Thursday, September 15, 2011

Fidyah puasa ramadan

Fidyah puasa Ramadan

Sekiranya seseorang tertinggal beberapa hari puasa di bulan Ramadan, maka hendaklah dia menggantikannya sebelum tiba Ramadan yang baru. Dalam sebuah hadis yang riwayat al-Bukhari dan Muslim, daripada Aisyah r.a berkata: “Aku masih berhutang puasa Ramadan dan aku tidak dapat menggantikannya sehingga Syaaban tiba dan itu adalah kerana sibuk melayani Rasulullah SAW.”

Menurut al-Hafiz Ibn. Hajar rhm: “Keinginan Aisyah yang tinggi untuk berpuasa pada bulan Syaaban adalah kerana syarak tidak membenarkan menangguhkan ganti puasa sehingga Ramadan yang baru tiba.

Seseorang yang melengahkan ganti puasa terbahagi kepada dua golongan. Golongan pertama, iaitu golongan yang berlengah atas alasan yang sah di sisi syarak seperti sakit yang berpanjangan. Jika keadaan ini berlaku, maka seseorang itu boleh menggantikan puasa walaupun selepas Ramadan yang kedua.

Golongan yang kedua pula adalah golongan yang tidak mempunyai alasan untuk melengahkan perkara itu.

Contohnya, dia berupaya menggantikan puasa tetapi tidak melakukannya sebelum Ramadan baru bermula dengan sengaja.

Golongan kedua ini berdosa kerana gagal menggantikan puasa tanpa alasan yang sah. Kalangan ulama bersepakat bahawa dia hendaklah menggantikan puasa.
Namun mereka berbeza pandangan sama ada dia kena menggantikan puasa di samping membayar fidyah atau tidak.

Imam Malik, Syafi’I dan Ahmad berpendapat bahawa mesti membayar fidyah di samping menggantikan puasa. Pandangan ini berdasarkan riwayat daripada beberapa orang sahabat seperti Abu Hurairah dan Ibnu Abbas RHM.

Imam Abu Hanifah pula berpendapat bahawa tidak perlu membayar fidyah. Cukup hanya menggantikan puasa. Ini berdasarkan firman Allah SWT yang memerintahkan agar orang yang tidak berpuasa, hendaklah menggantikannya sebagai dalil. Ayat ini tidak menyebutkan tentang pembayaran fidyah kepada orang miskin. Itulah pendapat yang dipegang beliau.

Imam al-Bukhari RHM. memilih pandangan yang kedua. Beliau berkata dalam kitabnya Sahih al-Jami’: “Ibrahim al-Nakha’i berkata bahawa jika seseorang lalai (tidak menggantikan puasa yang ditinggalkan) sehingga Ramadan baru, dia hendaklah menggantikan hari-hari yang tertinggal bagi kedua-dua tahun. Tetapi dia tidak berpendapat perlunya membayar fidyah bagi setiap hari yang tertinggal.

Ada juga petikan mursal daripada Abu Hurairah dan ibnu Abbas yang berkata bahawa dia perlu membayar fidyah.
Kemudian Imam al-Bukhari menyebut: “Tetapi Allah tidak menyebut mengenai membayar fidyah kepada orang miskin (melalui firman-Nya).”

Oleh itu, apa yang wajib ialah menggantikan puasa saja tetapi jika seseorang ingin lebih selamat dengan membayar fidyah di samping menggantikan puasa, itu lebih baik.

Jika anda melambatkan ganti puasa tanpa sebarang alasan, anda hendaklah bertaubat kepada Allah dan bertekad tidak akan mengulangi kesilapan ini akan datang. Demikianlah,

Bayar fidyah di pejabat zakat

Tertinggal mengqada puasa wajib tiga tahun yang lepas selama 10 hari. Saya tidak mampu untuk membayar dalam bentuk berpuasa jadi saya ingin membayar fidyah.Apa yang saya ingin tanyakan  berapakah nilai yang saya perlu bayar sekiranya saya ingin membayar dalam bentuk tunai dan 
kepada siapakah yang layak untuk saya berikan fidyah ini?

Jawapan:- Maksud Fidyah adalah satu cupak makanan asasi tempatan yang disedekahkan kepada fakir miskin mewakili satu hari yang tertinggal puasa Ramadan padanya.
Makanan asasi masyarakat Malaysia adalah beras, maka wajib menyedekahkan secupak beras kepada fakir miskin bagi mewakili sehari puasa. Ukuran secupak beras secara lebih kurang sebanyak 670 gram.

Contohnya si polan telah meninggalkan puasanya sebanyak lima hari, maka dia wajib membayar fidyahnya sebanyak lima cupak beras kepada fakir miskin.

Firman Allah SWT yang bermaksud: (Puasa yang diwajibkan itu adalah beberapa hari tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang Yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari Yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (Walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui. (al-Baqarah: 184)

Fidyah adalah bayaran denda yang dikenakan terhadap individu Islam yang tidak dapat menggantikan puasanya di bulan Ramadan pada suatu tahun sehingga tiba Ramadan tahun berikutnya.
Bayaran fidyah ini boleh diserahkan kepada orang fakir miskin atau di mana-mana Jabatan Agama Islam Negeri yang menyediakan khidmat bayaran denda fidyah. Hukum membayar fidyah adalah wajib.

Penangguhan membayar zakat akan menyebabkan fidyahnya berganda mengikut tahun. Bagi mereka yang meninggalkan puasa dengan uzur syarie, selepas itu tidak mampu menggantikan puasa tersebut maka hendaklah membayar fidyah pada tahun yang sama dengan bagi setiap hari satu cupak.
Sekiranya seseorang itu telah mengetahui bahawa dia tidak akan dapat berpuasa atas alasan-alasan syarie maka hendaklah bersegera dalam melangsaikan fidyah tanpa bertangguh.
Apabila ditangguhkan pembayaran fidyah sehingga menjelma bulan Ramadan pada tahun berikutnya maka fidyah menjadi ganda mengikut tahun.

Contohnya Abu tertinggal puasa pada tahun 2005 sebanyak 10 hari kemudian dia didapati menghidap penyakit yang sukar diubati, dan dia juga disahkan tidak boleh berpuasa maka dia hendaklah membayar fidyah pada tahun 2005 tetapi dia tidak berbuat demikian.
Namun pada tahun 2011 dia sedar bahawa fidyah bagi puasa yang ditinggalkan pada tahun 2005 perlu dibayar. Apa yang harus dilakukan oleh Abu ialah pertamanya mengira hari yang tertinggal puasa, iaitu 10 hari x dengan gandaan 5, iaitu lewat 5 tahun, maka jawapannya adalah 50 hari, setiap hari satu cupak x dengan 50 hari> 50 cupak.

Kadar satu cupak adalah nilai zakat fitrah yang dibahagikan kepada 4. Katakan zakat fitrah bagi negeri Selangor tahun 2010 adalah RM7/4>1.75. Maksudnya 50 x RM1.75> RM87.50. Begitulah seterusnya dalam pengiraan bayaran fidyah.

Namun ada yang berpendapat bahawa fidyah tidak wajib bagi mereka yang mampu berpuasa, kerana fidyah hanya dikenakan ke atas mereka yang sudah tentu tidak dapat berpuasa. Bagi mereka yang mampu berpuasa hendaklah mengqadanya bukan dengan membayar fidyah.
Namun pandangan membayar fidyah bersama qada puasa juga disetujui oleh ulama Mazhab al-Syafieyyah.
Fidyah dikenakan kepada orang yang tidak mampu berpuasa dan memang tidak boleh berpuasa lagi. Maka dengan itu Islam memberikan keringanan (rukshah) kepada mereka yang tidak boleh berpuasa dengan cara membayar fidyah iaitu memberikan secupak beras kepada orang fakir miskin.
Begitu juga kepada orang yang meninggalkan puasa dan tidak menggantikan puasanya sehingga menjelang puasa Ramadan kembali (setahun), maka dengan itu mereka dikehendaki berpuasa dan juga wajib memberikan secupak beras kepada fakir miskin.

Begitu juga pada tahun seterusnya. Fidyah akan naik setiap tahun selagi mana orang tersebut tidak menggantikan puasanya.
Fidyah tidak boleh digantikan dengan zakat, kerana zakat dan fidyah adalah dua perkara yang berbeza.
Jika anda terlalu sibuk dan tidak ada masa untuk membayar fidyah, maka anda boleh mewakilkan kepada orang yang dipercayai untuk membayar fidyah anda kepada fakir miskin. Boleh juga membayar fidyah di kaunter-kaunter zakat negeri masing-masing.

Bayar fidyah dan puasa

Banyak melakukan kesalahan dalam hidup, dan  ingin bertaubat Bagaimana ingin membayar ibadat puasa yang tertinggal selama ini ?

JAWAPANNYA:

Anda perlu kira berapa tahun ibadat puasa yang ditinggalkan itu mengikut perhitungan sendiri. Contohnya sangkaan anda 10 atau 11 tahun maka ambil yang lebih cermat yakin dan pasti iaitu 11 tahun. Maka dalam 11 tahun itu berapa hari atau bulan yang anda tinggalkan. Maka hari-hari itulah yang perlu anda qada dan anda dikehendaki berpuasa berapa hari yang tertinggal sahaja, dengan membayar fidyahnya sekali, satu cupak makanan untuk satu hari dan akan berulang fidyah tersebut sekiranya berulang tahunnya.

Katakan 11 tahun, kenalah dikali 10 tahun yang berulang tadi. Jadi kalau 11 tahun bererti anda dikenakan membayar fidyahnya sebanyak 3,600 cupak makanan sebagai fidyah untuk dibahagikan kepada fakir miskin.
Berlainan mereka yang langsung tidak ada kemampuan kerana mereka itu (yang tidak berkemampuan) tidak diwajibkan mengqada puasanya selain membayar fidyah .Allah s.w.t. berfirman bermaksud: Dan wajib atas mereka yang tidak terdaya untuk berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu dengan memberi makan fakir miskin, dan sesiapa yang bersukarela memberi kebajikan (bersedekah dan sebagainya) lebih dari yang ditentukan, maka itu adalah suatu kebaikan baginya, (Surah al-Baqarah ayat 184). 

No comments:

Post a Comment