Tuesday, November 27, 2012

Merdeka bukan bererti bebas


Merdeka bukan bererti bebas tanpa batas
Merdeka tidak bererti rumah tak perlu berkunci
Merdeka bukan membiar kebun jiwa tak berpagar
Merdeka adalah milik kita yang termahal
milik yang ditebus dengan nyawa dan airmata
peliharalah ia sebijaknya
bersihkan ia dari kemungkaran
kerana kemungkaran mengundang virus
kekotoran, racun pencemaran
yang akan membiak dan merebak menjadi wabak
menggugat saraf dan jasad bangsa
perangi ia sehabisnya
sebelum negara menjadi pesakit yang sengsara.
Anak-anak merdeka
mari kita kutip makna dari sejarah
keruntuhan akhlak yang membawa padah
kota dan empayar dunia yang telah musnah
akibat kemungkaran rakyat dan pemimpin khianat
mengambil teladan dari peradaban yang tidak dapat bertahan
runtuh dimamah zaman.
Anak-anak tercinta
jangan kau sangka di era modenisasi, kota siber dan canggih IT
kita tak perlu berbudaya dan berbudi
akhlak mulia adalah warna peribadi
tanpa peribadi kau hanyut tak berpaut
tenggelam di lautan tidak bertepi
karam di dataran tanpa sempadan
sesat dan terjerat di timbunan maklumat
buta meraba di simpang siur lebuhraya kota siber.
Anak-anak tercinta
rimbun pohon kerana baja
rimbun tamadun ditunjang akhlak mulia
komunikasi berkesan oleh tutur yang sopan
terpaut rasa oleh santun bahasa
pedoman bangsa adalah rukun susila
taman peradaban yang kita bina dengan semurni wawasan
akan musnh tanpa petugas yang amanah
akan hancur tanpa pewaris yang jujur.
Mari kita lengkapi rumah kita yang bahagia
lindungi bangsa dari penjajah budaya
pelihara bangsa dari penakluk minda
dengan akhlak mulia kita bina masyarakat jaya.

No comments:

Post a Comment