Wednesday, August 3, 2011

Ramadhan menggamit kembali


RAMADAN al-Mubarak menggamit lagi.

 Bulan yang penuh dengan keberkatan, kelebihan, keampunan dan juga keistimewaannya amatlah patut dan munasabah untuk kita memahami dan mengetahui berkenaan kelebihan puasa dan orang yang berpuasa di bulan Ramadan.Puasa pada bahasa iaitu menahan dan pada istilahnya pula menahan daripada makan, minum dan jimak daripada subuh hingga ke maghrib beserta dengan niat.
                                                                         (Qamus Al-Fiqhi oleh Sa’di Abu Jaib Hal 218).

Dalam Feqh Manhajji menyebut puasa dari segi syarak pula ialah menahan diri daripada sebarang perkara yang membatalkannya, bermula dari terbit fajar sehingga matahari terbenam dengan niat puasa.Walaupun begitu terdapat banyak lagi definasi berkenaan dengan puasa berdasarkan kepada pendapat fuqaha dalam semua mazhab.Tetapi pengertian yang mereka kemukakan adalah hampir sama.Puasa Ramadan mula difardukan pada bulan Syaaban pada tahun kedua Hijrah. Sebelum itu, amalan puasa telah biasa dilakukan biasa di kalangan umat terdahulu dan ahli kitab yang sezaman dengan Nabi Muhammad s.a.w.
Akan tetapi kewajipan puasa pada bulan Ramadan belum disyariatkan lagi ketika itu. Persamaan antara mereka dengan umat terdahulu adalah dari segi pensyariataan puasa itu sahaja. Kemudian umat Nabi Muhammad secara khusus difardukan puasa pada bulan Ramadan.Ia merupakan satu rukun daripada Islam yang lima dan diketahui oleh umum.Oleh itu sesiapa yang mengingkari kewajipannya ia boleh menjadi kafir dan hendaklah disuruh bertaubat sebagaimana orang murtad. Jika terus ingkar dan enggan bertaubat dia hendaklah dijatuhi hukuman sebagai orang yang murtad.

Hal yang demikian sekiranya dia bukan baru memeluk agama Islam dan tidak tinggal berjauhan daripada ulama. Mereka yang tidak berpuasa tanpa mengingkari wajibnya ibadat tersebut dia hanya jadi fasik. Pemerintah wajib memenjarakannya dan menghalangnya daripada makan dan minum pada waktu siang supaya ia berpuasa sekali pun zahirnya sahaja mengikut apa yang dinyatakan di dalam kitab al-Feqh al-Manhaji.

Berkenaan dengan rukun puasa pula iaitu menahan 2 syahwat, perut dan faraj. Atau menahan daripada segala perkara yang membatalkan puasa. Malikiyah dan Syafiiyah menambah dengan satu rukun yang lain iaitu niat pada waktu malam.
                                                                            (Al-Fiqhu Al-Islami Wa Adillatuhu 3/1616).
fadilat dan kelebihan puasa dan orang yang berpuasa  
:
  • Imam Ahmad dan Muhammad bin Nasar al- Baihaqi meriwayatkan daripada Abi Hurairah sabda Nabi s.a.w, “Dikurniakan kepada umatku pada bulan Ramadan lima kelebihan yang tidak dikurniakan mana-mana umat sebelum mereka : bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah dari bau kasturi, malaikat berdoa diampunkan mereka sehingga berbuka, Allah hiasi setiap hari syurganya, kemudian berfirman hampir-hampirlah hamba-Ku yang soleh yang merasai kesukaran tetapi terus menuju kepadamu, diikat padanya syaitan dan diampun bagi mereka pada akhir malam”.
  • Imam Bukhari, Muslim dan Ahmad meriwayatkan hadis daripada Sahal bin Sa’d. Sabda Rasulullah s.a.w: “Sesunggunya dalam syurga terdapat satu pintu yang dikenali dengan ar-Raiyyan di mana yang berhak memasukinya hanya orang yang berpuasa. Apabila selesai masuk nescaya ditutupnya”.
  • Mengikut riwayat an-Nasai sama seperti di atas kecuali ditambah sabda Nabi: Sesiapa yang masuk di dalamnya nescaya dapat meminum siapa yang minum nescaya tidak dahaga selama-lamanya.
  • Mengikut riwayat Imam Ahmad dan an-Nasai daripada Abi Hurairah r.a sabda Rasulullah s.a.w: “Puasa merupakan perisai”. Dan daripada Usman bin Abi al-As, “Puasa merupakan perisai daripada neraka seperti perisai seseorang daripada kamu pada masa peperangan selama mana ia tidak mengoyaknya dengan berdusta atau mengumpat”.
  • Al-Baihaqi meriwayatkan daripada Usman bin Abi al-As, puasa merupakan perisai daripada azab Allah.
  • Imam Ahmad, Muslim dan an-Nasai meriwayatkan daripada Abi Hurairah dan Abi Sa’id Sesungguhnya Allah berfirman: Sesungguhnya puasa bagiku dan Aku yang membalasnya dan sesungguhnya bagi orang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan apabila ia berbuka nescaya bergembira dan apabila bertemu Allah nescaya ia gembira. Demi jiwa Muhammad ditangan-Nya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi.
  • Ibn Majah dan al-Hakim meriwayatkan daripada Ibn Umar bahawa Nabi s.a.w bersabda: “Sesungguhnya orang yang berpuasa ketika berbuka mempunyai doa yang tidak ditolak”.
  • Al-Dailami meriwayatkan daripada Ibn Umar katanya: “Diam orang puasa merupakan tasbih, tidurnya adalah ibadat, doanya mustajab dan amalannya digandakan”.
  • Ibn Majah meriwayatkan daripada Ibn Jabir, Ahmad, at-Tabarani dan al- Baihaqi daripada Abi Umamah bahawa Nabi bersabda: “Sesungguhnya bagi Allah ketika berbuka puasa mempunyai mereka yang dibebaskan daripada neraka yang demikian itu pada setiap malam”.
  • Al-Baihaqi meriwayatkan daripada Abi Hurairah bahawa Nabi s.a.w bersabda: “Puasa merupakan separuh kesabaran dan atas tiap sesuatu mempunyai zakat dan zakat bagi tubuh badan adalah puasa”.
  • Imam Ahmad, al-Tirmidzi dan al-Baihaqi meriwayatkan daripada Ummi Imarah: “Sesungguhnya orang yang berpuasa apabila makan sentiasalah malaikat berselawat keatasnya sehingga selesai makanannya”.
“ Sesungguhnya setiap amalan perlu aktif dan setiap keaktifan adakalanya berlaku saat
   kemerosotan. Justeru barangsiapa semasa saat kemerosotannya kembali kepada
   sunnahku, maka dia memperolehi petunjuk tetapi barangsiapa semasa saat itu kembali
   kepada yang lainnya, maka ia pasti akan sesat”.

Wahai orang yang Allah berikan taufik kepadanya di bulan Ramadhan. Janganlah anda kembali kepada dosa-dosa yang anda lakukan sebelum Ramadhan seperti amalan mengumpat, mencerca, menipu, khianat dan sebagainya..kerana anda telah merasai kemanisan air mata dan kelazatan munajat yang merupakan saat yang paling bahagia bagi para hamba. Oleh itu janganlah anda tinggalkan kebahagiaan yang telah dinikmati itu. Begitu juga amalan qiam, puasa, sedekah, tilawah al-Quran dan zikir.

Puasa sunat di bulan Syawal selepas Ramadhan adalah di antara peluang terbaik kerana orang yang berpuasa masih berada pada ketaatan dan ibadah yang lain setelah selesai puasa Ramadhan.

Nabi saw telah menyatakan kepada umatnya tentang kelebihan puasa enam Syawal dan mendorong mereka dengan menggunakan teknik galakan supaya melaksanakan puasa 6 hari ini..sabda nabi saw:

“ Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian diikuti puasa enam hari di bulan Syawal,
   maka ganjarannya seolah-olah puasa sepanjang tahun”. (Muslim dan lainnya)

Menurut Imam Nawawi: Para ulamak menyatakan:

“ Ganjarannya seolah-olah puasa sepanjang tahun, kerana satu hasanah (pahala) mendapat
   10 gandaan. Jadi puasa Ramadhan sebulan seumpama puasa 10 bulan. Manakala puasa
   6 hari seumpama puasa dua bulan”.
Ibn Rejab menukilkan dari Ibn Mubarak katanya:
Bagi yang berpuasa 6 Syawal secara berkesinambungan selepas puasa Ramadhan, maka dia wajib memperolehi pahala puasa sepanjang tahun.

Jikalau tanda penerimaan sesuatu ibadah ialah kecenderungan melakukan ibadah seterusnya, maka puasa 6 Syawal selepas Ramadhan adalah bukti kesyukuran orang berpuasa kepada Allah kerana memberi taufik kepada puasa Ramadhan dan menambahkan kebaikan, sepertimana puasanya sebagai bukti kecintaan kepada ibadah dan ketaatan dan kecenderungan untuk meneruskan jalan ibadah.

Bahkan ia seakan-akan suatu perjanjian dengan Allah untuk bersungguh-sungguh beribadah dan melaksanakan ketaatan kerana ia tidak mahu hanya beribadah kepada Allah di bulan Ramadhan dan meninggalkan ibadah selepas Ramadhan.

Al-Hafiz Ibn Rejab al-Hanbali berkata:

“ Orang yang menggantikan nikmat taufik puasa di bulan Ramadhan dengan melakukan
    maksiat selepasnya, maka sebenarnya dia seperti orang menukarkan nikmat Allah dengan
    kekufuran. Ada yang mengatakan kepada Bisyr al-Hafiy: Suatu kaum yang beribadah dan
    bersungguh-sungguh di bulan Ramadhan. Lalu Bisyr berkata: Seburuk-buruk suatu kaum
    ialah yang tidak mengenali Allah dengan sebenarnya kecuali di bulan Ramadhan
    sebaliknya orang soleh sentiasa beribadah dan bersungguh-sungguh sepanjang tahun”.

Di antara hikmat puasa 6 Syawal

1.  Puasa 6 Syawal selepas Ramadhan menyempurnakan pahala puasa sepanjang tahun bagi seorang muslim.

2.  Puasa di bulan Syawal dan Syaaban sama seperti solat sunat dan solat rawatib sebelum atau selepas solat fardu yang berfungsi menampung segala kekurangan dan kecacatan dalam ibadah fardu, kerana ibadah fardu disempurnakan oleh ibadah nawafil di hari Kiamat. Bahkan ramai orang yang puasanya terdapat kekurangan dan kecacatan, maka ia perlukan amalan yang dapat menampung atau melengkapkan kekurangan itu.

3.  Puasa Ramadhan mewajibkan seseorang memperolehi keampunan daripada dosa-dosa yang terdahulu. Oleh itu kembali berpuasa selepas Eidul Fitri sebagai tanda syukur kepada nikmat ini kerana tiada nikmat yang lebih besar daripada keampunan daripada dosa.

Allah telah memerintahkan hambaNya supaya mensyukuri nikmat puasa Ramadhan dengan sentiasa mengingatiNya, berzikir dan bermacam-macam cara bersyukur yang lain. Firman Allah:

“ Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan
   Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur”
                                                                                                                   (Al-Baqarah: 185)
Justeru tanda kesyukuran hamba kepada Allah di atas taufikNya dengan puasa Ramadhan, pertolongan dan keampunan daripada dosa ialah melaksanakan ibadah puasa sunat seterusnya.

4.  Amalan-amalan yang mendekatkan seorang hamba dengan Allah pada bulan Ramadhan tidak terhenti dengan berlalunya Ramadhan, bahkan masih kekal selagi hamba itu hidup. Oleh itu berpuasa selepas Eidul Fitri menunjukkan kembalinya kepada keinginan untuk berpuasa. Baginya puasa tidak menjemukan dan membebankannya.

Permasalahan berkaitan puasa 6 Syawal

1. Setengah orang berpendapat bahawa jika tahun ini mereka berpuasa 6 Syawal, maka mereka mesti berpuasa 6 Syawal pada setiap tahun. Pendapat ini tidak betul kerana ibadah ini adalah pilihan semata-mata sama ada mahu berpuasa tahun ini atau tidak pada tahun berikutnya. Bukanlah wajib berpuasa setiap tahun. 
Marilah kita mengingati firman Allah:

 “ Dan bersegralah kamu mencari keampunan dari Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang
   luasnya langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa ”.
                                                                                                                         (Ali-Imran:133)
2.  Setengah orang berpendapat bila seseorang telah mula berpuasa 6 hari di bulan Syawal maka ia mestilah menyelesaikannya sekaligus dan tidak boleh berhenti atau terputus sehari atau dua hari sama ada atas sesuatu sebab atau sakit semsa puasa. Pendapat ini tidak betul kerana orang yang melakukan amalan sunat berhak ke atas dirinya. Ia boleh memutuskan puasanya pada bila-bila masa yang dia mahu berdasarkan sabda nabi saw:

" Orang yang berpuasa sunat adalah ketua (berhak) ke atas dirinya dia boleh memilih sama
   ada mahu berpuasa atau berbuka (tidak berpuasa)”. (Tirmizi)

3.  Bagi orang yang mahu berpuasa 6 Syawal sepatutnya memulakan niat puasa pada malamnya, kerana puasa pada hari-hari yang khusus pada waktu yang terbatas mempunyai ganjaran yang khusus dan tidak sama seperti puasa sunat mutlak.

4.  Bagi sesiapa yang tertinggal puasa beberapa hari di bulan Ramadhan, maka ia mestilah mengqada’nya (menggantikannya) dahulu, kemudian barulah berpuasa 6 Syawal kerana puasa Ramadhan adalah ibadah fardu dan puasa 6 Syawal adalah sunat sahaja berdasarkan zahir hadith:

“ Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa 6 hari di bulan
   Syawal..”. (Hadith)
Namun masalah ini tidak terlepas daripada perbezaan pendapat ulamak.

5. Disunatkan bersegera melaksanakan puasa 6 Syawal yang dimulakan pada hari kedua Syawal, tetapi tidak menjadi masalah jika melewatkan pada pertengahan bulan atau penghujung bulan.

6. Puasa Ramadhan yang diikuti puasa 6 hari di bulan Syawal ganjarannya menyamai puasa sepanjang tahun kerana satu hasanah menyamai 10 gandaan berdasarkan hadith Thuban r.a dari nabi saw yang bersabda:

“ Puasa Ramadhan pahalanya menyamai sepuluh bulan. Puasa enam hari di bulan Syawal
   pahalanya menyamai dua bulan. Dengan itu seolah-olah puasa sepanjang tahun”.
                                                                                                          (Ahmad dan Ibn Hibban)

No comments:

Post a Comment