Tidak digalakkan oleh agama untuk
anak yang telah mumayyiz (yakni telah mengerti dan tahu membezakan) untuk
tidur bersama dengan ayah dan ibunya kerana dikhuatiri berlaku
pendedahan aurat dari bapa dan ibunya ketika tidur. Di dalam al-Quran, Allah
berfirman (bermaksud);
“Wahai orang-orang beriman, hendaklah meminta
izin kepada kamu hamba-hamba yang kamu miliki dan anak-anak yang belum
baligh di kalangan kamu (sebelum mereka memasuki kamar-kamar kamu) pada
tiga masa; masa sebelum solat subuh, masa ketika kamu menanggalkan pakaian di
waktu tengahari dan masa selepas solat isyak. Itu adalah tiga masa
berlaku pendedahan aurat pada kamu. Adapun lain dari tiga masa itu,
tidaklah menjadi dosa ke atas kamu dan juga ke atas mereka (untuk masuk tanpa
meminta izin terlebih dahulu) kerana mereka adalah orang-orang yang berlegar di
sekitar kamu, yakni sebahagian kamu sentiasa bergaul dengan sebahagian yang
lain. Begitulah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayatNya. Allah maha
mengetahui lagi maha bijaksana” (ayat 58).
Dalam ayat di atas Allah memerintah
anak-anak sekalipun belum baligh (tetapi telah sampai umur mumayyiz) supaya
meminta izin sebelum memasuki bilik atau kamar ibu dan ayahnya terutamanya pada
tiga waktu;
a) Sebelum subuh adalah masa kamu bangun tidur
b) Selepas solat isyak ialah masa kamu tidur
c) Waktu tengahari (ketika matahari tegak atas kepala) adalah
waktu qailulah iaitu waktu disunatkan kita tidur seketika sebelum solat zohor.
Sebab perintah tersebut ialah untuk mengelak
dari terdedahnya aurat ibu-bapa kepada anak-anak. Inilah yang kita fahami dari
ungkapan Allah dalam ayat tersebut; “Itu adalah tiga masa berlaku
pendedahan aurat pada kamu”. Berkata ulamak –antaranya Syeikh Tohir
Ibnu ‘Asyur-; “Adalah suatu yang jelik ibu-bapa membiarkan anak-anak mereka
(yang telah mumayyiz) melihat aurat mereka kerana pandangan anak-anak akan
membekas (dan menjadi tabiat) dalam diri mereka. Wajib anak-anak diasuh supaya
menjaga aurat sejak dari kecil (yakni memelihara diri dari mendedahkan aurat
dan dari melihat kepada aurat orang lain) agar ia akan menjadi tabiat pada diri
mereka apabila mereka besar nanti” (Tafsir at-Tahrir wa at-Tanwir, surah
an-Nur, ayat 58).
Jika pasti akan berlaku pendedahan
aurat –seperti ibu dan bapa berniat berseronok atau berjimak pada malamnya-,
maka haramlah membenarkan anak yang telah mumayyiz untuk turut tidur dalam
bilik bersama ayah dan ibunya. Suami dan isteri wajib memastikan mereka tidak
dilihat oleh orang lain ketika sedang berjimak. Diharamkan berjimak dengan
dilihat orang lain termasuk anak kecil jika ia telah mumayyiz (sekalipun ia
belum baligh). Malah sebahagian ulamak (antaranya jumhur ulamak mazhab Maliki)
melarang berjimak dengan dilihat oleh anak belum mumayyiz kerana mengambil
contoh dari sahabat Nabi SAW bernama Ibnu ‘Umar RA yang memerintahkan anaknya
yang masih di dalam buaian supaya di bawa keluar dari bilik sebelum ia berjimak
dengan isterinya (kerana malu dengan anak itu). Menurut jumhur; perbuatan Ibnu
Umar RA itu tidaklah wajib –kerana ia sukar dan sulit amalkan-, tetapi jika
dapat diamalkan adalah baik. (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 3/178).
Berkata Syeikh Ibnu al-‘Uthaimin
(salah seorang ulamak besar Arab Saudi); “Pandangan yang soheh dalam masalah
ini ialah; diharamkan bersetubuh di hadapan orang lain, kecuali jika yang ada
di hadapan itu adalah anak kecil yang belum mengerti dan belum dapat menggambarkan
sesuatu, maka tidak mengapa. Adapun di hadapan anak yang sudah pandai
menggambarkan apa yang berlaku di depannya, tidak harus melakukan persetubuhan
di hadapannya sekalipun ia masih kecil kerana anak kecil sebegitu kadang-kadang
ia bercakap menceritakan kepada orang lain apa yang dilihatnya tanpa ia
maksudkan. Anak kecil yang masih dalam buaian –sebagai contohnya- jika usianya
baru beberapa bulan, tidak mengapa berlaku persetubuhan di hadapannya kerana ia
tidak mengerti perbuatan tersebut dan belum dapat menggambarkannya. Namun jika
anak itu telah berusia tiga atau empat tahun, tidak sepatutnya ibu-bapa
melakukan persetubuhan di hadapannya kerana boleh berlaku pada pagi nanti ia
menceritakan apa yang dilihatnya kpada orang lain.
Oleh demikian, adalah
dibenci agama ibu-bapa bersetubuh di hadapan anak kecil mereka sekali belum
mumayyiz jika ia sudah pandai menggambarkan dan memahami apa yang dilihatnya”
(Dinaqalkan dari Fatwa Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid).
No comments:
Post a Comment