Wednesday, February 9, 2011

AMANAH SUATU TUNTUTAN

                                                                                                                           
Marilah sama-sama kita mempertingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah S.W.T dengan mengerjakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.
Firman Allah S.W.T yang mafhumnya
“ Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Tuhan kamu ialah orang yang paling takut  kepada Nya  iaitu bertaqwa”.Mudah-mudahan kita ditempatkan di dalam golongan tersebut. Mimbar kita pada hari ini akan membicarakan tentang tajuk “AMANAH SUATU TUNTUTAN”.

Sifat amanah merupakan tuntutan yang mesti dilaksanakan oleh setiap mukmin. Amanah mempunyai pengertian yang luas dan bukan terhad kepada urusan kebendaan sahaja. Amanah yang paling besar adalah menjaga hak Allah S.W.T dan agama Islam itu sendiri. Firman Allah S.W.T surah An-Nisa' ayat 58  :

Yang bermaksud:
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.

Berdasarkan ayat tersebut, jelaslah bahawa amanah merupakan kewajipan yang perlu kita tunaikan dan tidak boleh dianggap sebagai perkara yang remeh-temeh. Menjaga amanah Allah S.W.T bererti menjaga setiap amalan dan kurniaan-Nya dengan sebaiknya. Ibadah solat mestilah ditunaikan pada waktunya, dan dikerjakan dengan sempurna rukun dan syaratnya. Begitu juga ibadat puasa, haji dan zakat, ia mestilah ditunaikan dengan penuh rasa kehambaan dan mengikut apa yang diperintahkan. Jika yang demikian itu, nescaya amanah tersebut telah dilaksanakan.

Setiap saat dan pergerakan kita adalah amanah.Lidah kita adalah amanah yang perlu kita pelihara daripada berbohong, mengumpat dan mencaci orang lain, mata kita adalah amanah untuk melihat sesuatu yang halal, begitu juga telinga kita yang diamanahkan kepada kita untuk mendengar perkara-perkara yang baik lebih-lebih lagi untuk mendengar kalam Allah S.W.T yang menjadi panduan hidup kita.Begitulah seterusnya tangan, kaki dan kurniaan Allah yang lain, semuanya adalah amanah yang wajib kita pelihara daripada segala perkara yang mengundang kemurkaan-Nya.

Selain itu, hak sesama manusia juga merupakan tuntutan amanah yang perlu kita titikberatkan. Sesuatu urusan atau perkara yang diamanahkan kepada kita untuk menjaganya adalah wajib dipenuhi dan ini dijelaskan oleh Rasulullah S.A.W di dalam hadis baginda yang berbunyi                   
Bermaksud :

" Tunaikanlah amanah kepada orang yang

   mengamanahkan kepadamu dan janganlah  
   kamu mengkhianati orang yang mengkhianatimu''.
                                                                    ( Riwayat Abu Daud dan Tarmizi)

Demikianlah juga firman Allah S.W.T di dalam surah Al-Anfal ayat 27 .

Yang bermaksud :

Wahai orang-orang Yang beriman! janganlah kamu

 mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan
 (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah
 kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).

Jika melihat kepada keadaan masyarakat hari ini, terlalu banyak kepincangan dan masalah yang berlaku terutamanya di dalam institusi kekeluargaan sehinggalah di dalam urusan pentadbiran negara.Amanah seorang suami terhadap keluarganya merupakan amanah yang perlu dipelihara baik daripada segi nafkah zahir dan batinnya. Seorang isteri juga wajib menjaga amanah suaminya dengan menjaga maruah diri serta mendidik anak-anak di rumah dengan penuh kasih sayang. Begitu juga anak-anak perlu menunaikan tanggungjawab terhadap kedua ibubapa mereka dengan membahagiakan serta mendoakan kesejahteraan mereka. Jika amanah ini sama-sama dipelihara oleh setiap ahli keluarga, nescaya institusi kekeluargaan akan kukuh dan mencapai konsep rumahku syurgaku.

Selain itu, masalah yang kerap kali kita lihat adalah penyelewengan yang berlaku di dalam institusi pekerjaan seperti penyalahgunaan kuasa, rasuah, penipuan wang, dan banyak lagi. Ini semua adalah kesan daripada kurangnya didikan agama dan menganggap amanah yang diberikan adalah perkara ringan tanpa memikirkan akibat daripada memakan harta yang haram hasil daripada penyelewengan tersebut. Ketahuilah, sesungguhnya harta atau makanan yang kita belanjakan daripada sumber yang haram bukan sahaja memberi kesan kepada ibadah kita bahkan zuriat kita nanti akan dibesarkan daripada sumber yang haram. Maka semua ini berkaitan rapat dengan masa depan dan akhlak anak-anak kita.

Allah menegaskan di dalam firman-Nya di dalam surah Al-Baqarah ayat 172.

Yang bermaksud :

Wahai orang-orang Yang beriman! makanlah dari 

benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami 
berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah
, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya.

Jelaslah di sini bahawa sesuatu yang halal itu adalah apa-apa yang dikurniakan oleh Allah S.W.T dan kita memperolehinya melalui cara dan usaha yang betul.
Bila kita membicarakan tentang kelayakan untuk menanggung sesuatu amanah di dalam sesuatu urusan, kerana menurut hadis Rasulullah S.A.W.:

Yang bermaksud

              "    Daripada Abu Zhar, dia berkata : "
                  Saya berkata " :Ya Rasulullah mengapa
                  engkau   tidak memilih saya?, Lalu baginda
                  menepuk bahu saya dengan tangannya
                  sambil bersabda," Wahai Abu Zhar, engkau
                  seorang yang lemah, sedangkan itu sebagai
                  amanah yang pada hari kiamat hanya akan
                  menjadi penyesalan dan kehinaan. Kecuali 
                  orang yang dapat menunaikan hak kewajipannya
                  dan memenuhi tanggungjawabnya".
                                                                                        ( Riwayat Muslim )

Jelaslah di dalam hadis tersebut bahawa amanah hendaklah diberikan kepada orang yang benar-benar boleh melaksanakannya.

Di dalam urusan pentadbiran, sesuatu amanah itu hendaklah diberikan kepada orang yang betul-betul layak seterusnya tuntutan agama dapat dilaksanakan dengan sempurna di dalam urusan pemerintahan. 
Dalam satu hadis Rasulullah S.A.W. digambarkan bahawa kemusnahan akan berlaku sekiranya amanah diberikan kepada orang yang bukan ahlinya. Hadis tersebut yang berbunyi

Yang bermaksud :

“ Seorang lelaki datang kepada Rasulullah S.A.W.,
   bertanya tentang"  bilakah terjadi  kiamat ".
   Rasulullah S.A.W menjawab : yang bermaksud
   " Apabila hilang amanah,  tunggulah kiamat itu.
   Orang itu bertanya lagi : Bagaimanakah keadaan
   itu berlaku ? jawab Rasulullah S.A.W. :
  " iaitu apabila sesuatu urusan diserahkan kepada
   orang yang  bukan ahlinya, maka tunggulah 
   kiamatnya (kerosakan).
                                                                                     (Riwayat Bukhari)

Amanah adalah sangat berat untuk dipikul dan menjadi kewajipan kita semua untuk melaksanakannya jika diberi kepercayaan. Dan bebanan tersebut digambarkan  oleh Allah S.W.T di dalam surah Al-Ahzab ayat 72 .
        “ Sesungguhnya Kami telah kemukakan 
           tanggungjawab amanah (Kami) kepada
           langit dan bumi serta gunung-ganang
           (untuk memikulnya), maka mereka enggan 
           memikulnya dan bimbang tidak dapat 
           menyempurnakannya (kerana tidak ada pada
           mereka persediaan untu memikulnya); dan 
           (pada ketika itu) manusia  (dengan persediaan 
          Yang ada padanya) sanggup memikulnya.
          (ingatlah) Sesungguhnya tabiat kebanyakan
           manusia adalah suka melakukan kezaliman dan
           suka pula membuat perkara-perkara
          Yang tidak patut dikerjakan.”

Persediaan daripada segi tenaga dan ilmu merupakan elemen penting untuk melaksanakan sesuatu amanah.Sesungguhnya asas ilmu dan ketaqwaan kepada Allah S.W.T akan memudahkan seseorang untuk memikul sesuatu amanah kerana menyedari tentang akibat khianat serta peringatan-peringatan yang menegah kepada perbuatan khianat. Sabda Rasullullah S.A.W .

" Ciri-ciri orang munafiq terbahagi kepada tiga iaitu-
   Apabila berbicara, dia berdusta - Apabila dia berjanji 
   dia memungkir dan- Apabila diberi amanah,
   dia  mengkhianati amanah tersebut.     (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sesungguhnya jelas di dalam hadis tersebut bahawa perbuatan khianat merupakansalah satu sifat orang yang berpura-pura beriman daripada segi zahirnya sedangkanhatinya kufur. Moga-moga kita dijauhkan daripada sifat khianat tersebut.

Di dalam riwayat yang lain, Rasullullah S.A.W bersabda .             
Yang bermaksud:

"  Tidak sempurna iman seseorang yang tidak
    dapat dipercayainya.Dan tidak sempurna
    agama orang yang  tidak menunaikan janji ".

Untuk memenuhi tuntutan amanah, manusia hendaklah berlumba-berlumba menunaikan tugasnya dengan tegas dan bersungguh-sungguh serta melaksanakannya dengan ikhlas semata-semata kerana Allah S.W.T dan bukannya untuk disanjung dan dipuji oleh orang lain.

Sesungguhnya Allah S.W. T telah menggolongkan mereka yang menjaga amanah adalah daripada kalangan orang yang beriman sebagaimana ia akan kurniakan balasan yang penuh dengan kenikmatan di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat kelak.                                                  

Yang bererti: “  Menunaikan amanah merupakan kunci rezeki  ”

Sebagaimana kita telah maklum, sesungguhnya pintu rezeki kita sentiasa terbuka jika kita memenuhi tuntutan dan kepercayaan yang diberikan kepada kita khususnya di dalam soal pekerjaan. Kita tidak perlu bimbang soal pekerjaan kerana kepercayaan orang lain terhadap kita untuk melaksanakan sesuatu perkara telah terbukti jika kita benar-benar bersifat dengan sifat amanah ini.
Akhir sekali, marilah kita  berpegang teguh kepada ajaran Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW kerana ia adalah sebesar-besar amanah yang dituntut kepada kita dan sama-samalah kita mengamalkan segala yang diperintahkan dengan penuh kehambaan dan ketaqwaan.Jika amanah ini dipenuhi, nescaya kesannya bukan kepada individu sahaja bahkan kepada semua masyarakat dan negara sekaligus melahirkan masyarakat yang hidup aman dan harmoni serta diberkati oleh Allah S.W.T.
Wallah hu alam.

No comments:

Post a Comment