TANGAN yang memberi lebih mulia
daripada tangan yang menerima.
TANGAN yang memberi lebih mulia
daripada tangan yang menerima. Sekecil mana sumbangan yang dihulurkan, ia cukup
bermakna kepada si penerima yang hidup serba kekurangan, malah ‘buah tangan’
yang tidak seberapa itu mampu menerbitkan senyuman, walaupun cuma untuk
seketika. Islam sangat menggalakkan umatnya membantu mereka dalam kesempitan.
Nas daripada al-Quran dan hadis Nabi s.a.w jelas menganjurkan umat Islam
menghidupkan amalan sedekah, kerana banyak manfaatnya.
Sedekah adalah perkataan berasal
daripada bahasa Arab, iaitu sadaqah yang turut diguna pakai dalam bahasa
Malaysia. Maksud yang sama ialah menderma, membelanjakan wang atau memberikan
sesuatu kepada pihak lain dengan hati yang ikhlas, tanpa mengharapkan sebarang
imbalan.
“ Dan belanjakanlah (dermakanlah)
sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang
daripada kamu sampai ajal kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan
merayu dengan berkata: Wahai Tuhanku alangkah baiknya kalau engkau lambatkan
kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit saja lagi, supaya aku dapat
bersedekah dan dapat pula aku menjadi orang yang soleh.”
(al-Munafiquun: 10)
Sedekah umumnya terbahagi dua iaitu
sedekah wajib (zakat) dan sedekah sunat. Ditekankan di sini ialah sedekah sunat
dipandang ringan sesetengah pihak, tetapi sebenarnya ia memberikan manfaat yang
besar, seperti dapat meringankan beban dan penderitaan si penerima, khususnya
di kalangan orang fakir, miskin dan anak yatim. Bagi pemberi sedekah,
setidak-tidaknya dengan pemberian itu diharapkan dapat menebus dosanya dan
memberikan ketenangan, malah yang lebih utama mendapat ganjaran berkali ganda
di sisi Allah, seperti dijelaskan Allah pada ayat 261, surah al-Baqarah,
bermaksud:
“ Bandingan (pemberian) orang yang membelanjakan har tanya pada
jalan Allah, sama seperti sebiji benih yang tumbuh mengeluarkan tujuh tangkai,
tiap-tiap tangkai itu pula me ngandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan
me lipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas
(rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.”
(al-Baqarah:261)
Amalan bersedekah daripada satu sudut
menggambarkan sifat insani, kemurahan hati dan keluhuran budi seorang manusia.
Tidaklah dikatakan seseorang manusia
itu kaya perike manusiaannya jika tiada di dalam jiwanya sikap prihatin dan
kasihan belas kepada sesama manusia, yang menggerakkan hatinya untuk memberikan
pertolongan sekadar kemam puannya. Cuma
disebabkan golongan fakir miskin tidak menzahirkan keperluannya, atas alasan
segan, perasaan rendah diri dan ingin menjaga maruah, membuatkan sesetengah
pihak me nyangka tiada pihak yang berada dalam kesempitan.
Malah, dengan kefahaman samar
sesetengah pihak yang kerap membuat tafsiran dan andaian sendiri terhadap
takrif fakir serta miskin, ia sedikit sebanyak menjejaskan amalan bersedekah,
kerana apabila disangka tidak ada yang layak untuk menerima sumbangan, tiadalah
amalan sedekah.
Ini belum lagi termasuk sifat keakuan
individu tertentu yang mendakwa harta diperolehnya adalah miliknya seorang,
kerana beralasan dia yang bersusah payah bekerja siang dan malam. Tetapi
hakikatnya, harta terbabit adalah kurniaan daripada yang Maha Kaya melaluinya
dan ia berupa pinjaman untuk dikongsi sebagai bekal di dunia.
Jika menurut penjelasan Imam Syafie
Rahimahullah ‘Orang fakir ialah orang yang tidak berharta dan tidak ada mata
pencarian (sumber rezeki), manakala orang miskin pula ialah orang yang ada
harta (ala kadarnya) atau ada mata pencarian tetapi tidak mencukupi sara
hidupnya’.
Baginda Rasulullah s.a.w menerangkan
golongan yang dikatakan fakir miskin, seperti dalam satu hadis daripada Abu
Hurairah r.a, maksudnya:
“ Orang fakir miskin
(yang sangat menderita) bukanlah orang yang (menadah tangan) meminta-minta ke
sana ke mari kepada orang ramai, yang apabila ia mendapat satu atau dua suap
makanan atau mendapat sebiji atau dua biji buah kurma – ia akan pergi ke tempat
lain meminta lagi. Se benarnya orang fakir miskin (yang sangat-sangat
menderita) itu ialah orang yang tidak mempunyai sesuatu yang men cukupi sara
hidupnya. Dan ia pula malu hendak meminta bantuan kepada orang ramai dan orang
ramai pula tidak mengetahui keadaan penderitaannya untuk diberi bantuan.” (Hadis sahih, riwayat Imam Ahmad).
Justeru, menjadi tanggungjawab kepada
penderma atau pihak berkenaan untuk mengenal pasti orang fakir dan miskin
terlebih dulu bagi memastikan sumbangan amal yang diberikan kena pada
sasarannya, sekali gus mencapai mat lamatnya iaitu meringankan mereka yang
kesempitan.
Pada zaman moden ini, antara kaedah
yang diguna pakai bagi melakukan penilaian terhadap golongan fakir dan miskin
ialah pendapatan isi rumahnya dan ia berbeza mengikut lokasi, di kota dan desa
kadarnya adalah berlainan, kerana kos hidup di kota lebih tinggi berbanding di
kampung.
Bagi Malaysia, sebuah negara dihuni
masyarakat majmuk, berbilang bangsa dan budaya, dengan penduduk Muslim
berkongsi hidup bersama bukan Muslim, kemiskinan bukan hanya membabitkan orang
Islam, malah ada antaranya di kalangan bukan Muslim.
Dalam situasi ini, apakah orang Islam
juga dibenarkan untuk memberikan bantuan atau sumbangan kepada orang fakir dan
miskin di kalangan bukan Muslim, terutama di kalangan sahabat handai dan mereka
yang tinggal berjiran?
Seorang cendekiawan Muslim, Sheikh
Ahmad Kutty, dipetik sebagai berkata:
“
Islam menggalakkan pemberian sedekah kepada semua manusia, tanpa mengira
perbezaan agama, kaum, warna atau bahasa.”
Menurutnya, Nabi Muhammad s.a.w ada
membantu orang bukan Muslim (jahiliah) di kalangan yang menentangnya dan mereka
tidak menghalangnya untuk memberikan bantuan dalam memenuhi keperluan yang
mendesak.
“
Mereka juga memberi makan benda makanan yang dihajati dan disukainya,
kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan.
“ Sesungguhnya kami
memberi makan kepadamu kerana Allah semata-mata. Kami tidak menghendaki
sebarang ba lasan darimu atau ucapan terima kasih.”
(al-Insaan:8-9)
Beliau berkhidmat sebagai pensyarah kanan Institut Islam
Toronto, Ontario, Kanada, menjelaskan, orang Islam ber tanggungjawab untuk
memberikan bantuan kepada jiran atau rakan di kalangan bukan Muslim.
Katanya, Nabi s.a.w ada bersabda,
maksudnya:
“
Sekiranya seseorang tidur dengan perut kosong, jaminan perlindungan
Allah
akan jauh daripadanya.”
“ Jadi, mari kita
sama-sama menentang kemiskinan dan membantu mereka yang memerlukan bantuan
tanpa mengira perbezaan agama, kaum atau etnik, warna kulit atau bahasa.
“ Semoga Allah memasukkan
kita di kalangan mereka yang digambarkan Nabi s.a.w, umat yang terbaik ialah
mereka suka menolong hamba Allah,” katanya.
Cuma, menurut fatwa yang pernah
dikeluarkan negeri Johor hendaklah didahulukan bersedekah kepada saudara di ka
langan orang Islam sebelum bersedekah kepada orang bukan Islam.
Alangkah indah Islam sebagai agama
universal, yang mem berikan manfaat kepada semua pihak termasuk bukan Islam,
sekali gus mencerminkan keluhuran budi umat Islam itu sendiri
“ Allah tidak melarang
kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak
memerangi kamu kerana agamamu, dan tidak mengeluarkan kamu dari kam pung halaman
kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah
hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang yang memerangi
kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halamanmu, serta
mereka membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang
menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang yang zalim.” (al-Mumtahanah:8-9)
Sangat sangat berguna dan mendalam ertinya
ReplyDelete