kakinya, kemudian tersungkur dalam neraka dan sirat itu
licin, halus, tipis, tajam semacam pedang, berduri sedang dikanan kirinya
Malaikat yang membawa bantolan untuk membantol (menyeret) orang-orang, maka ada
yang selamat, ada yang luka-luka tetapi masih selamat dan ada yang langsung
tersungkur kedalam api neraka, sedang para Malaikat itu sama-sama berdoa:
"Robbi sallim saliim" (Ya Tuhan, selamatkan, selamatkan)
Dan
ada orang yang berjalan sebagai orang yang terakhir masuk kesyurga, maka ia
selamat dari sirat, terbuka baginya pintu syurga dan merasa tidak ada tempat
baginya disyurga, sehingga dia berdoa: "Ya Tuhan, tempat saya
disini." Jawab Tuhan: "Kemungkinan jika Aku beri kamu tempat ini lalu
minta yang lainnya." Jawabnya: "Tidak, demi kemuliaanMu." Maka
ditempatkan disitu, kemudian diperlihatkan kepadanya tempat yang lebih baik,
sehingga dia merasakan kerendahan tempat yang diberikan kepadanya, lalu ia
berkata: "Ya Tuhan, tempatkan lah aku disitu." Dijawab oleh Tuhan:
"Kemungkinan jika Aku beri kamu tempat ini lalu minta yang lainnya."
Jawabnya: "Tidak, demi kemuliaanMu."
Kemudian
diperlihatkan kepadanya syurga yang lebih baik, sehingga ia merasa bahawa
tempatnya masih rendah, tetapi ia diam tidak berani minta beberapa lama
sehingga ditanya: "Apakah kau tidak minta?" Jawabnya: "Saya
sudah minta sehingga merasa malu." Maka firman Allah s.w.t.: "Untukmu
sebesar dunia sepuluh kali, maka inilah yang terendah tempat disyurga."
Abdullah
bin Mas'ud berkata: "Nabi Muhammad s.a.w. jika menceritakan ini maka
tertawa sehingga terlihat gigi gerahamnya."
Dalam
hadis: "Diantara wanita-wanita didunia ini ada yang kecantikannya melebihi
dari bidadari kerana amal perbuatannya ketika didunia."
Firman
Allah s.w.t.: "Inna ansya'nahunna insya'a, fija'alnahunna abkara uruban
atraba li ash habil yamin." yang bermaksud: "Kami cipta mereka baru
dan Kami jadikan mereka tetap gadis yang sangat kasih dan cinta, juga tetap
sebaya umurnya, untuk orang-orang ahlil yamin."
No comments:
Post a Comment