Monday, March 2, 2015

Beriman Kepada Hari Kiamat

Beriman Kepada Hari Kiamat
Beriman kepada hari kiamat adalah salah satu dari rukun iman yang enam dan merupakan perkara utama dalam aqidah malah sebagai unsur penting dalam keimanan kerana terdapat banyak ayat-ayat Al-Quran yang menghubungkan beriman kepada Allah dengan beriman kepada hari kiamat. Antaranya ada dinyatakan berdasarkan firman Allah S.W.T. di dalam surah Al-Baqarah ayat 62 :
Maksudnya : “…Sesiapa di antara mereka itu beriman kepada Allah dan beriman kepada hari akhirat (hari kiamat) serta beramal soleh, maka bagi mereka pahala balasannya di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.”
(Surah Al-Baqarah : 62)
Al-Quran dan Al-Sunnah ada memuatkan keterangan tentang dalil kewajipan beriman dengan hari kiamat. Dan sesiapa yang kufur ingkar dengan beriman kepada hari kiamat maka ia berada di dalam kesesatan. Allah S.W.T berfirman di dalam surah Al-Nisa’ ayat 136 :


 
Maksudnya : “…dan sesiapa yang kufur ingkar kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, rasul-rasul-Nya dan juga hari akhirat, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya.”
Beriman dengan hari kiamat ialah beriman dengan setiap berita yang disampaikan oleh Allah dan rasul-Nya mengenai peristiwa yang berlaku pada hari itu, azab dan nikmatnya, soal kubur, hari manusia dibangkitkan semula, mizan, haudh, sirat dan sebagainya.
Menurut Imam Syafie, Ahli Sunnah Wal-Jamaah beriman kepada setiap yang diberitakan oleh Allah dan Rasul-Nya tentang hari kiamat seperti kebangkitan selepas mati, hisab, kedatangan Allah pada hari kiamat untuk memberikan keputusan di antara hamba-hamba-Nya, mizan (timbangan), ash-shirath, syurga dan neraka
NAMA-NAMA LAIN BAGI HARI KIAMAT
1.                  Yaumus-Sa'ah  - Masa yang ditetapkan
2.                  Yaumul-Hisab  -  Hari perhitungan
3.                  Yaumul-Waqiah – Peristiwa yang pasti berlaku
4.                  Yaumul-Haqqah – Peristiwa yang sebenar
5.                  Yaumul- Qariah – Hari yang menggemparkan
6.                  Yaumuz-Zalzalah – Hari goncangan/gegaran
7.                  Yaumul- Jaza' – Hari pembalasan   
8.                  Yaumul-Rajifah – Hari gempa
9.                  Yaumul-Fasl – Hari keputusan
10.              Yaumul-Wa’id – Hari ancaman
NAMA-NAMA SYURGA
    1. Jannatu Adnin (جَنَّةُ عَدْن) – Syurga tempat tinggal yang kekal
    2. Jannatu Na’im (جَنَّةُالنَّعِيْمِ) – Syurga dipenuhi nikmat
    3. Jannatu Makwa (جَنَّةُالمَأْوَى) – Syurga tempat kembali
    4. Jannatu Firdaus (جَنَّةُ الْفِرْدَوْسِ) – Syurga firdaus
    5. Maqamun Amin (مَقَامٌ اَمِيْنٌ) – Kedudukan yang sentosa
    6. Darul Maqamah (دَارُ الْمُقَامَةِ)  – Rumah yang tenteram
    7. Darul Khulud (دَارُالخُلُوْدِ) – Rumah yang kekal abadi
    8. Darussalam (دَارُالسَّلاَم) – Rumah yang sejahtera
NAMA-NAMA NERAKA
    1. Neraka Saqar (سَقَرْ) – Api yang membakar kulit
    2. Neraka Jahim (جَحِيْم) – Tempat balasan seksa yang abadi
    3. Neraka Sa’ir (سَعِيْر) – Api yang menyala-nyala
    4. Neraka Jahannam (جَهَنَّمَ) – Tempat balasan abadi selepas mati
    5. Neraka Hawiah (هَاِويَةٌ) – Api panas yang membakar
    6. Neraka Laza (لَظَىْ) – Api yang menggelegak
    7. Neraka Hutamah (حُطَمَةٌ) – Api yang dinyalakan
PERKARA-PERKARA YANG BERKAITAN DENGAN BERIMAN KEPADA HARI KIAMAT
1. Ujian Kubur
Kita wajib beriman dengan apa yang diberitahu oleh Rasulullah S.A.W. bahawa adanya ujian kubur dan soalan yang diajukan oleh malaikat Munkar dan Nakir. Mereka akan menanyakan manusia tentang Tuhannya, agamanya dan nabinya, Dalam beberapa hadis yang sahih, Rasulullah S.A.W. memberitahu bahawa manusia akan diuji di dalam kubur mereka dan para malaikat akan bertanya kepadanya : Siapa tuhan kamu, apa agama kamu dan siapa nabi kamu? Orang mukmin akan menjawab soalan itu dengan mengatakan : Tuhanku Allah, agamaku Islam dan Nabi Muhammad S.A.W. ialah nabiku. Orang yang masih dalam keraguan, maka dia akan mengatakan : Saya tidak tahu tetapi saya pernah mendengar manusia mengatakan sesuatu tentangnya, lalu saya menurut apa yang dikatakan. Lantaran itu dia dipukul dan diseksa dalam kuburnya.
Ada beberapa hadis yang berkaitan dengannya, antaranya ialah hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud :
“Apabila seseorang hamba diletakkan di dalam kuburnya dan para pengiringnya berpatah balik, maka sesungguhnya dia mendengar bunyi tapak kasut mereka. Pada ketika itu datanglah dua malaikat lalu mereka mendudukkannya. Mereka berkata kepadanya : Apa yang hendak kamu katakan mengenai lelaki ini? Orang Mukmin akan mengatakan : Saya mempersaksikan bahawa dia adalah pesuruh Allah dan rasul-Nya. Lalu dikatakan kepadanya : Lihatlah tempat duduk kamu di dalam neraka telah digantikan dengan tempat duduk di dalam syurga. Nabi Muhammad memberitahu : Lalu dia melihat kedua-dua tempat itu.
 Orang Munafik dan orang kafir, maka dikatakan kepada mereka : Apa yang hendak kamu katakan mengenai lelaki ini? Lalu dia menjawab : Saya tidak tahu, tetapi saya pernah mengatakan sepertimana yang dikatakan orang lain. Maka dikatakan kepadanya : Memang kamu tidak mengerti dan tidak memahami. Dia pun dipukul dengan alat pemukul daripada besi dengan satu pukulan sehingga dia menjerit di mana jeritannya dapat didengar oleh sesiapa sahaja yang ada berdekatan kecuali jin dan manusia.”                        ( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim )
2. Azab Kubur dan Nikmatnya
Kita juga wajib beriman tentang adanya azab kubur dan nikmatnya sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah S.A.W. Azab kubur dikenali sebagai alam barzakh. Alam barzakh ialah suatu kehidupan di antara kehidupan di dunia dan di akhirat dan merupakan alam bagi orang yang telah meninggal dunia sementara menunggu hari kebangkitan serta alam yang memisahkah  di antara alam dunia dengan alam akhirat.
Keterangan tentang adanya seksa kubur ada dinyatakan dalam Al-Quran dan Al-Sunnah. Hadis-hadis mengenai azab kubur sangat banyak dan sampai ke tahap mutawatir. Imam Nawawi mengatakan bahawa ketahuilah menurut mazhab Ahli Sunnah Wal-Jamaah, azab kubur merupakan  suatu yang pasti dan banyak dalil yang telah dikemukakan sama ada melalui ayat Al-Quran atau hadis sahih.
Dari segi logiknya adalah tidak mustahil mengembalikan kehidupan pada sebahagian daripada tubuh 
yang telah mati lalu menyeksanya dan memandangkan kewujudan azab ini tidak boleh disangkaloleh akal apatah lagi dengan sokongan dalil-dalil syarak, maka menjadi kewajipan bagi kita untuk menerima dan beriktikad dengannya. Dalam Al-Quran, Allah S.W.T berfirman di dalam surah Ghafir ayat 45-46 :




Maksudnya : “Dan Firaun berserta kaumnya dikepung oleh azab yang amat buruk. Mereka dinampakkan neraka pada pagi dan petang dan pada hari terjadinya kiamat dikatakan kepada malaikat : Masukkan Firaun dan kaumnya ke dalam azab yang sangat keras.”
   
Di antara hadis-hadis yang menunjukkan tentang azab kubur ialah seperti hadis yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Zaid bin Thabit r.a. Maksudnya :
Ketika Nabi Muhammad S.A.W. berada di tembok Bani Najjar di atas binatang tunggangannya dan kami berada bersamanya, tiba-tiba tembok itu runtuh dan hampir mengenainya. Tiba-tiba didapati beberapa kubur sebanyak enam, lima atau empat kubur. Lalu Rasulullah S.A.W. bersabda  : “        Siapakah yang mengetahui tentang penghuni kubur ini?”
 Seorang lelaki menjawab : “Saya mengetahuinya.”
Nabi bertanya : “Bilakah mereka mati?”
Lelaki itu menjawab : “Mereka mati semasa dalam kesyirikan.”
Lalu baginda bersabda : “Sesungguhnya umat ini sedang menerima ujian dalam kubur mereka, andaikata mereka tidak dikebumikan nescaya aku akan berdoa kepada Allah supaya memperdengarkan kepada kamu azab kubur yang sedang aku dengar ini.”
Kemudian baginda menghadap ke arah kami sambil bersabda :“Mohonlah perlindungan dengan Allah daripada seksaan neraka.”
 Para sahabat berkata : “Kami memohon perlindungan dengan Allah daripada azab neraka.” Nabi bersabda : “Mohonlah perlindungan dengan Allah dari azab kubur.”
Para sahabat berkata : “Kami memohon perlindungan kepada Allah daripada azab kubur.” Nabi bersabda : “Mohonlah perlindungan dengan Allah daripada fitnah yang ketara dan tersembunyi.
Para sahabat berkata : “Kami memohon kepada Allah daripada fitnah yang ketara dan tersembunyi.”
Baginda bersabda lagi : “Mohonlah perlindungan dengan Allah daripada fitnah al-Masih Dajal.”
Para sahabat berkata : “Kami memohon perlindungan dengan Allah daripada fitnah al-Masih Dajal.”                                                                                                            ( Riwayat Muslim )  
Setiap orang mati yang layak menerima azab berdasarkan amalan buruknya, sama ada dia dikuburkan atau tidak, maka roh dan jasadnya akan menerima azab sebagaimana yang dikenakan kepada orang yang berada di dalam kubur.
3. Tanda-tanda Kiamat
Kita wajib beriman bahawa hari kiamat pasti datang. Masa berlaku hanya Allah mengetahuinya. Allah tidak memberitahu seseorang pun sama ada manusia biasa mahupun para rasul-Nya. Tiada seorang pun yang berupaya mengetahui baki umur dunia yang masih tinggal kecuali Allah S.W.T. Kita wajib beriman dengan tanda-tanda kiamat yang merangkumi tanda-tanda kecil dan tanda-tanda besar kerana ia adalah sebahagian daripada beriman kepada hari kiamat. Dan sesungguhnya, Allah S.W.T. mengadakan pelbagai tanda kiamat untuk menunjukkan bahawa hari kiamat itu sudah hampir dan sudah dekat. Berdasarkan firman Allah S.W.T di dalam surah Muhammad ayat 18 :


 
Maksudnya : “Kiranya golongan yang ingkar masih tidak mahu menerima peringatan yang diberi kepadanya, maka tidak ada lagi yang mereka tunggukan melainkan saat kiamat yang akan datang kepada mereka secara mengejut kerana sesungguhnya telah lahir tanda-tanda kedatangannya, kalaulah demikian, maka bagaimanalah mereka dapat menerima peringatan yang diberi kepada mereka apabila saat kiamat itu datang kepada mereka?.”
(Surah Muhammad : 18)
TANDA-TANDA KECIL KIAMAT
1.                  Urusan agama ditadbir oleh orang yang bukan ahlinya.
2.                                             Wanita menyerupai lelaki dan lelaki menyerupai wanita.
3.                                             Amalan riba' berleluasa.
4.                                             Maksiat berleluasa.
5.                                             Banyak berlaku peperangan, pembunuhan dan fitnah.
6.                                             Banyak berlaku bencana alam.
7.                                             Wanita lebih ramai dari lelaki.
8.                                             Ramai wanita mendedahkan aurat.
9.                                             Anak derhaka kepada ibunya.
10.                                         Manusia berlumba-lumba membina bangunan tinggi.
TANDA-TANDA BESAR KIAMAT
1.                  Keluar Dajjal yang akan menyesatkan manusia
2.                  Keluar ad-Dabbah al-Ardi (sejenis binatang dari bumi)
3.                  Keluar Yakjuj dan Makjuj
4.                  Turun Iman Mahadi
5.                  Turun Nabi Isa A.S.
6.                  Keluar asap tebal
7.                  Matahari terbit dari arah Barat
 Beriman Kepada Qada' dan Qadar
Qada’ menurut bahasa Arab ialah menghukum, menjadikan dan menjelaskan. Dari segi istilah pula ialah perbuatan Allah menjadikan alam semesta dan mentadbirnya mengikut ketetapan yang telah ditetapkan-Nya.
Qadar pula menurut bahasa ialah ketentuan atau peraturan. Dari segi istilah pula ialah Allah S.W.T telah menetapkan satu ketentuan bagi sesuatu perkara semenjak daripada azali.
Beriman kepada Qada’ dan Qadar merupakan  rukun keenam dari rukun-rukun iman di mana tidak sempurna keimanan seorang hamba sehingga ia beriman kepadanya. Beriman kepada qada’ dan qadar bermaksud mempercayai bahawa Allah S.W.T. adalah zat yang Maha Kuasa di seluruh alam ini untuk menentukan dan mengatur sesuatu yang ada di alam ini dengan kebijaksanaan dan kehendak-Nya sendiri tanpa diganggui oleh sesuatu kuasa asing.
Selain itu, menyakini bahawa apa yang dikehendaki Allah pastilah terjadi dan apa yang tidak dikehendaki Allah nescaya tidak akan terjadi, tiada sesuatu pun dapat wujud melainkan dengan kehendak dan kekuasaan Allah. Allah yang berkuasa ke atas segala sesuatu dan tidaklah Allah berkehendak atas sesuatu kecuali Allah Maha Kuasa atasnya.
Dengan erti kata lain, sesuatu perkara yang telah berlaku, atau yang sedang berlaku, atau yang akan berlaku, kesemuanya adalah tertakluk di bawah Qada’ dan Qadar (takdir) Allah untuk menentukan dan menetapkan kedudukan sebenar sesuatu perkara tadi. Justeru itu, apa sahaja yang terjadi di alam semesta ini, semuanya berjalan sesuai dengan ilmu dan iradat Allah yang telah direncanakan oleh Allah sejak mula lagi mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah.
Beriman dengan takdir Allah merangkumi empat peringkat iaitu :
Pertama :  Beriman dengan ilmu Allah S.W.T. yang qadim dan beriman bahawa Allah
                  mengetahui semua amalan hamba-hamba-Nya sebelum mereka melakukannya.
Kedua :     Beriman dengan penulisan yang diketahui Allah yakni di luh mahfuz.
Ketiga :     Beriman dengan kehendak Allah yang terlaksana dan kekuasaan-Nya yang tida  terbatas.
Keempat : Beriman dengan perbuatan Allah mengadakan semua makhluk dan Allah adalah  khaliq (Pencipta) sementara selain daripada-Nya ialah makhluk.






No comments:

Post a Comment