Friday, January 13, 2012

Bab Amanah

 Kuliah subuh.. Bab Amanah..

Sifat amanah merupakan tuntutan yang mesti dilaksanakan oleh setiap mukmin.
Amanah mempunyai pengertian yang luas dan bukan terhad kepada urusan kebendaan sahaja. Amanah yang paling besar adalah menjaga hak Allah S.W.T dan agama Islam itu sendiri. Firman Allah S.W.T surah An-Nisa' ayat 58 :  Yang bermaksud:
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.

Berdasarkan ayat tersebut, jelaslah bahawa amanah merupakan kewajipan yang perlu kita tunaikan dan tidak boleh dianggap sebagai perkara yang remeh-temeh. Menjaga amanah Allah S.W.T bererti menjaga setiap amalan dan kurniaan-Nya dengan sebaiknya. Ibadah solat mestilah ditunaikan pada waktunya, dan dikerjakan dengan sempurna rukun dan syaratnya. Begitu juga ibadat puasa, haji dan zakat, ia mestilah ditunaikan dengan penuh rasa kehambaan dan mengikut apa yang diperintahkan. Jika yang demikian itu, nescaya amanah tersebut telah dilaksanakan.

Setiap saat dan pergerakan kita adalah amanah.Lidah kita adalah amanah yang perlu kita pelihara daripada berbohong, mengumpat dan mencaci orang lain, mata kita adalah amanah untuk melihat sesuatu yang halal, begitu juga telinga kita yang diamanahkan kepada kita untuk mendengar perkara-perkara yang baik lebih-lebih lagi untuk mendengar kalam Allah S.W.T yang menjadi panduan hidup kita.Begitulah seterusnya tangan, kaki dan kurniaan Allah yang lain, semuanya adalah amanah yang wajib kita pelihara daripada segala perkara yang mengundang kemurkaan-Nya.

Selain itu, hak sesama manusia juga merupakan tuntutan amanah yang perlu kita titikberatkan. Sesuatu urusan atau perkara yang diamanahkan kepada kita untuk menjaganya adalah wajib dipenuhi dan ini dijelaskan oleh Rasulullah S.A.W di dalam hadis baginda yang berbunyi

Bermaksud :
"Tunaikanlah amanah kepada orang yang mengamanahkan kepadamu
dan janganlah kamu mengkhianati orang yang mengkhianatimu''.
( Riwayat Abu Daud dan Tarmizi)

Demikianlah juga firman Allah S.W.T di dalam surah Al-Anfal ayat 27 .
Yang bermaksud :

Wahai orang-orang Yang beriman! janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).

No comments:

Post a Comment