Muslimin Muslimat Yang di Rahmati Allah,
Saya
berpesan kepada tuan-tuan dan diri saya sendiri marilah sama-sama kita bertakwa
kepada Allah SWT dengan memperkukuhkan pengabdian diri kita kepada-Nya dengan
melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan
pada malam yang penuh berkat ini menjadikan kita insan yang berjaya di dunia
dan akhirat.
Tajuk
kuliah pada hari ini ialah: “BAHAYA LIDAH ”.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Manusia dianugerahkan
dengan kesempurnaan anggota tubuh badan oleh Allah SWT sebagai satu nikmat.
Sudah tentu anugerah ini mempunyai nilai tertentu dan semestinya ia dipelihara
dengan sebaiknya. Contohnya ketika bercakap, mahupun melalui ceramah secara
terbuka atau sebaliknya .
Antara anugerah yang
besar ialah lidah, di mana manusia boleh bercakap dan berbicara sebagai alat
komunikasi.
Kadang kala dalam
keghairahan ini, kita lupa akan batas batas agama serta dosa dan pahala sehingga
kita sanggup menjatuhkan dan mendedahkan keaiban seseorang termasuklah
melakukan fitnah. Dan yang lebih dahsyat lagi, ada yang sanggup mencipta berita
palsu, dokumen palsu dan sebagainya ...
Sebagai seorang Islam
yang takutkan Allah dan percayakan hari akhirat kita hendaklah menjaga akhlak
dan adab adab kita ketika berbicara. Ingatlah,
niat kita tidak boleh menghalalkan cara sebagaimana yang disarankan dalam
firman Allah SWT di dalam surah al-Hujurat ayat 11:
Bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Janganlah
sesuatu puak merendah-rendahkan puak yang lain, mungkin puak yang dicemuhkan
itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula kaum wanita ke atas kaum
wanita yang lain, mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka;
dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri; dan jangan kamu panggil-memanggil
antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk. Amatlah buruknya sebutan nama
fasik sesudah ia beriman. Dan sesiapa yang tidak bertaubat maka merekalah orang
yang zalim. ”
Ada enam perkara yang perlu kita hayati bagi mengelak diri kita tergolong
kepada orang yang rugi..dalam tutur katanya
Bagi mendepani bicara
secara berhikmah, akan dinyatakan
beberapa perkara yang perlu ada pada
diri seorang Islam antaranya ialah,
Pertama: Janganlah berkomunikasi dengan cara merendahkan dan mencaci maki orang
lain, kerana Allah SWT lebih mengetahui siapa yang lebih baik antara kita.
Kedua: Jangan mendedahkan keaiban seseorang
atau menyebarkan keburukan seseorang atas alasan demi kebenaran, kerana perkara
ini tidak dianjurkan oleh agama, malah Allah SWT menempelak golongan yang suka
mendedahkan orang lain. Sabda Rasulullah SAW:
Bermaksud: “Tidak menutup seseorang akan keaiban orang lain melainkan
Allah akan menutup keaibannya pada hari kiamat.”(Riwayat Muslim)
Ketiga: Janganlah mengelar seseorang dengan gelaran yang buruk terutamanya
sesama umat Islam kerana ianya boleh mendatangkan dosa dan membawa kepada
kefasikan.
Keempat: Jauhilah dari berprasangka buruk kerana ianya mendatangkan
dosa, seandainya sesuatu berita itu sampai kepada kita, maka hendaklah ianya disemak
terlebih dahulu tentang kesahihannya. Janganlah kita menjadi agen penyebar
fitnah dan berita palsu kepada masyarakat.
Kelima: Janganlah kita mengintip dan mencari kesalahan orang lain. Ingatlah
bahawa Islam menyuruh mencegah kemungkaran seiring dengan suruhan melakukan
kebaikan.
Keenam: Menjaga lidah dan tutur bicara kita agar
tidak mendatangkan kemarahan orang lain. Mimbar ingin mengingatkan bahawa
segala tutur bicara kita di dunia ini di bawah perhitungan Allah SWT dan akan
dibentangkan di akhirat. Firman Allah SWT dalam surah al-Kahfi ayat 49:
Maksudnya: “Dan Kitab-kitab Amal
dibentangkan, maka engkau akan melihat orang yang berdosa itu merasa takut akan
apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka berkata: Aduhai celakanya kami,
mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau
besar, melainkan semua dihitungnya! Dan mereka dapati segala yang mereka
kerjakan itu ada tertulis di dalamnya. dan ingatlah Tuhanmu tidak berlaku zalim
kepada seseorang pun. ”
Suatu
hari seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW seraya berkata: “Ya Rasulullah! Sungguh si fulan itu terkenal
banyak sembahyang, puasa dan sedekahnya. Akan tetapi juga terkenal jahat
lidahnya terhadap tetangga-tetangganya”.
Maka berkatalah Rasulullah SAW kepadanya, “Sesungguhnya
ia termasuk ahli neraka”.
Kemudian
lelaki itu berkata lagi, Kalau si fulan yang satu lagi terkenal sedikit sembahyang,
puasa dan sedekahnya, akan tetapi ia tidak pernah menyakiti tetangganya. Maka
Rasulullah SAW berkata: Sungguh ia termasuk ahli syurga . (Riwayat.Muslim)
Kisah
dalam hadith ini memberi pengajaran tentang bahayanya lidah yang boleh
menjerumuskan kita ke dalam neraka. Ingatlah, walaupun seseorang itu ahli
ibadah, banyak solat dan puasa akan tetapi apabila ia tidak mampu menjaga
lidahnya dari memfitnah, berbohong, mencaci maki, pastinya rosaklah amalannya.
Fikirkanlah, bolehkah seseorang itu dianggap sebagai ilmuan atau pemimpin jika
fitnah, umpatan dan caci maki menjadi mainan di bibir?.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Ingatlah bahawa dalam
banyak-banyak anggota, lidahlah yang paling banyak kesalahan yang melibatkan
sesama manusia. Kenapa lidah kita amat mudah untuk melakukan kesalahan dan
mendatangkan dosa?. Itulah persoalan yang perlu ditanya diri kita pada hari
ini.
Imam al-Ghazali pernah berkata:
Menerusi lidah akan berlakulah pendustaan atau
pembohongan, buruk sangka, permusuhan, fitnah, mencarut, mencela, mengutuk,
bertelingkah, mengumpat, melaknat dan membicarakan sesuatu dalam keadaan kesat,
kasar dan penuh dengan kesombongan. Selanjutnya Imam al-Ghazali berkata: “Keimanan dan kekufuran
seseorang tiada terang dan jelas, selain dengan kesaksian lidah. Lidah
mempunyai ketaatan yang besar dan mempunyai dosa besar pula. Anggota tubuh yang
paling derhaka kepada manusia ialah lidah. Sesungguhnya lidah alat perangkap
syaitan yang paling jitu untuk menjerumuskan manusia.”
Daripada kata Imam
al-Ghazali itu jelas menunjukkan kepada kita besarnya peranan lidah dalam
kehidupan manusia kerana lidah kita boleh masuk syurga dan kerana lidah juga
boleh menghumban kita ke neraka.

Percayalah, untuk hidup dalam suasana yang
tenteram, aman dan damai, hendaklah diawasi lidah kerana melalui lidah tutur
kata akan menjadi lebih benar, beradab dan bahasanya lebih bersopan. Sikap
tidak menjaga lidah bukan sahaja menimbulkan kemarahan orang yang mendengarnya,
malah menimbulkan implikasi buruk kepada hubungan sesama manusia. ingin ditegaskan
disini marilah gunakanlah lidah kita untuk berkata sesuatu yang baik dan benar
serta tidak sia-sia atau lebih baik lagi kita berdiam sahaja kerana itu lebih
memberi manfaat daripada kita berkata perkara yang boleh mendatangkan dosa.
Sesungguhnya orang beriman tidak bercakap perkara yang sia-sia dan tiada
berfaedah sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud.:
Siapa beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat,
maka hendaklah ia berkata yang baik atau ia diam.” (Hadith Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).
Tariklah nafas keimanan. Bayangkanlah, apakah yang
akan berlaku kepada agama Islam dan negara tercinta jika amalan fitnah dan caci
maki menjadi amalan kita
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Mengakhiri kuliah
pada minggu ini, bahawa kehidupan bermasyarakat dan berjiran tetangga pastikan
didalam hati kita ini hendaklah berteraskan nilai nilai akhlak dan nilai-niali
budaya yang bertamadun. Renungkanlah, berapa ramai kah di antara kita yang
sentiasa bermuhasabah akan tutur katanya?. Ingatlah segala amalan kita
akan diperhitungkan dan semuanya terserah kepada neraca keadilan yang telah
ditentukan oleh Allah SWT. lngatlah wahai
muslimin sekalian bahawa setiap pergerakan dan ucapan kita sentiasa diawasi
oleh dua malaikat iaitu Raqib dan Atid.
Elakkan daripada
terjerumus ke dalam dosa termasuk melemparkan tuduhan, menyebarkan fitnah, prasangka
buruk serta bercakap bohong. Setiap apa yang diucapkan pasti akan dipertanggungjawabkan
di akhirat kelak. Hanya perkataan-perkataan yang diredai Allah akan dicatat,
manakala perkataan-perkataan yang mendatangkan kebencian Allah akan dicatat
atas kemurkaan-Nya sampai hari kiamat. Ingatlah nilai dunia tidak lebih seperti
sebelah kepak nyamuk, kekuatan dunia tak lebih dari sarang labah-labah. Kampung
akhirat jua yang kekal abadi selama-lamanya.
Marilah sama-sama
kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Zalzalah ayat 7 dan 8:
Bermaksud: “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat
zarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat
zarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)”
Bala seseorang itu datangnya dari lidah.. oleh sebab itu
kita mestilah menjaga lidah ( tutur kata kita setiap kali apa yang hendak
diucapkan ) basahilah lidah kamu dengan kalimah-kalimah zikir dan selawat supaya diri kamu dalam kemenangan
di kampung akhirat nanti ..
No comments:
Post a Comment