Monday, March 2, 2015

Fadhilat (Kelebihan) Selawat Ke Atas Nabi Muhammd saw




Rasulullah SAW telah bersabda:
"Telah datang kepadaku malaikat-malaikat: Jibril, Israfil, Izrail dan Mikhail a.s. maka Jibril berkata: "Hai Rasulullah, barangsiapa membaca shalawat untukmu sebanyak sepuluh kali, maka akan saya bimbing dia dan tuntun dia di atas jambatan shiratul mustaqim", Mikhail berkata: "Saya akan memberinya minum dari telaga engkau", Israfil berkata: "Saya akan sujud kepada Allah dan saya tidak akan mengangkat kepala saya sampai Allah mengampuninya", Izrail berkata: "Saya akan mencabut rohnya, sebagaimana saya mencabut rohnya para Nabi a.s ".

Firman Allah S.W.T yang bermaksud: "Boleh jadi apa yang tidak kamu sukai, justeru itulah yang baik bagi kamu dan boleh jadi pula apa yang kamu sukai, justeru itulah yang tidak baik bagi kamu. Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui. " Surah Al-Baqarah: 216)"
Kelebihan Selawat Nabi

Sabda Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم yang bermaksud :-
" Sesiapa yang berselawat ke atasku sekali maka Allah akan berselawat ke atasnya 10 kali, menghapuskan kesalahannya dan mengangkatnya 10 kali darjat""

Jika selawat dari Allah swt ertinya rahmat dan jika ia daripada Malaikat dan selainnya,ia bererti doa.Allah Ta’ala berfirman :


Ertinya : “Wahai mereka yang beriman,berselawatlah kamu ke atasnya dan berilah salam sepenuhnya ke atasnya”.                                                        [QS Al-Ahzab : 56]

Nabi saw bersabda : “Barangsiapa berselawat ke atasku satu kali,nescaya Allah berselawat sepuluh kali (iaitu Allah memberi rahmat ke atasnya sepuluh rahmat)”.

Sesetengah sahabat bertanya kpd Rasulullah saw:
 “Adakah yang demikian itu dengan kehadiran  hati?” Baginda saw menjawab dengan sabdanya : “Tidak. Tetapi orang yang berselawat dengan hati yang lalai pun diberikan rahmat oleh Allah seumpama bukit besarnya dan para Malaikat memohon doa agar diampunkannya. Apabila disebutkan selawat itu dengan kehadiran hati, maka tidak diketahui betapa besar kadar kurniaan rahmat ke atasnya melainkan Allah swt sahaja yang mengetahuinya” .

Ketahuilah bahawa segala zikir tidak diberi pahala dan tidak diterima melainkan dengan disertai dengan kehadiran hati kecuali membaca Al-Quran dan berselawat ke atas Nabi saw yang mana kedua-duanya diterima dan diberi pahala tanpa kehadiran hati.

Nabi saw bersabda : “Barangsiapa yang berselawat ke atasku seribu (1000) kali, nescaya ia tidak mati sehinggalah dibawakan berita gembira mengenai Syurga untuknya”.

Sabda Nabi saw : “Barangsiapa berselawat ke atasku satu kali nescaya Allah Ta’ala berselawat ke atasnya 10 kali. Barangsiapa berselawat ke atasku 10 kali, nescaya Allah berselawat ke atasnya 100 kali.Barangsiapa berselawat ke atasku 100 kali, nescaya Allah berselawat ke atasnya 1000 kali. Barangsiapa berselawat ke atasku 1000 kali, nescaya ia tidak disentuh api Neraka”.

Nabi saw bersabda : “Barangsiapa lalaikan dirinya dari berselawat ke atasku, maka sesungguhnya ia tersalah jalan ke Syurga”.

Sabda Nabi saw : “Sesungguhnya manusia yang paling utama bersama-samaku pada hari Kiamat (iaitu yang paling hampir kepadaku dan yang lebih berhak dengan syafaatku pada hari Kiamat) ialah yang paling banyak berselawat ke atasku di dunia di kalangan mereka”.

Sabda Nabi saw : “Selawat kamu ke atasku akan menghapuskan dan menghilangkan dosa -dosa kamu seperti air menghapuskan api".
Sabda Nabi saw :   “Tiada satu doa seseorang itu melainkan antaranya dan langit terdapat
hijab sebagai  pendinding sehinggalah ia berselawat ke atasku. Apabila ia telah berselawat,
maka terkoyaklah hijab itu dan doa itu pun diangkatkan ke langit iaitu diperkenankan” .

Sabda Nabi saw : “Barangsiapa berselawat ke atasku 100 kali dlm satu hari,maka Allah tunaikan 100 hajatnya. 70 hajat untuk akhiratnya dan 30 hajat untuk dunianya”.
Nabi Muhammad saw bersabda : “Jibril telah datang kepadaku dengan berkata :
“Wahai Rasulullah, tiada siapa yang berselawat ke atasmu melainkan 70 ribu Malaikat
berselawat ke atasnya”.

Sabda Baginda saw : “Malaikat yang berjalan di muka bumi menyampaikan salam daripada umatku”.

KISAH KELEBIHAN SELAWAT KE ATAS NABI MUHAMMAD S.A.W 
إِنَّ اللَّهَ وَمَلاَئِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا (الأحزاب: 56). 
Sufyan As-Sauri  RA bercerita :

Ketika bertawaf mengelilingi Kaabah, aku melihat seorang lelaki. Setiap kali dia melangkah, dia terus berselawat kepada Rasulullah s.a.w. Aku berasa hairan apabila melihat keadaan itu. Aku mendekatinya dan bertanya, “Mengapa engkau meninggalkan bacaan tasbih, tahmid dan tahlil tetapi hanya membaca selawat sahaja? Apakah ada sesuatu terjadi kepada dirimu?”


“Tuan ini siapa? Moga-moga Allah s.w.t merahmatimu,” kata lelaki tersebut.
“Namaku Sufyan As-Sauri,” jawabku.

“Sekiranya tuan ini bukan seorang yang ‘Arif pada zaman ini, tentulah aku tidak akan mempedulikan kata-katamu itu. tetapi lantaran tuan ini seorang yang ‘Arif, dan mungkin rahsia ini masih belum tuan ketahui, aku akan memberitahu tuan rahsiaku ini,” jawab lelaki itu.

“Baiklah, dengarlah ceritaku ini,” sambungnya lagi.

Aku meninggalkan negeriku bersama-sama ayahku bagi mengerjakan ibadah haji ke Baitullah al-haram, kemudian kami menziarahi maqam Rasulullah s.a.w. Kami tidak lupa berselawat dan salam ke atas junjungan baginda. Ketika di pertengahan jalan, ayahku tiba-tiba jatuh sakit. Sakitnya terlalu kronik. Aku berusaha merawat dan menjaganya dengan sepenuh kemampuanku. Namun, semuanya sia-sia kerana ayahku tidak dapat dirawat lagi dan akhirnya meninggal dunia.

Aku sangat sedih di atas pemergiannya. Namun, apa yang membuatkan hatiku bertambah sedih ialah keadaan wajah ayahku yang asalnya tampan bercahaya berubah menjadi hitam legam dan begitu menakutkan. Aku sangat terkejut melihat keadaan tersebut. Lalu, aku menangis kesedihan sambil mengambil kain untuk menutup wajahnya. Sungguh tidak terbayang kesedihan yang kutanggung ketika menyaksikan keadaan ayahku yang sebegitu rupa. Lebih-lebih lagi dia meninggal dunia di tempat orang. Betapa malunya jika ada orang yang mengetahui keadaan ayahku saat itu. apatah lagi ayahku sendiri merupakan ahli ibadah.

Aku terus menunggu dengan perasaan hati yang hancur. Aku hanya mampu menanhis dan tidak mampu berbuat apa-apa. Aku terus bertafakur di sisi kepala ayahku. Tiba-tiba aku tertidur dan bermimpi seakan-akan melihat sinar yang semakin mendekati tempatku. Ternyata sinar itu bersumber daripada seorang lelaki yang sangat gagah dan tampan. Pakaiannya bersih, wajahnya bersinar terang, dan baunya harum sekali. Aku tidak pernah melihatnya sebelum ini, dan aku belum mengenalinya.

Dia terus menuju kepadaku. Satu-satu jalannya sehingga dia berada di sisiku.

“Apa yang berlaku kepada dirimu?” dia bertanya.
“Ayahku telah meninggal dunia,” aku menangis. Belum sempat aku bercerita seterusnya, dia berkata, “Janganlah menangis! Semua mesti mati!”
“Tetapi wajahnya...”kataku. “Wajahnya hitam legam. Tolonglah aku!”aku merayu-rayu mengharapkan bantuan.

Tanpa berkata apa-apa, dia terus membuka kain yang menutup wajah ayahku itu, lalu mengusapkan telapak tangannya pada wajah ayahku. Ajaib sekali! Aku hamper tidak percaya apa yang berlaku. Wajah ayahku kembali putih bersih, dan lebih bercahaya dari asalnya. Apakah penawarnya?

Dia kemudian mengambil kain tadi dan menutup semula wajah ayahku kembali. Kemudian dia hendak kembali semula dari arah dia datang.

Melihat dia mahu pergi, dan aku belum tahu lagi siapakah dirinya yang sebenar, aku segera memegang bajunya sambil bertanya, “Siapakah tuan yang telah menolong ayahku ini?”
Dia tersenyum, kelihatan nur bersinar daripada senyumannya. Wajahnya seperti bulan purnama.
“Aku ini Muhammad,” dia menjawab.
“Muhammad?” aku meminta penerangan yang lebih jelas.
“Muhammad, Rasulullah. Akulah pembawa Al-Quran,” dia menjelaskan.

Aku terduduk dan terpinga-pinga sambil menikmati wajahnya yang mulia itu. “Inilah dia Rasulullah s.a.w,” aku berkata dalam hatiku. Lisanku kelu, tidak berkata apa pun.

“Ayahmu ini terlalu banyak membuat perkara yang sia-sia dalam hidupnya. Namun begitu, dia selalu berselawat dan salam kepadaku. Ketika dia mengalami perkara buruk seperti ini, dia memohon kepadaku untuk membantunya. Sebab itu aku datang ke mari untuk membantunya, dan aku selalu menolong orang yang selalu membaca selawat dan salam kepadaku,” jelas baginda.

Pada saat itulah aku terkejut daripada mimpiku itu, dan terus teringat apa yang berlaku dalam mimpi itu tadi. Aku terus membuka kain yang menutupi wajah ayahku, dan betullah seperti yang berlaku dalam mimpiku tadi. Wajah ayahku telah kembali putih bersih dan lebih bercahaya dari sebelumnya.

Aku termenung mengingatkan apa yang berlaku dalam mimpi yang berkat itu. Aku berkata dalam hati, “Mengapa tidak mengambil masa yang lebih lama mimpiku tadi supaya aku berada lebih lama di samping manusia utama yang amat mulia itu. Oh!”

“Inilah kisahnya, wahai Sufyan As-Sauri! Sekarang engkau sudah tahu rahsia mengapa aku terus berselawat ke atas Nabi s.a.w setiap kali aku melangkah. Aku akan terus berselawat ke atasnya sebanyak yang aku mampu. Moga-moga aku mendapat pertolongannya pada suatu hari nanti, sama ada di dunia mahupun di akhirat,” lelaki itu menjelaskan kepada Sufyan As-Sauri, lalu dia pun berjalan meneruskn tawafnya, sedang lisannya tidak berhenti daripada menyebut selawat dan salam ke atas baginda s.a.w.

Semoga kita mendapat iktibar dan manfaat daripada kisah tersebut. Maka, perbanyakkanlah berselawat dan salam ke atas junjungan agung Nabi Muhammad s.a.w. Moga kita semua beroleh syafaat daripada baginda di akhirat kelak.

No comments:

Post a Comment