Monday, September 12, 2011

Kelebihan 10 Hari-hari Pertama Zulhijjah

Ramai dari kita yang telah maklum kelebihan 10 Malam-malam Terakhir Ramadhan. Tetapi adakah ramai dikalangan umat kita yang maklum kelebihan 10 Hari-hari Pertama dalam bulan Zulhijjah? Imam al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda, Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu 10 hari Zulhijjah.

Para sahabat baginda bertanya, ‘Tidak juga Jihad pada jalan Allah (mengatasi kelebihan Hari-hari tersebut)? Ujar Baginda, Tidak juga Jihad di jalan Allah kecuali seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun (kerana habis disumbangkan untuk memenangkan agama Allah).

Imam Ahmad r.a. dari Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari 10 Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah).

Ibnu Hibban di dam kitab Sahihnya meriwayatkan dari Jabir r.a. bahawa baginda s.a.w bersabda, “Seutama-utama hari adalah hari Arafah”.
Amalan yang dianjurkan padanya

1. Menunaikan ibadah haji dan umrah yang merupakan sebaik-baik amalan. Banyak hadis menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya :
Sabda Nabi s.a.w.: “Satu umrah ke umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan syurga”.

2. Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya – terutamanya pada hari Arafah. Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di antara amalan yang terbaik dan ia adalah pilihan Allah seperti yang dinyatakan di dalam sebuah hadis qudsi, “Puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang membalasinya, dia meninggalkan keinginan nafsunya, makanan dan minumannya semata-mata keranaKu”.

Imam Muslim meriwayatkan dari Abi Qatadah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, Puasa pada hari Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang.

3. Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya, firman Allah s.w.t yang bermaksud, (Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum), hari-hari tersebut dijelaskan sebagai 10 hari di bulan Zulhijjah. Sebab itulah para ulama menyarankan supaya diperbanyakkan berzikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum hadis Ibnu Umar r.a. yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, di antaranya,
“Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdulillah)”.

4. Bertaubat dan meninggalkan segala maksiat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana maksiat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya.
5. Memperbanyakkan amalan soleh terutama amalan sunat tambahan seperti solat sunat, berjihad, membaca al-Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana semuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut.

Amalan yang dikerjakan ketika itu walaupun kecil tetapi ia lebih disukai oleh Allah dibandingkan pada hari-hari lain. Begitu juga amalan yang besar seperti berjihad di jalan Allah yang dikategorikan di antara amalan yang terbaik, tidaklah mendapat kehebatan pahala pada hari-hari itu melainkan apabila kuda (kenderaan) yang ditungganginya terbunuh (binasa) dan darahnya keluar (dia cedera atau mati syahid).

6. Disyariatkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjemaah.
Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadah haji, takbir bermula dari waktu subuh hari Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zuhur hari raya haji (10 Zulhijjah), semuanya berakhir sehingga waktu Asar pada hari ke-13 Zulhijjah.

7. Disyariatkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunah Nabi Ibrahim a.s. setelah Allah s.w.t mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.

8. Imam Muslim meriwayatkan dari Ummu Salamah r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda, Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya dari (memotong) rambut dan kukunya, dan di dalam riwayat lain : “Maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah dia berkorban.

Perintah (sunat) ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi mereka yang membawa haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari kampung mereka yang telah dijelaskan oleh Allah, maksudnya, (Dan janganlah kamu mencukur rambut kamu sehinggalah haiwan ternakan (yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya kepada penduduk Mekah) itu sampai ke tempatnya).

Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya adalah khusus kepada pemunya haiwan korban tersebut sahaja dan tidak termasuk isteri dan anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan seumpamanya, dan tidak mengapa jika yang berkenaan membasuh dan menggosok kepalanya kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya.

9. Setiap muslim hendaklah berusaha menunaikan solat hari raya secara berjemaah, mendengar khutbah oleh imam selepas solat tersebut supaya mendapat pengajaran daripadanya.
Sepatutnyalah kita mengetahui hikmat di sebalik perayaan ini. Ia merupakan hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan. Janganlah pula dilakukan padanya perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah dengan mengerjakan maksiat, kesombongan, pertengkaran dan sebagainya yang boleh menjadi sebab kepada terhapusnya amalan kebaikan yang dikerjakannya sebelum itu.

10. Penuhilah hari-hari berkenaan dengan ketaatan kepada Allah, berzikir, bersyukur, menunaikan perintah-Nya, menjauhi larangan-Nya, mendekatkan diri kepada-Nya semoga mendapat rahmat dan keampunan-Nya.
Antara rahmat Allah SWT yang besar kepada kita ialah disediakan beberapa pesta ibadat sepanjang tahun. Kerana itulah kita mendengar kelebihan hari Jumaat sebagai hari terbaik di dalam seminggu, bulan Ramadhan itu adalah bulan terbaik di dalam setahun, malam lailatul qadar itu adalah malam yang terbaik berbanding malam-malam yang lain dan Allah turut memberikan sepuluh hari pertama dalam bulan Zulhijjah sebagai hari terbaik di dalam setahun.
Tujuan disediakan musim pesta ibadah ini ialah sebagai peluang dan galakan kepada umat Islam meningkatkan pelaburan ukhrawi mereka.
Kelebihan dan amalan yang digalakkan semasa sepuluh hari pertama Zulhijjah ini boleh diringkaskan seperti berikut:
1. Disumpah Di Dalam Al-Quran
Allah SWT banyak menggunakan metodologi bersumpah di dalam al-Quran, dengan bertujuan untuk memberikan penegasan kepada ayat seterusnya, serta memberikan petunjuk terhadap kelebihan perkara yang menjadi sumpahan tersebut. Di dalam surah al-Fajr ayat 1-2, Allah telah berfirman yang bermaksud :
"Demi waktu fajar, dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah)."
Di dalam tafsir al-Tabari, Ibn Jarir telah mendatangkan banyak riwayat mengenai pandangan ulamak terhadap yang dimaksudkan dengan sepuluh malam di dalam surah al-Fajr di atas. Ada yang menyatakan ianya bermaksud sepuluh hari pertama bulan Muharram. Sebahagian menyatakan sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan, dan ini disokong oleh Syeikh Ibn Uthaimin.
Akan tetapi pandangan jumhur ialah sepuluh hari berkenaan berlaku pada awal Zulhijjah. Dengan sebab itulah hari-hari tersebut dianggap sebagai hari yang mulia dan penuh dengan kelebihan.
Menurut Ibn al-Qayyim di dalam Zad al-Ma'ad, siang sepuluh hari pertama Zulhijjah adalah lebih afdhal daripada sepuluh hari terakhir Ramadhan, sementara sepuluh malam terakhir Ramadhan pula adalah lebih baik daripada sepuluh malam pertama Zulhijjah kerana berlakunya lailatul qadar.
2. Hari Digalakkan Beramal Ibadah
Bersabda nabi Muhammad SAW yang bermasud :
Dan tiadalah hari yang beramal soleh padanya paling dicintai Allah melainkan sepuluh hari pertama Zulhijjah ini. Sahabat bertanya, "Bukankah jihad fi sabililllah?" Jawab baginda, "Ya termasuklah jihad fi sablillah, kecuali mereka yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawanya kembali walau sedikit". (Riwayat Al-Bukhari)
Berdasarkan hadith ini, para ulamak menggalakkan umat Islam meningkatkan semua jenis amal ibadah seperti puasa, bersedekah, qiyamullail dan seumpamanya pada sepuluh hari yang mulia ini.


3. Hari Yang Dihimpunkan Semua Ibadah Utama Dalam Islam
Di dalam kitab Fathul Bari, Al-Hafiz telah menerangkan mengapa amal ibadah amat digalakkan pada sepuluh hari pertama Zulhijjah:
"Adapun sebab keistimewaan sepuluh hari pertama Zulhijjah ialah kerana terhimpunnya semua ibadah utama padanya iaitu solat, puasa, zakat dan haji, yang mana ianya tidak berlaku pada masa yang lain."
4. Galakan Berpuasa Terutamanya Pada 9 Zulhijjah
Di dalam sepotong hadith sahih riwayat Muslim, Abu Qatadah meriwayatkan yang nabi ditanya mengenai fadhilat berpuasa pada hari Arafah (9 Zulhijjah), maka jawab baginda:
"Diampunkan dosa tahun yang lepas dan yang masih berbaki."
Selain itu umat Islam juga digalakkan berpuasa pada awal bulan, iaitu pada 1 Zulhijjah. Dalam masa yang sama, ada riwayat yang menyatakan ramai salafussoleh berpuasa pada sembilan hari pertama Zulhijjah. Perlu diperingatkan juga yang berpuasa pada hari 10 sehingga hari 13 Zulhijjah adalah dilarang di dalam Islam.
5. Awal Zulhijjah Adalah Musim Haji
Awal Zulhijjah ialah musim menunaikan ibadah haji bagi umat Islam yang mampu. Pada waktu inilah hampir 3 juta jemaah haji akan berhimpun beramai-ramai menyahut panggilan Allah di tempat yang suatu masa dahulunya merupakan bumi kering-kontang. Ibadah haji juga merupakan satu-satunya rukun Islam yang dijadikan nama surah di dalam al-Quran. Firman Allah SWT di dalam Surah al-Hajj ayat 27 yang bermaksud:
"Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh."
6. Turut Dikenali Sebagai Hari Ma'lumat
Firman Allah SWT di dalam surah al-Hajj ayat 28 yang bermasud:
"Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan manfaat/faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu (hari ma'lumat), kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin."
Ulamak menafsirkan hari ma'lumat sebagai hari yang ditentukan oleh Allah SWT dengan pelbagai jenis kelebihan dan fadhilat. Ianya bukan sekadar kelebihan akhirat semata-mata, tetapi turut membabitkan kelebihan duniawi.
Menurut Mujahid seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Jarir di dalam tafsirnya, yang dimaksudkan dengan menyaksikan pelbagai perkara yang mendatangkan faedah di dalam awal ayat di atas ialah keampunan di akhirat, dan keuntungan perdagangan di dunia.
Keuntungan akhirat adalah sesuatu yang pasti perlu direbut oleh para jemaah haji. Sementara manfaat atau keuntungan perdagangan di dunia pula disebut oleh Mujahid dalam ulamak salaf yang lain sebagai konteks realiti duniawi zaman dahulu.
Pada zaman sekarang, memang tidak dinafikan yang keuntungan berniaga akan berlipat ganda khususnya bagi penduduk tanah Haram. Akan tetapi kita perlu menyempitkan maksud keuntungan duniawi dalam sektor perdagangan sahaja.
Umat Islam perlu memanfaatkan perhimpunan 3 juta manusia ini untuk menatijahkan manfaat serta kekuatan yang lain. Bagi pemimpin negara umat Islam, inilah masa mereka berbincang memikirkan kesatuan dan kemajuan masing-masing. Kekuatan muslim perlu dijana semasa perhimpunan agung ini, semoga roh-roh yang baru menunaikan ibadah haji pulang ke tanah air masing-masing dengan semangat yang tinggi serta kesatuan yang jitu.
Inilah masanya untuk menyatakan kemarahan kepada musuh Islam dan musuh keinsanan. Negara Muslim yang kuat membantu negara Muslim yang lemah. Muslim lama membantu muslim muallaf. Muslim minoriti berkongsi pengalaman dengan muslim majoriti  di negara masing-masing. Bagi saya, inilah manfaat duniawi yang terbesar sepatutnya dicari oleh para hujjaj semasa musim haji.
Dalam masa yang sama, umat Islam juga diminta untuk memperbanyakkan bacaan takbir sebagai tanda kita berzikir dan mengagungkan Allah SWT sejajar dengan ayat di atas. Bertakbir adalah amat dituntut daripada bermulanya malam 10 Zulhijjah sehinggalah hari tasyriq pada 13 Zulhijjah.
7. Digalakkan Menunaikan Ibadah Kurban
Di dalam surah al-Hajj ayat 28 di atas, Allah turut menggalakkan umat Islam yang mampu untuk menunaikan ibadah qurban. Mengikut jumhur, hukumnya adalah sunat muakkadah bagi yang mampu.
Sementara Imam Abu Hanifah pula menyatakan hukumnya adalah wajib.
Apa yang pasti, tujuan utama menunaikan ibadah qurban bukannya semata-mata untuk mempersembahkan darah atau daging haiwan sembelihan tersebut kepada Allah, akan tetapi untuk umat Islam mengejar ketaqwaan di sisi-Nya. Firman Allah SWT di dalam surah al-Hajj ayat 37:
"Daging dan darah binatang korban itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadanya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya."
8. Wujudkan Rasa Kebersamaan Antara Orang Yang Pergi Haji Dengan Yang Tidak Pergi Haji
Orang yang menunaikan ibadah qurban sebenarnya turut menyertai pesta ibadah haji. Dengan sebab itulah ada beberapa larangan kepada para hujjaj yang turut dikongsi sama dengan mereka yang berniat untuk menunaikan ibadah qurban, seperti larangan bercukur dan memotong kuku kepada para hujjaj yang sedang berihram yang turut sama dikongsi larangan tersebut kepada umat Islam yang bukan menunaikan haji tetapi ingin melaksanakan ibadah qurban. Sabda nabi Muhammad seperti di dalam riwayat Muslim:
"Sekiranya masuk sepuluh hari Zulhijjah, dan antara kamu ada yang ingin menyembelih kurban, maka janganlah menggunting/cukur rambut atau memotong kukunya (sehinggalah haiwan tersebut disembelih)."
Selain itu, ketika para hujjaj mengulangi talbiah sebagai simbolik kejayaan mereka menyahut seruan Allah dan juga mengagungkanNya, umat Islam yang lain di seluruh dunia turut digalakkan mengulangi takbir sehinggalah ke hari terakhir haji pada 13 Zulhijjah. Justeru, wujudlah rasa kebersamaan.
Kesimpulan
1. Marilah kita bersama-sama menyediakan persiapan perasaan untuk menyambut ketibaan Zulhijjah dengan penuh rasa rindu dan bersyukur. Malam ini, telah masuk bulan Zulhijjah, maka rebutlah peluang yang ditawarkan oleh Allah kepada kita sepanjang 10 hari pertamanya.
2. Bagi yang masih belum mampu pergi haji, jadikanlah ketibaan Zulhijjah sebagai penanam azam dan tekad kita mengejar kemampuan melunaskan rukun Islam kelima tersebut.
3. Bagi muslim yang tidak pergi haji pada musim ini, wujudkanlah rasa kebersamaan dengan rakan-rakan jemaah haji. Selain seperti yang disebut di atas, anda boleh turut menonton siaran langsung daripada Islam Channel para hujjaj melaksanakan ibadah agung tersebut. Suatu masa dahulu, ramai salafussoleh yang tidak mampu ke Mekkah akan berhimpun di al-Masjid al-Aqsa atau di masjid tempatan mereka semasa hari wuquf, sambil berzikir mengingati Allah SWT. Siaran televisyen tempatan di Malaysia juga banyak memaparkan mengenai liputan dan dokumentari haji, tontonilah, agar timbul rasa rindu, keinginan dan kesedaran untuk menyambut seruan Ilahi.

No comments:

Post a Comment