Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Marilah
sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa
serta melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.
Mudah-mudahan kita mendapat keberkatan hidup di dunia dan di akhirat.
Mimbar kuliah hari ini akan memperkatakan "MUHASABAH DIRI".
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Dengan bermulanya tahun 2013 masihi. Tahun yang bakal dipenuhi
dengan cabaran ini, mudah-mudahan disambut dengan rasa tawaduk ke
hadrat Allah SWT atas segala nikmat-Nya selama ini. Seperti mana
tahun-tahun yg lalu sebelum ini, kita mulakan dengan lafaz kesyukuran
kerana kita masih lagi diizinkan untuk meneruskan kehidupan disamping
menjalankan tugasan harian sama ada sebagai ibu, bapa, anak, pendidik,
pelajar, pekerja amnya dan sebagai umat Islam khasnya. Namun sebagai
muslim yang memahami akan kepentingan hidup sebagai satu Ibadah,
seharusnya kita lebih lagi mendalami perspektif sambutan tahun baru ini.
Firman Allah SWT di dalam surah adz-Dzaariyat ayat 50:
Maksud:“(Katakanlah Wahai Muhammad kepada mereka): "Maka segeralah kamu
kembali kepada Allah (dengan bertaubat dan taat), Sesungguhnya aku
diutuskan Allah kepada kamu, sebagai pemberi amaran yang nyata.”
Justeru dalam kedatangan tahun baru ini . Islam bukan saja menyarankan
untuk bermegah atau bergembira semata-mata tetapi kita harus sandarkan
kepada konsep bermuhasabah, merenung akan kelemahan, kekurangan yang
telah kita lakukan sebelum ini dan menginsafinya. Semoga kehadiran tahun
baru ini membawa pengertian yang cukup besar bagi mencetuskan rasa
ingin berubah dari satu kekurangan kepada satu kekuatan yang baru.
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Bermuhasabah diri adalah satu amalan para anbiya, mursalin dan
orang-orang soleh. Justeru, perkara penting yang harus dijadikan budaya
dalam hidup semua manusia ialah menilai diri sendiri. Persoalan besar
timbul di sini, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan bermuhasabah?
Muhasabah adalah perilaku menilai dan memperelokkan diri yang terbentuk
dalam jiwa seseorang manusia itu menurut kaca mata agama. Ia juga boleh
dimaksudkan sebagai mendidik diri agar sentiasa mencela segala kejahatan
yang pernah dilakukan agar tidak menjadi penghalang untuk mandapat
keredhaan Allah SWT.
Dalam menilai dan menghayati pengertian
Muhasabah diri ,perlu kita mengenal diri kita terlebih dahulu..
ketahuilah dalam kehidupan kita didunia ini ada 4 asas persoalan yang
perlu kita hayati iaitu ..seperti :-
1.. Siapa aku..
2.. Dari mana kita dating..
3.. Untuk apa kita dating kesini..
4.. Kemana akhirnya kita nanti..
Kenal diri maka akan kenal lah Allah..
Secara umumnya manusia mempunyai 2 tanggungjawab besar:-
1..Tanggungjawab mengabdikan diri kepada Allah swt
2..Sebagai khalifah dimuka bumi ini , kita dipertanggungjawabkan untuk
mengimarahkan/memakmurkan bumi Allah berasaskan petunjuk al-Quran dan
as-sunnah serta sumber hokum yang lain meliputi bidang
agama,social,politik, pendidikan dan ekonomi..
Mengikut Ibnu Qudamah:
Pengertian muhasabah ialah melihat keadaan modal, keadaan keuntungan
dan kerugian, agar dapat mengenalpasti sebarang penambahan dan
pengurangan. Modalnya dalam konteks agama ialah perkara yang
difardhukan, keuntungan ialah perkara sunat dan kerugiannya pula ialah
maksiat.
Ibnul Qaiyim pula berkata: Muhasabah ialah membezakan
antara apa yang diperolehinya dan apa yang perlu ditanggungnya. Setelah
mengetahui yang demikian, maka dia hendaklah membawa apa yang
diperolehinya dan melunaskan apa yang ditanggungnya. Dia seolah-olah
seorang musafir yang tidak akan kembali. Rasulullah SAW sendiri pernah
memuji sikap muhasabah di dalam hadith Baginda yang diriwayatkan oleh
Imam at-Tirmizi daripada Syadad bin Aus RA iaitu:
Maksud:
“Orang yang pintar ialah orang yang menghitung dirinya serta beramal
untuk hari selepas kematian sementara orang yang lemah ialah orang yang
mengikut hawa nafsunya serta beragan-angan terhadap Allah dengan
angan-angan (yang banyak).”(Riwayat at-Tirmizi)
Sesiapa yang
bermuhasabah tentang dirinya maka mereka tidak akan membiarkan ruang dan
masa untuk melakukan perkara-perkara yang batil dan mungkar.
Menyibukkan diri dengan ketaatan akan menghapuskan masa untuk membuat
kejahatan. Mereka akan mencela jiwanya di atas setiap kesalahan dan
kekurangan yang dilakukannya terhadap Allah SWT kerana takutnya diri ini
kepada kekuasaan-Nya. Jika inilah keadaannya maka mana mungkin boleh
didapati jalan dan ruang untuk membuat kesalahan dan kebatilan.
Memetik kata-kata seorang ulama’ iaitu as-Sayyid Ahmad ar-Rifaie yang
pernah menyatakan di dalam kitabnya Burhan al-Muayyad bahawa: Daripada
perasaan takut akan timbulnya muhasabah. Daripada muhasabah timbulnya
muraqabah. Daripada muraqabah hati akan sentiasa sibuk bersama Allah SWT
Berkata Syeikh Ahmad Zarruq: lalai dari bermuhasabah diri
menyebabkan apa yang dilakukan menjadi silap. Kurang berbincang
dengannya boleh membawa kepada sifat reda nafsu atau berpuas hati
terhadapnya. Memerangi nafsu boleh menjauhkan daripada melekat pada diri
dan tidak bersikap tegas terhadapnya menyebabkannya menjadi pahlawan.
Oleh itu lazimlah diri dengan senantiasa bermuhasabah dan berbincang
serta beramallah dengan apa yang betul tanpa bertolak ansur terhadap
perkara-perkara yang salah.
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Marilah kita bersama-sama menghitung setiap tindakan kita selama ini,
sejauh mana kita telah melaksanakan amanah sebagai hamba Allah SWT.
Apakah kita telah benar-benar melaksanakannya mengikut lunas dan etika
Islam. Sejauh manakah tugas kita sebagai manusia yang dilahirkan oleh
Allah SWT untuk melaksanakan tugas benar-benar tercapai?.
Oleh itu,
dalam menyambut tahun baru pada kali ini marilah kita mulai dengan
menghisab diri samada tugas kita selama setahun sebelum ini atau
tahun-tahun sebelumnya telah kita lakukan demi menjalankan amanah
sebagai khalifah Allah SWT dan sebagai hamba-Nya yang beriman atau kita
masih berada di dalam lembah kemaksiatan dan noda semata-mata menurut
hawa nafsu yang bersarang di jiwa. Rebutlah peluang dan masa yang
diberikan Allah SWT kepada kita agar dapat dimanfaatkan untuk
perkara-perkara yang berfaedah serta amal soleh.
Bukankah Allah SWT telah mengingatkan kita tentang penjagaan masa seperti di dalam surah al-Asr ayat 1-3 iaitu:
Maksud: “Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali
orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula
berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”
Berdasarkan ayat ini telah menekankan dua prinsip asas iaitu berpesan dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran.
Kedua-dua konsep ini boleh dijadikan panduan kita untuk menjana
kefahaman bagi memimpin diri untuk meneruskan tahun mendatang. Sudah
semestinya kita semai budaya murni yang digariskan oleh Islam seperti
amalan nasihat menasihati, berkata benar dalam setiap tindakan,
merancang setiap usaha dengan garis panduan syarak, memastikan cara dan
bentuk tindakan selari dengan panduan Islam. Bahkan segala urusan
seharian kita haruslah dipastikan ianya benar-benar suci daripada segala
kecelaruan dan keburukan tingkahlaku serta perbuatan.
Oleh itu
marilah kita mulakan tahun baru ini dengan menanamkan semangat
menyampaikan sesuatu yang baik dengan penuh kebenaran. Kebenaran yang
hakiki itu kadangkala menuntut kita bersikap yakin dan berani dalam
setiap hal. Hayatilah ungkapan “Berkatalah benar sekalipun pahit” untuk
menjadi satu semangat kepada kita bilamana berhadapan dalam setiap
cabaran dan dugaan. Namun kata-kata benar yang hendak kita lafazkan
haruslah berprinsip dan beretika. Kita juga hendaklah saling ingat
mengingati untuk diri dan orang lain juga atas prinsip kebenaran. Maka
jika timbal balik antara jiwa benar kita dituai, maka harapan untuk
mencapai hakikat kebenaran dalam masyarakat boleh tercapai.
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Marilah kita sama-sama menjana kembali semangat Islam dengan mata hati
kita. Pemahaman dan jiwa yang luhur terhadap tanggungjawab sebagai insan
yang dijadikan oleh Allah harus kita martabatkan bukan sahaja untuk
diri sendiri malah untuk orang lain. Kejayaan yang kita ukir sepanjang
hidup tidak harus kita raikan sendiri malah ianya mesti diraikan bersama
dengan orang lain. Kita mulai semangat tahun baru ini dengan jiwa
tawaduk, berusaha mempertingkatkan kualiti diri untuk mendapat keredaan
Allah SWT.
Percayalah bahawa dengan bermuhasabah, seseorang itu
dapat mengelakkan diri daripada melakukan kesalahan yang sama untuk kali
kedua,kerana orang muslim yang hebat adalah mereka yang dapat
mempertingkatkan kualiti diri mereka dari masa ke semasa. Ingatlah
pesanan sadina Umar al-khattab:
Hitunglah diri kamu sebelum kamu
dihitung, timbanglah amalanmu sendiri sebelum ia ditimbangkan untukmu,
dan bersedialah untuk hari pembentangan amal yang besar, sesungguhnya
hisab pada hari kiamat menjadi ringan bagi sesiapa yang melakukan
muhasabah diri di dunia ini.
Mengakhiri kuliah pada hari ini marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT di dalam surah Ali- Imran ayat 110:
Maksud: “Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah)
umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik
dan melarang daripada yang mungkar, serta kamu pula beriman kepada
Allah. Dan kalaulah Ahli Kitab itu beriman, tentulah itu lebih baik bagi
mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan
mereka orang yang fasik.”
Sebagai manusia kita harus meyakini bahawa
walau selama mana kita hidup didunia ini maka akhirnya kita akan
kembali kepada Allah swt. Oleh itu bersandarkan lah segala amal dan
perbuatan kita kepadaNya supaya tidak lari dari laluan yang telah
ditetapkan agar kembalinya kita kepadaNya ( Allah ) dalam keadaan bersih
dan redaNya..
sesungguhnya kita kepunyaan Allah dan kepadanya kita kembali” “
No comments:
Post a Comment