BERSANDING MENURUT PERSPEKTIF ISLAM
Sebelum perbincang lebih panjang elok kiranya kita
menyatakan apakah maksud sebenar bersanding. Seperti yang diterangkan di dalam
Kamus Dewan Edisi Keempat mukasurat 1385 bersanding ialah duduk
bersebelah-sebelahan (berjajar,berdamping,spt pengantin di atas pelamin).
SEJARAH DAN ASAL USUL PERSANDINGAN
Sejarah persandingan pula tidak diterangkan secara jelas di
dalam kitab-kitab sejarah. Sebahagian mengatakan bahawa persandingan ialah adat
yang dilakukan oleh bangsa Melayu sejak zaman dahulu.Sebahagian lagi mengatakan
bahawa ianya merupakan adat yang diambil daripada India.Ini seperti yang
diterangkan oleh De Jong (Religions in the Malay Archipelago, Oxford Univ.
press, 1965) dan Joginder Singh (Tata Rakyat, Longman, 1978) dan mereka
berpendapat ia adalah pengaruh Hindu.
HUKUM DAN PERBAHASAN
Jika dinilai pada maksud sebenar bersanding seperti yang
diterangkan di dalam Kamus Dewan Edisi Keempat tersebut maka ianya adalah
HARUS. Sekadar pengantin lelaki dan perempuan duduk bersebelahan maka tiada
masalah padanya. Cuma jika dibahaskan daripada sudut adat dan budaya yang
diamalkan sekarang seperti disediakan pelamin yang mahal, wanita berhias
berlebih-lebihan serta tidak menutup aurat , adat bertepung tawar dan
sebagainya maka perkara seperti ini perlu dibahaskan satu persatu secara
terperinci.
PELAMIN
Berkenaan dengan pelamin yang mahal maka ianya tidaklah
dituntut di dalam Islam. Walaupun kita kaya sekalipun maka tetap disarankan
agar kita bersederhana di dalam berbelanja.Ramai yang menggunakan hujah bahawa
pelamin sebegini perlu dilaksanakan sebagai kenang-kenangan untuk masa hadapan
dan sebagainya. Hujah-hujah sebegini tidaklah boleh diterima pakai kerana lebih
menjurus kepada hawa nafsu. Hukum dan saranan Baginda sallallahu alaihi
wasallam sepatutnya lebih kita turuti. Tetapi jika cuma disediakan tempat untuk
bergambar bersama pengantin dan tempat tersebut dihias dengan seadanya, maka
beberapa adab perlu diraikan.
Antaranya ialah tidak berlaku percampuran bebas antara
lelaki dan wanita, wanita wajib menutup aurat di hadapan lelaki yang ajnabi(
yang boleh dikahwininya) dan begitu juga golongan lelaki ,wajib bagi mereka
menutup aurat di hadapan wanita ajnabiah. Jika kesemua perkara ini diraikan
maka tiadalah masalah padanya. Kesimpulan tentang hukum pelamin ini ialah kita melarang
berlakunya pembaziran dan percampuran lelaki dan perempuan yang berlaku seperti
zaman sekarang. Tetapi jika semua perkara tersebut boleh kita elakkan maka
hukumnya adalah HARUS.
Sebelum kita membahaskan lebih panjang sebaiknya kita
memahami apakah yang dimaksudkan dengan membazir. Di dalam bahasa arab terdapat
dua kalimah yang digunakan iaitu
1 al-Israf
2. al-Tabzir
Sebahagian ulama mengatakan bahawa kedua-dua kalimah ini
maksudnya adalah sama. Al-Imam al-Jurjani rahimahullah mengatakan bahawa
al-Israf ialah mengeluarkan harta lebih daripada perkara yang
diperlukan.Manakala al-Tabzir pula ialah mengeluarkan harta bukan kepada
perkara yang diperlukan (perkara maksiat). Kata Guru kami yang mulia, Yusri
Rushdi Al-Sayyed Jabr Al-Hasani di dalam satu kuliah beliau: “Contoh mudah bagi
1.
al-Israf ialah seperti kita memerlukan untuk
seminggu kehidupan kita sebanyak sekilo daging,tetapi kita membeli sebanyak 2
kilo daging maka ini dinamakan Israf.
2.
al-Tabzir ialah kita mengeluarkan walau sedikit
wang untuk membeli perkara yang diharamkan maka ianya dikira al-Tabzir.Seperti
membeli sebatang rokok yang berharga 50 qurush(matawang mesir lebih kurang 30
sen Malaysia) maka ini dinamakan al-Tabzir” Kedua-dua perkara yang kita
sebutkan ini adalah dicela dan tidak dituntut di dalam Islam. Jika
berlebih-lebihan didalam perkara yang harus seperti contoh yang kita berikan
tidak dituntut maka lebih-lebih lagi jika perkara itu menjurus kepada haram.
BERTEPUNG TAWAR DAN MENABUR BERAS KUNYIT
Ini merupakan adat turun-temurun yang dilakukan ketika
majlis persandingan dilangsungkan. Sepanjang pembacaan saya tentang perkara ini
, antara tujuan dilakukan perkara ini ialah untuk menambahkan semangat
berdasarkan kekuningan padi kepada kedua pengantin. Terdapat juga jampi dan
mentera yang tidak difahami bahasanya dengan tujuan menghalau roh-roh jahat dam
sebagainya. Jika perkara sebegini dilakukan maka hukumnya jelas HARAM.
Sabda Baginda saw: Maksudnya: Diriwayatkan daripada Saidina Abu Hurairah
radhiyallahu anhu katanya: Sabda Baginda sallallahu alaihi wasallam: Sesiapa
yang mendatangi dukun dan bomoh ,malah membenarkan apa yang disebutkan oleh
dukun atau bomoh tersebut, Sesungguhnya (orang-orang yang mendatangi bomoh dan
dukun sebegini) telah mengingkari apa yang diwahyukan kepada Baginda sallallahu
alaihi wasallam.
Perkara-perkara sebegini wajib ditegah berlaku di dalam
masyarakat Muslim. Alternatifnya, kita boleh melaksanakan majlis doa selamat
bagi mendoakan kepada kedua pengantin agar dipelihara oleh Allah taala daripada
sebarang kecelakaan. Maka ini sangat-sangat dituntut di dalam Islam.
WANITA BERHIAS DAN TIDAK MENUTUP AURAT
Bersanding dikatakan tujuannya adalah untuk mempertontonkan
pengantin kepada hadirin. Perkara ini berbalik kepada hukum asal melihat wanita
bagi lelaki ajnabi.Menurut para ulama, lelaki ajnabi diharamkan melihat wanita
ajnabi walaupun bukan dengan tujuan syahwat. Ini jika tiada sebab yang
mengharuskan bagi seorang lelaki tersebut melihat kepada wanita ajnabiah. Jika
mempunyai sebab yang dibenarkan syarak seperti meminang, di dalam majlis
pengajian, berubat dan ketika jual beli maka tiadalah masalah untuk lelaki
ajnabi melihat kepada wanita ajnabiah. Jika ada golongan yang mengatakan bahawa
tujuan diadakan persandingan mengikut adat ialah untuk memperkenalkan kepada
ahli keluarga dan orang ramai kedua-dua pengantin. Maka kita katakan, tiadalah
masalah jika kita ingin memperkenalkan kedua-dua pengantin kepada orang yang hadir
dengan syarat adab-adab yang kita sebutkan sebelum ini diraikan . Jika perkara
ini diraikan maka syarak tidaklah menghalang perkara ini dilaksanakan. Masalah
aurat juga perlu dititik-beratkan oleh pengantin dan orang ramai yang
hadir.Firman Allah taala di dalam surah al-Nur ayat 31:
![Description: 24:31](file:///C:\DOCUME~1\user\LOCALS~1\Temp\msohtmlclip1\01\clip_image002.png)
Maksudnya: dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan
tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup
belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka ; dan janganlah mereka
memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa
mereka, atau bapa mertua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri
mereka, atau saudara-saudara mereka , atau anak bagi saudara-saudara mereka
yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau
perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang lelaki
yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang
belum mengerti lagi tentang aurat wanita, dan janganlah mereka menghentakkan
kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan
bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah taala, wahai orang-orang yang beriman ,
supaya kamu berjaya.
Ayat ini sangat jelas menunjukkan arahan daripada Allah
taala supaya menutup aurat.
ETIKA PEMAKAIAN
Antara syarat-syarat pakaian bagi wanita dan lelaki ialah:
1. Mestilah pakaian tersebut daripada jenis yang menghalang
daripada orang mengetahui warna kulitnya. Ini bermakna, seseorang tersebut
tidak boleh memakai pakaian yang nipis sehingga orang boleh mengetahui warna
kulitnya.
2. Mestilah pakaian tersebut
menutup keseluruhan aurat lelaki dan wanita tersebut.
3. Mestilah pakaian
yang dipakai tidak membolehkan orang mengetahui bentuk tubuh dan auratnya iaitu
tidak ketat. Kebanyakkan orang pada zaman sekarang tidak memahami masalah
menutup aurat ini dengan baik. Maka mereka melakukan kesilapan dalam keadaan
mereka tidak sedar.
Ketiga-tiga syarat yang kita sebutkan perlulah diraikan
kesemuanya. Jika kurang salah satu daripada syarat-syarat tersebut maka
seseorang tersebut masih dikira tidak menutup aurat. Kita mendapati ada golongan
yang berpakaian ketat dan bilamana kita melarangnya maka mereka mengatakan
bahawa yang penting orang tidak mengetahui warna kulit . Maka ini jelas
menunjukkan bahawa mereka tidak faham syarat-syarat berpakaian yang diletakkan
oleh syarak. Maka para pengantin dan orang ramai perlulah meraikan perkara ini.
Satu lagi perkara yang perlu diambil perhatian ialah
berkenaan make-up pengantin. Berhiaslah sekadarnya, berpadalah dengan
kecantikan asli yang diberikan Allah kepada kita. Tidak perlu membazir wang menjemput
juru solek bagi mengkaburi mata orang lain . Malah kita bimbang termasuk di
dalam ayat Allah taala di dalam surah al-Ahzab ayat 33:
Maksudnya: Janganlah kamu bertabbarruj sebagaimana yang
dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah pada zaman dahulu.
WARNA PAKAIAN
Masalah warna pakaian juga menjadi perbahasan dikalangan
orang ramai. Adakah syarat-syarat tertentu bagi warna pakaian bagi wanita?
Menurut Syeikh Ali Jum’ah Hafizahullah di dalam kitabnya Fatawa Asriyah(Fatwa
semasa) warna tidaklah ditetapkan oleh syarak bagi wanita cuma yang wajib bagi
mereka ialah mengikut syarat-syarat yang diletakkan oleh syarak di dalam etika
berpakaian . Syarat berpakaian ialah seperti yang telah disebutkan oleh saya
sebelum ini. Pendapat yang mengatakan bahawa wanita perlulah memakai warna yang
gelap-gelap agar manusia tidak memandang kepada mereka tidaklah terlalu tepat.
Ini kerana ada terdapat golongan manusia yang menyukai warna yang gelap. Maka
mereka tetap akan memandang kepada wanita yang berpakaian gelap.
KESIMPULAN
Setelah kita membahaskan hukum bersanding ini , saya
mengharapkan sidang pembaca dapat memahami dengan sebaiknya tentang perkara
ini. Hukum asalnya adalah harus.Cuma perkara-perkara yang berlaku disebaliknya
yang menyebabkan ianya menjadi haram seperti bertepung tawar, jampi serapah,
percampuran bebas wanita dan lelaki, membuka aurat dan pembaziran. Jika kesemua
perkara ini dapat kita elakkan maka tiadalah masalah bagi kita meraikan adat
tersebut.Jika perkara yang kita sebutkan ini tidak dapat diraikan maka hukumnya
tetap menjadi haram. Wallahu a’lam. Rujukan:
No comments:
Post a Comment